KUALA LUMPUR, 15 Oktober:

Aktres yang semakin meningkat naik, Adiba Yunus mengakui karier seninya kini semakin bertambah baik dan namanya mula meraih perhatian selepas lima tahun berkecimpung dalam dunia lakonan.

Katanya, walaupun perlu mengambil masa yang agak lama untuk dikenali seperti hari ini, Adiba atau nama sebenarnya, Siti Adibah Yunus ini bersyukur dengan perjalanan seninya berjalan lancar seperti mana yang diharapkannya.

Namun, semua itu kata Adiba yang berusia 27 tahun itu, tidak berlaku dalam sekelip mata kerana dia bermula dari bawah dan perlu terus bekerja keras untuk sampai ke tahap seperti mana hari ini.

“Jika ada pelakon lain mampu menjadi popular hanya berlakon dalam satu filem, saya pula terpaksa menunggu hampir lima tahun untuk memegang watak utama dalam filem dan drama.

“Mungkin orang tidak perasan kehadiran saya kerana banyak kebanyakan watak yang saya lakonkan sebelum ini hanyalah sekadar pembantu atau watak kecil. Alhamdulillah, berkat kesabaran akhirnya saya diberi kepercayaan oleh Metrowealth Pictures untuk memegang watak utama,” ujarnya yang ditemui pada tayangan filem Badi di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Jika ada yang terlupa, Adiba juga pernah menjadi sebutan apabila namanya tersenarai sebagai salah seorang calon Pelakon Harapan Wanita Festival Filem Malaysia ke-27, bulan lalu.

Namun, kemenangan tidak berpihak kepadanya apabila tewas kepada Dawn Cheong yang memenanginya menerusi filem Cuak.

Tidak mahu leka dan bangga dengan pencapaiannya sekarang ini, kata Adiba, dia masih mahu terus memperbaiki skil dan prestasi lakonannya kerana akui masih banyak kelemahan.

ay-01(M)
Adiba Yunus mengakui babak tarian mak yong dalam filem Badi cukup mencabarnya sebagai seorang pelakon. – Foto Metrowealth Pictures.

“Saya juga banyak menimba ilmu lakonan dengan pengarah dan pelakon yang lebih senior di lokasi penggambaran. Prinsip kejayaan saya cukup mudah apabila kejayaan tidak datang bergolek tanpa ada usaha dan kesungguhan untuk menjadi yang lebih baik daripada sebelumnya,” ujarnya dalam nada optimis.

Lantaran itu jugalah, Adiba meletakkan harapan tinggi untuk melihat filem baharu lakonannya, Badi arahan Eyra Rahman yang mula ditayangkan hari ini dapat meninggalkan impak tersendiri kepada penonton sambil menyifatkan ia merupakan watak paling mencabar sejak berkecimpung dalam dunia lakonan lima tahun lalu.

Katanya lagi, dia sangat bersyukur kerana diberi peluang memegang watak utama dalam filem tersebut yang memaparkan kisah penggunaan ilmu hitam dan dalam masa yang sama diselitkan dengan unsur pengajaran yang dapat memberi panduan serta kesedaran terhadap masyarakat.

“Terus terang, watak ini sangat berat dan mencabar kerana saya banyak bermain dengan emosi dalaman. Saya berusaha memberikan lakonan terbaik mengikut kemampuan diri dan saya berterima kasih kepada Eyra kerana dia banyak berikan semangat bagi membantu saya menjayakan lakonan ini,” kata anak jati Negeri Sembilan ini penuh mengharap.

Mengulas lanjut tentang watak Sarah dalam filem Badi, antara babak yang paling sukar dijayakan jelas Adiba adalah ketika diminta mempamerkan tarian tradisional mak yong sebagai subjek latar.

Bagi memastikan aksi tariannya itu menepati standard yang diperlukan oleh pengarah dan penerbit, Adiba sanggup untuk menyertai kelas tarian selama seminggu kerana mahu menjaga nilai estetika tarian mak yong itu.

“Seperti yang kita ketahui, seni tari asli mak yong mempunyai keunikan serta aura mistikalnya. Saya harus akui bukan mudah untuk mempelajari tarian ini kerana ia cukup mencabar,” ujarnya yang bakal membintangi filem Banglo Berkunci tidak lama lagi.

Selain Adiba, filem Badi yang begenre seram itu turut dibintangi Azwan Kombos, Hanis Safuan, Sharisa Harus dan Navilya Husna.