KUALA LUMPUR, 15 Oktober:

Mengenali aktres jelita ini, seandainya tiada sebarang perkhabaran yang belum dapat disahkan, dia tidak akan sewenang-wenangnya menjaja cerita.

Bertemu dengannya sewaktu majlis pelancaran wangian semburan badan (body mist) jenamanya sendiri, Mystical by Fazura di butik House of Doll, Bangsar, di sini semalam, Fazura tidak lokek untuk berkongsi cerita dengan pihak media yang hadir.

Rupa-rupanya Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-27 menerusi filem Manisnya Cinta Di Cappadocia ini diibaratkan diam-diam ubi berisi kerana dalam diam, sudah banyak perancangan yang sudah diaturnya terutama membabitkan dunia lakonannya.

Malah, pemilik nama lengkap Nur Fazura Sharifuddin ini juga teruja tatkala bercerita tentang perkembangan terkininya yang boleh dilihat sebagai satu anjakan baru dalam terus mengukuhkan portfolio seninya.

Salah satunya apabila Fazura mengumumkan dia akan menjalani uji bakat untuk sebuah produksi filem Hollywood esok apabila beberapa orang wakil daripada Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) akan terbang ke ibu negara untuk bertemunya.

“Jujurnya, saya sangat teruja dan dalam masa yang sama tidak dapat menyembunyikan perasaan gemuruh kerana perlu memahami serta menghafal skripnya yang agak panjang juga.

“Tetapi, demi matlamat saya yang mahu menembusi pasaran dan mencipta nama di Hollywood, saya tidak mahu menjadikan itu sebagai halangan sebaliknya cabaran untuk memberikan yang terbaik.

“Skrip serta jalan ceritanya sangat menarik apabila ia mengisahkan tentang dunia farmaseutikal di mana watak saya adalah sebagai seorang doktor bernama Dr. Rachel Estevez,” cerita Fazura panjang lebar.

fa02-(M)
Dalam keterujaannya, Fazura juga tidak dapat menyembunyikan perasaan gemuruhnya untuk menjalani uji bakat sebuah produksi dari Hollywood, esok. – Foto TRP/Syahirah Roslan

Tidak hanya itu, anak kelahiran Pekan, Pahang berusia 32 tahun ini juga akan terbang ke New York, AS dalam waktu terdekat ini bagi menjalani penggambaran filem terbitan syarikat produksi dari Indonesia berjudul Bulan Terbelah Di Langit Amerika.

Merupakan sebuah adaptasi daripada novel dengan judul sama hasil karya Hanum Rais dan Rangga Almahendra, filem arahan Rizal Mantovani itu juga menampilkan aktres popular Indonesia, Acha Septriasa selain Abimana Aryasatya dan Nino Fernandes.

Jelas Fazura, faktor utama dia menerima tawaran itu selain daripada filem pertama lakonannya untuk terbitan negara Garuda itu adalah wataknya yang jauh berbeza dengan apa yang pernah dibawakannya sebelum ini.

“Dalam filem ini, saya akan membawakan watak bernama Janet yang memiliki perwatakan yang jahatnya bukanlah keterlaluan tetapi dia ada sisi hitamnya yang tersendiri. Penggambaran juga akan diadakan di Jakarta, Indonesia dan filem ini juga akan ditayangkan pada penghujung tahun ini.

“Bukan itu sahaja, apa yang lebih mengujakan dan membuatkan saya terharu apabila ditawarkan untuk merakamkan lagu tema filem ini yang saya sifatkan sebagai satu peluang keemasan yang tidak wajar dilepaskan begitu sahaja.

“Syukur Alhamdulillah, saya cukup seronok dengan kehidupan saya sekarang biarpun penat sedikit dan terkejar-kejar tetapi ia membuatkan masa saya lebih terisi,” katanya yang juga akan muncul dengan program realitinya, Facing Up To Fazura musim kedua pada 1 November ini.

fa01-(M)
Dalam usianya yang sudah mencecah 32 tahun, Fazura mahu membawakan watak yang lebih mencabar dan keluar dari zon selesanya. – Foto TRP/Syahirah Roslan

Sementara itu, Fazura turut memberitahu bahawa dia tidak lagi diuruskan oleh Farid Ramlee yang pernah menjadi pengurusnya dan hubungan antara mereka berakhir dengan baik tanpa sebarang masalah.

Kini, aktres itu diuruskan oleh pengurus dan promoter persembahan hiburan terkenal, Iman Tang yang disifatkan oleh Fazura sebagai seorang yang cekap dan pantas dalam mencari peluang serta tawaran baharu untuknya terus meneroka dunia seni.

Ketika ditanya tentang perkembangan kariernya di negara ini selepas bergelar Pelakon Wanita Terbaik lebih sebulan lalu, aktres yang mula dikenali menerusi filem Bicara Hati arahan Datuk Rosnani Jamil itu tidak menafikan banyak dihujani dengan tawaran.

Pun begitu, rata-rata skrip dan watak yang diterimanya tidak begitu memuaskan hatinya dan kurang mencabarnya sebagai seorang aktres baik untuk filem mahupun televisyen kerana kebanyakannya sudah pernah dibawakannya sebelum ini.

“Jika tiada aral, saya mungkin akan kembali bekerjasama dengan Bernard Chauly yang ketika ini sedang merancang untuk menghasilkan sebuah filem baharu,” katanya ringkas.

Dalam pada itu, Fazura yang juga dikenali menerusi lagu Sayangi Dirimu itu akan terlibat dengan sebuah persembahan istimewa pada Ahad ini (18 Oktober) di Hard Rock Cafe, Melaka pukul 4 petang.

Bakal mempersembahkan lapan buah lagu termasuk lagu popularnya itu, persembahan Fazura akan diiringi oleh kumpulan The Wak Lu’s.