KUALA LUMPUR, 26 Oktober:

Saya memetik kata-kata Ketua Pengarah Istana Budaya (IB), Datuk Mohamed Juhari Shaarani ketika bertemu dengannya minggu lalu apabila memperkatakan tentang penyanyi pujaan ramai, Datuk Siti Nurhaliza.

Kata beliau: “Apa sahaja yang membabitkan Siti Nurhaliza, tidak pernah gagal terutama konsertnya. Siti sememangnya masih unggul sebagai crowd puller. Buatlah apa sahaja konsert di IB, hasilnya memang luar biasa.”

Perbualan kami itu bukanlah bicara kosong sebaliknya saya bertanya kepada beliau yang lebih mesra disapa Abang Joe itu tentang sambutan hangat yang diberikan kepada Konsert Satu Suara Vol. 2 yang bakal dipersembahkan pada 7 dan 8 November ini di Panggung Sari, IB.

Tidak sampai sebulan sebelum konsert berkenaan membuka tirainya, penjualan tiket sudah pun mencapai 80 peratus dan tiket yang tinggal ketika ini adalah yang berharga RM259.85, RM303.52 dan RM565.55.

Abang Joe sendiri mengakui dia tidak terkejut dengan sambutan hebat itu memandangkan Siti Nurhaliza sudah mencipta trek rekod cemerlang setiap kali mengadakan persembahan di pentas bertaraf dunia itu.

Apatah lagi, konsert kedua dalam siri Konsert Satu Suara itu menampilkan kelainan yang barangkali belum pernah dilihat dalam mana-mana konsert berskala besar di negara ini apabila dua penyanyi legenda seberang, Hetty Koes Endang dan Datuk Ramli Sarip disatukan bersama Siti.

Dan, saya sendiri percaya tiket konsert berkenaan laris adalah disebabkan keunggulan dua penghibur ternama ini selain populariti Siti yang menjadi daya penarik untuk penonton menghadiri konsert berkenaan.

Saya juga percaya dan tidak menafikan ada segelintir pihak yang pastinya mencela dan mencebik apabila melihatkan peluang yang sering diberikan kepada Siti untuk mengadakan konsert di panggung penuh prestij itu.

DatoSiti-konsert-m-2 (1)
Mohamed Juhari Shaarani dari awal yakin dengan sambutan yang diberikan terhadap Konsert Satu Suara Vol. 2 memandangkan trek rekod cemerlang Siti Nurhaliza setiap kali mengadakan konsert di Istana Budaya. – Foto TRP/Azrol Ali

Tidak perlu rasanya untuk bersikap negatif sedemikian kerana selain daripada rezeki yang berpihak kepadanya, saya juga melihat kejayaan awal Konsert Satu Suara Vol. 2 adalah sebagai usaha Siti untuk terus mengukuhkan portfolio seninya.

Sebagaimana Siti sendiri pernah ungkapkan sebelum ini bahawa ketika namanya masih lagi jadi perhatian dan diterima dengan baik, peluang itu wajar diambil dan digunakan dengan sebaiknya.

Sepanjang dua dekad menjadi seorang penyanyi, Siti bekerja keras untuk membina namanya dan sekaligus mencipta jenamanya sendiri sehingga berupaya menjadi satu jenama isi rumah yang terus diminati biarpun ada yang berpendapat, populariti Siti hari ini tidak segah sewaktu zaman anak daranya.

But well, perkara itu ada benarnya tetapi evolusi Siti sebagai seorang penghibur itu adalah sesuatu yang perlu diberikan perhatian yang lebih kerana itulah senjatanya untuk terus memukau dan menyihir audiens dengan persembahannya.

Justeru, saya sendiri teruja untuk menantikan persembahan yang saya yakin akan menjadi sebuah konsert terbaik sebelum 2015 melabuhkan tirainya. Bukan mahu bersikap berat sebelah tetapi cuba fikirkan penangannya kelak apabila tiga nama hebat ini disatukan di atas pentas.

Hetty dengan suaranya yang lantang dan bertenaga sementara Ramli pula dengan penyampaiannya yang santai namun, sarat denan emosi dalam setiap lagu dendangannya.

What we can say more about Siti? Pernahkah dia gagal dalam setiap konsertnya? Jawapannya tidak. Inilah masanya untuk melihat Siti melantunkan lagu-lagu Hetty dan Ramli dalam gayanya yang tersendiri.

Justeru, bagi mereka yang tidak mahu ketinggalan menonton persembahan ulung tiga nama unggul muzik Nusantara ini, pastikan anda mendapatkan tiket dengan kadar segera di laman web, http://redtix.airasia.com sebelum terlewat atau boleh kunjungi kaunter tiket di Istana Budaya untuk membuat pembelian.