KUALA LUMPUR, 29 Oktober:

Selepas filem Cinta Paling Agung yang mendapat sambutan memberangsangkan sewaktu memulakan tayangannya bermula Syawal lalu menerusi Astro First Eksklusif, kini pihak penyiarnya, Astro membawakan sebuah lagi naskhah yang tidak kurang hebatnya.

Mempertaruhkan genre seram thriller, Jelmaan yang mendapat sentuhan pengarah berbakat besar dari Indonesia, Sridhar Jetty juga dijangka akan mencatatkan kejayaan seperti mana Cinta Paling Agung apabila turut mempertaruhkan populariti aktor pujaan ramai, Keith Foo serta aktres yang semakin meningkat naik, Raja Ilya.

Biarpun sebuah karya seram, namun, selepas menonton Jelmaan pada sesi tayangan eksklusif untuk pihak media di Kafe Skrin, Hulu Kelang, Selangor, baru-baru ini, tidak dapat disangkal lagi ia mampu menarik perhatian peminat genre berkenaan.

Tidak keterlaluan dikatakan Jelmaan yang turut dibintangi dua pelakon cilik popular, Mia Sara Nasuha dan Rykarl Iskandar itu mampu untuk menangkis tanggapan skeptikal masyarakat berhubung stereotipikal filem seram yang pernah diterbitkan sebelum ini.

Perkara ini diakui sendiri oleh Ketua Unit Filem dan Drama Premium Astro, Saniboey Mohd. Ismail yang menjelaskan Jelmaan bukanlah sebuah filem seram tipikal kerana ia menampilkan mesej yang lebih mendalam dan bermakna.

“Saya tahu masyarakat hari ini mempunyai pandangan tersendiri berhubung dengan penghasilan filem seram yang sudah dilambakkan kepada mereka selama ini tetapi saya yakin Jelmaan mampu menambat hati penonton Astro khususnya.

“Ia bukanlah sebuah karya klise seperti mana yang sudah dipertontonkan sebelum ini kerana Jelmaan berada dalam kelasnya tersendiri,” katanya penuh optimis sewaktu ditemui pada sidang media usai tayangan filem berkenaan.

Jelmaan-m-1
Saniboey Mohd. Ismail (dua dari kanan) bersama pengarah filem Jelmaan, Sridhar Jetty (kanan) dan barisan pelakon fielm berkenaan pada sidang media yang berlangsung di Hulu Kelang, Selangor, baru-baru ini. – Foto TRP/Wan Kah Hoong

Mengulas lanjut tentang penghasilan filem Jelmaan yang berdurasi 100 minit itu lagi, Saniboey menjelaskan perancangan itu sudah diilhamkan lebih kurang dua tahun lalu.

Jelasnya lagi, biarpun premis filem itu adalah seram tetapi kata Saniboey, jalan cerita dan konsep persembahan Jelmaan adalah lebih terarah kepada sebuah kisah cinta yang lain daripada lain.

“Apa yang kami mahu tonjolkan menerusi Jelmaan adalah tentang cinta dan kasih sayang yang sebenarnya tidak terbatas dan mampu menjadi sebuah cinta abadi.

“Untuk memberikan kelainan, kami menggunakan genre seram dalam menyampaikan mesej kasih sayang itu selain kekuatan kepada sinematografinya yang pasti akan memberikan satu penontonan yang berbeza,” ujarnya yang memberitahu penggambaran filem tersebut dilakukan sepenuhnya di Jogjakarta, Indonesia.

Seperti mana Cinta Paling Agung, Jelmaan juga masih mengekalkan sentuhan pengarah dari Indonesia dan menjawab pertanyaan itu, Saniboey yang merupakan seorang bekas wartawan itu ada justifikasinya berhubung perkara berkenaan.

Jelmaan-m-2
Selain Raja Ilya yang membawakan watak Lina, filem Jelmaan turut menampilkan dua pelakon cilik popular negara, Mia Sara Nasuha (tengah) dan Rykarl Iskandar. – Foto TRP/Wan Kah Hoong

Ujarnya, pemilihan Sridhar Jetty untuk mengarahkan Jelmaan adalah untuk memberikan lebih impak kepada pembawaan emosi dan perjalanan filem itu sendiri.

“Pujian seharusnya diberikan kepada Sridhar kerana berjaya merakam setiap babak dengan baik dan berkesan. Ternyata pengalaman beliau di dalam bidang perfileman memberikan kelebihan di dalam filem ini.

“Apatah lagi dengan portfolionya yang sebelum ini pernah mengarahkan beberapa filem seram membuatkan kami tidak teragak-agak untuk memilih Sridhar mengemudi filem ini termasuk mengendalikan suntingannya.

“Bukan itu sahaja, dengan pemilihan Jogjakarta sebagai lokasi utama filem ini turut memerlukan seorang pengarah yang mahir tentang landskap dan beberapa tempat yang sesuai untuk merakamkan mood perjalanan Jelmaan agar ia dapat memberikan impak kepada audiens,” jelasnya panjang lebar.

Filem yang diterbitkan dan diolah berlandaskan skrip hasil nukilan Nusantara Seni Karya Sdn. Bhd. itu mengisahkan tentang sebuah tragedi yang telah menimpa dan mengubah perjalanan hidup sebuah keluarga bahagia.

Jelmaan mengenengahkan kisah Lina lakonan Raja Ilya bersama suaminya, Harun (Keith Foo) serta dua orang anak mereka, Lia (Mia Sara) dan Adi (Rykal Iskandar) yang bercuti ke Jogjakarta tetapi kebahagiaan mereka itu tidak berpanjangan apabila mereka terlibat dalam sebuah kemalangan.

Namun, semuanya berubah selepas insiden itu apabila satu persatu kejadian aneh mula menghantui kehidupan mereka dan akhirnya merungkai jawapan di sebaliknya.

Bagi peminat filem seram, pastikan anda tidak ketinggalan melanggan filem Jelmaan yang akan mula bersiaran secara eksklusif di saluran Astro First Ekslusif (480, Astro) bermula 31 Oktober ini (Sabtu) dengan harga RM15.90.