SHAH ALAM, 19 Oktober:

Bekas bapa tiri juara Akademi Fantasia 2015 (AF 2015), Sufi iaitu Muhammad Arif Dollah, 30, menjelaskan dia kini sedang di dalam proses memfailkan saman malu terhadap penyanyi itu berhubung dengan fitnah yang telah dilakukan terhadap dirinya.

Namun, kata Muhammad Arif atau lebih mesra disapa sebagai Arif itu, dia tidak menolak kemungkinan untuk selesaikan kes berkenaan di luar mahkamah seandainya Sufi berani tampil untuk bersemuka dengannya dan memberitahu perihal sebenar kepada masyarakat.

“Jika dia berada di pihak yang benar, saya mahu dia berhadapan dengan saya dan kita boleh selesaikan masalah ini dengan baik. Malah, saya pun bukannya kejam sehingga tidak mahu memaafkannya tetapi dia haruslah bercakap benar.

“Namun, saya tidak teragak-agak untuk meneruskan saman fitnah terhadapnya seandainya dia masih tetap dengan keputusannya yang tidak mahu menjernihkan keadaan kerana dia yang memulakannya dan maka itu, dia juga mengakhiri semua ini.

“Perkara ini bukanlah sesuatu yang harus dipandang enteng kerana saya benar-benar serius dan menjadi sangat defensif terutama apabila melibatkan reputasi saya dan juga keluarga,” katanya dalam nada tegas dalam sidang media yang berlangsung di sini, hari ini.

Sebelum ini, nama Arif yang juga bekas pengurus kepada penyanyi remaja Indonesia, Tegar Septrian telah terpalit dengan kontroversi apabila dia dikatakan telah melakukan gangguan seksual dengan mencabul penyanyi itu sepanjang menjadi pengurusnya.

Tidak berapa lama selepas itu, Sufi atau nama sebenarnya Mohammad Sufie Rashid, 24, pula tampil membuat dakwaan yang serupa apabila penyanyi itu mengatakan dia turut mengalami situasi yang serupa seperti mana dialami Tegar sewaktu kecil.

M3
Muhammad Arif Dollah atau Arif tampil membuat penafian berhubung dengan dakwaan gangguan seksual yang dilakukan terhadap dirinya, hari ini. – Foto TRP/Mokhsin Zamani

Ketika kejadian itu berlaku seperti mana yang didakwa oleh Sufi, Arif merupakan pengurusnya dan masih lagi menjadi suami kepada ibunya, Irma Suriana Mahamud sebelum bercerai pada tahun 2011.

Pun begitu, pertuduhan terhadap Arif yang dilakukan oleh Tegar itu telah digugurkan selepas pihak polis Singapura mendapati tiada bukti kukuh yang boleh mendakwanya.

Dalam sidang media itu juga, Arif sekali lagi menegaskan bahawa dia langsung tidak terlibat dalam kedua-dua pertuduhan yang dilakukan terhadap dirinya sambil mendakwa perkara itu timbul hanya selepas dia berhenti menjadi pengurus Tegar.

Mengulas lanjut tentang pertuduhan yang dilakukan oleh Sufi terhadapnya, Arif tidak menafikan bekas anak tirinya itu berbuat demikian mungkin bermotifkan dendam kerana sepanjang dia berkahwin dengan ibu Sufi, penyanyi lagu Kisah Dua Muka itu tidak pernah merestuinya.

“Berkemungkinan besar dia (Sufi) tidak menyukai saya kerana saya dan ibunya telah bernikah dalam diam selama setahun sebelum membuat keputusan untuk mengumumkannya kepada anak-anak kami.

“Bukan itu sahaja, selepas kami bercerai, bekas isteri saya itu pernah mendakwa saya telah menderanya tetapi tuduhan itu digugurkan apabila dia telah diminta untuk menjalani analisis oleh pakar psikiatri dan pemeriksaan perubatan kerana tiada sebarang bukti ditemui,” cerita Arif kepada pihak media yang hadir untuk mendapatkan cerita daripada pihaknya berhubung kontroversi yang telah melanda dirinya itu.

Sementara itu, dalam sidang media itu juga, Arif turut mendedahkan bahawa dia mendapat maklumat bahawa segala pertuduhan yang dilakukan terhadap dirinya adalah satu rancangan berniat jahat oleh pihak ketiga yang mahu melihatnya jatuh.

Malah, Arif juga dia berjaya mendapatkan rakaman audio perbualan yang melibatkan seorang individu yang secara terang-terangan mahu dia ditangkap dan didakwa di tiga buah negara iaitu Malaysia, Singapura dan Indonesia.

tegar_M
Dakwaan Tegar berhubung kes gangguan seksual yang dilakukan ke atas dirinya oleh Muhammad Arif Dollah telah digugurkan selepas pihak polis Singapura mendapati tiada bukti kukuh untuk mendakwa Arif. – Foto www.tabloidbintang.com