KUALA LUMPUR, 15 Oktober:

Bagi mereka yang mengikuti perkembangan aktres jelita ini, pastinya cukup tahu minat mendalamnya terhadap dunia fesyen dan kecantikan.

Menerusi label fesyennya, House of Doll misalnya, yang kini sudah berusia tiga tahun, sebagai pemiliknya, Fazura tidak perlu menunggu lama untuk menjadikan label itu antara yang mendapat perhatian sejak ia mula diperkenalkan.

Justeru, demi memastikan empayar fesyennya terus berkembang dan menjadi salah satu jenama fesyen tempatan terunggul, Fazura tidak hanya mahu fokus kepada bidang fesyen semata-mata.

Kini, anak kelahiran Pekan, Pahang itu mengorak setapak langkah lagi dengan mengeluarkan semburan wangian badan (body mist) menerusi jenamanya sendiri iaitu Mystical by Fazura di bawah label, Doll Domination.

Hadir dengan tiga wangian berbeza, I Love You, Spotlight dan Berry Beautiful dengan pembungkusan yang kesemuanya atas inisiatif dan ideanya sendiri, Fazura sememangnya sudah lama kepingin untuk mengeluarkan produk seumpama itu.

Apatah lagi, Fazura juga mengakui dia seorang yang obses pada wangian, aktres berusia 32 tahun itu tidak teragak-agak untuk meneruskan niatnya itu selain mahu berkongsi minatnya terhadap dunia kecantikan bersama peminat.

“Saya mahu menghasilkan sesuatu yang mampu dimiliki oleh semua peminat dan penggemar semburan wangian badan secara amnya. Justeru, apabila mendapat peluang tersebut, saya tidak menunggu lama untuk merealisasikannya.

fa03-(M)
Tidak hanya bersandarkan kepada dunia seni semata-mata, Fazura mahu terus melebarkan pengaruhnya dalam dunia fesyen dan kecantikan bagi meluaskan empayar perniagaannya. – Foto TRP/Syahirah Roslan

“Proses penyelidikan dan pembangunan produk ini secara keseluruhannya memakan masa selama empat bulan. Saya terlibat dari mula hingga akhir baik dari segi pemilihan haruman serta reka bentuk botolnya sendiri.

“Pada awalnya, saya diberi 10 haruman pilihan dan sebagai permulaan, saya tampilkan tiga haruman terlebih dahulu. Seandainya mendapat sambutan hangat, tidak mustahil untuk saya terus mengeluarkan haruman lain selepas ini,” katanya optimis sewaktu ditemui pada majlis pelancaran Mystical by Fazura di butiknya di Bangsar, di sini semalam.

Tidak hanya mahu menumpukan kepada semburan wangian badan sahaja, pelakon filem Kayangan dan Gol & Gincu itu juga mengumumkan akan mengeluarkan jenama minyak wanginya tidak lama lagi.

Kata Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-27 menerusi filem Manisnya Cinta Di Cappadocia itu lagi, penghasilan minyak wanginya itu jauh berbeza dengan semburan wangian badannya apabila ia dhasilkan sepenuhnya di Paris, Perancis.

“Saya mempunyai visi dan misi untuk minyak wangi saya itu kelak kerana saya juga mahu memasarkannya di luar negara. Jadi, penghasilannya akan menjadi lebih teliti dan memakan masa sedikit kerana saya mahu hasilkan yang terbaik.

fa04-(M)
Wangian semburan badan Mystical by Fazura akan mula dijual bermula 2 November ini di butik House of Doll dan juga secara atas talian (online). – Foto TRP/Syahirah Roslan

“Sama seperti semburan wangian badan, saya juga terlibat sepenuhnya untuk minyak wangi ini dan terus terang saya katakan, harganya juga akan menjadi mahal sedikit kerana ia adalah eksklusif,” ujarnya yang tidak lokek berkongsi cerita tentang perancangan masa depannya.

Dalam masa yang sama, pemeran watak Cik Lang dalam filem Kami Histeria ini juga menjelaskan kunjungannya ke Manila, Filipina baru-baru ini ada kaita dengan misinya yang mahu terus meluaskan empayar perniagaannya.

Kata Fazura, dia tidak mahu hanya menumpukan kepada kecantikan luaran semata-mata tetapi juga untuk kecantikan dalaman dan dia kini di dalam proses untuk menghasilkan produk makanan tambahannya sendiri.

“Bukan itu sahaja, saya bersyukur kerana masih lagi diberi kepercayaan oleh Nutox apabila akan terus menyambung kontrak dengan mereka tidak lama lagi. Dalam diam, sudah tujuh tahun saya menjalinkan kerjasama dengan Nutox dan Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan baik untuk saya,” katanya sambil mengukir senyuman manis.

Bagi mereka yang mahu membeli semburan wangian badan Mystical by Fazura, ia akan dijual pada harga RM39.90 untuk saiz kandungan 175ml dan hanya akan mula dijual bermula 2 November ini.

Ketiga-tiga wangian itu boleh dibeli dengan berkunjung ke butik House of Doll di No. 10, Jalan Telawi 3, Bangsar, Kuala Lumpur. Malah, ia juga boleh didapati secara atas talian di www.myhouseofdoll.com dan sebarang pertanyaan, boleh hubungi talian 03-2282 0544.