KUALA LUMPUR, 12 Oktober:

Meskipun namanya disebut-sebut dan menjadi pilihan ramai untuk bergelar juara Akademi Fantasia 2015 (AF2015) malam semalam, namun bagi Syamel, akur dengan ketentuan Allah SWT apabila hanya sekadar meraih gelaran naib juara sahaja.

Bagi anak muda berusia 22 tahun itu, apa yang lebih penting baginya adalah untuk tidak menghampakan peminat dan penyokong menerusi setiap persembahahan yang dilakukannya terutama pada konsert akhir semalam.

Meskipun kesihatannya kurang mengizinkan sehingga menjejaskan sedikit kualiti vokalnya, tetapi Syamel tetap meneruskan perjuangannya sehingga ke garisan akhir bagi memastikan peminat dan penyokongnya berpuas hati.

“Disebabkan itu, saya enggan menjadikan perkara itu (kesihatan) sebagai halangan dan alasan untuk tidak memberikan persembahan terbaik.

“Biarpun hanya menjadi naib juara, saya bersyukur dan apa yang lebih penting apabila saya mampu berjaya ke peringkat akhir yang sama sekali tidak pernah saya impikan,” katanya dalam nada penuh rendah diri sewaktu ditemui usai konsert akhir AF 2015 yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shah Alam, Selangor, semalam.

Selaku naib juara, Syamel atau nama sebenarnya Syameel Aqmal Mohd. Fodzly yang mendapat undian sebanyak 21 peratus itu telah berjaya memenangi wang tunai RM30,000, trofi dan pakej percutian ke Dubai.

Dalam pertemuan itu, anak muda berasal dari Cheras, Kuala Lumpur itu juga menyifatkan pembabitannya dalam AF 2015 bukanlah semudah yang disangka meskipun laluan untuknya boleh dikatakan agak mudah selepas bergelar juara pencarian bakat, SuEra, anjuran stesen radio Era pada April lalu.

Kata Syamel lagi, dia juga perlu melalui beberapa peringkat saringan seperti peserta lain dan menganggap itu sebagai satu pengalaman baharu dalam hidupnya demi mengejar impian untuk menjadi seorang penyanyi.

af15-m-38
Syamel (dua dari kiri) bergambar kenangan bersama teman seperjuangannya di dalam Akademi Fantasia 2015 sewaktu sidang media selepas konsert akhir, semalam. – Foto TRP/Syahirah Roslan

“Bagi saya, Akademi Fantasia merupakan platform yang besar dan terbaik untuk mana-mana bakat baharu yang mahu menimba ilmu serta mencari pengalaman sebelum keluar ke dunia realiti dan berhadapan dengan situasi lebih mencabar.

“Saya sendiri menonton program ini sejak berusia sembilan tahun dan pastinya ia memberikan satu nilai sentimental dan begitu dekat dengan diri saya sendiri. Jadi, untuk menjadi sebahagian daripada sejarah Akademi Fantasia adalah mimpi menjadi kenyataan,” jelas Syamel penuh merendah diri.

Dalam pada itu, jejaka yang memiliki suara serak-serak basah ini menafikan dirinya tidak memiliki tahap keyakinan tinggi apabila menyangka dirinya memenangi tempat keempat sewaktu nama Sharul diumumkan sebagai pemenang.

Sambil ketawa kecil, Syamel menjelaskan ketika itu dia sememangnya sudah bersedia dengan segala kemungkinan kerana kesemua pencabarnya juga berpeluang untuk menang memandangkan mereka juga adalah yang terbaik.

“Bukan itu sahaja, sebutan nama Sharul juga hampir kedengaran sama dengan saya. Jadi, disebabkan itu saya menyangka saya yang menang tempat keempat. Tetapi, Alhamdulillah, rezeki berpihak kepada saya selaku naib juara,” ujarnya sambil tersenyum manis.

Sementara itu ketika ditanya tentang persediaannya berhadapan dengan dunia realiti hiburan tanah air, dengan penuh yakin anak muda ini memberitahu kesediaannya untuk menerima segala kritikan membina demi memperbaiki dirinya sendiri.

Namun, Syamel enggan mengambil pusing akan kritikan melampau yang dlihat hanya mahu menjatuhkan dirinya tanpa sebarang alasan sebaliknya kental dengan menjadi lebih positif dalam setiap langkahnya.

Pada konsert akhir itu, Syamel telah memberikan persembahan mantap menerusi dua buah lagu iaitu Sampai Mati nyanyian asal bekas juara Akademi Fantasia kesembilan, Hazama serta lagu ciptaannya sendiri, Hidup Dalam Mati.