KUALA LUMPUR, 6 Oktober:

Penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, 36, melihat masalah kewangan sehingga menyebabkan konsert muzikalnya yang dijadualkan berlangsung selama lapan hari pada bulan hadapan di Istana Budaya ditunda sebagai satu hikmah.

Kata pelantun lagu Mikraj Cinta dan Lebih Indah itu, dia lebih selesa untuk bersikap positif dengan apa sahaja aturan yang telah ditentukan oleh Allah SWT kerana percaya kepada rezeki daripadaNya.

“Sudah menjadi adat dalam dunia hiburan ini apabila masalah kewangan sering kali menjadi faktor utama dalam mana-mana pementasan sekali pun. Apatah lagi dengan situasi ekonomi negara sekarang ini yang tidak menentu membuatkan ramai yang tidak mahu menanggung risiko dari segi penajaan.

“Justeru, saya tidak mahu melihat perkara itu sebagai penghalang untuk saya tampil dengan perancangan seterusnya. Jika saya terus bersedih dan berputus asa, ia tidak akan mengubah apa-apa sekalipun.

“Barangkali apabila penundaan konsert muzikal ini berlaku, ia memberi ruang buat saya dan mereka yang terlibat untuk lebih menumpukan serta memperbaiki apa yang perlu dalam memberikan yang terbaik kelak,” kata Siti Nurhaliza penuh optimis sewaktu ditemui di Istana Budaya, semalam.

Jelas penyanyi jelita itu, biarpun sedikit terkilan dengan penundaan itu, namun, dia enggan terus bersedih sebaliknya bingkas bangkit dengan perancangan seterusnya sehingga membuatkan dirinya kembali mengukir senyuman.

Disebabkan itulah, Siti Nurhaliza atau lebih mesra disapa Siti ini bersama pasukannya, Siti Nurhaliza Productions (SNP) tidak mahu membuang masa dan lahir dengan idea untuk mementaskan Konsert Satu Suara Vol. 2 bagi mengisi slot yang dikosongkan itu.

DatoSiti-konsert-m-2
Siti Nurhaliza bersama Mohamed Juhari Shaarani pada sidang media Konsert Satu Suara Vol.2 yang berlangsung di Istana Budaya, semalam. – Foto TRP/Azrol Ali

Jika lima tahun lalu, Konsert Satu Suara menampilkan dua penyanyi dan komposer terkenal, Aizat Amdan dan Faizal Tahir, namun, kali ini Siti bergandingan bersama dua penghibur legenda nusantara iaitu Hetty Koes Endang dan Datuk Ramli Sarip.

“Dalam setiap perancangan yang sudah diaturkan, saya memang bersiap sedia dengan pelan seterusnya seandainya pelan utama tidak menjadi. Lalu, idea untuk mementaskan siri kedua Konsert Satu Suara timbul dan kami tidak menunggu masa lama untuk menghubungi Hetty dan Ramli.

“Syukur Alhamdulillah, kedua-duanya juga memberikan jawapan pantas dengan menyatakan persetujuan mereka sebaik sahaja saya menghubungi mereka. Malah, kedua-duanya juga mahu membantu apa yang perlu terutama dari segi idea dan konsep persembahan.

“Disebabkan itulah, saya percaya setiap apa yang berlaku ada hikmahnya dan Syukur Alhamdulillah, jalan itu dipermudahkan untuk saya dalam mementaskan Konsert Satu Suara Vol. 2,” ujar pemilik trofi Vokal Wanita Terbaik Anugerah Industri Muzik sebanyak 12 kali itu dalam nada gembira.

Turut hadir pada sidang media itu adalah Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani.

Sebagai seorang penghibur yang sudah berkecimpung selama dua dekad, Siti sendiri melahirkan rasa terujanya apabila dapat berkongsi pentas dengan dua penghibur tersohor itu dalam sebuah konsert berskala besar.

DatoSiti-konsert-m-7
Buat pertama kalinya, Siti Nurhaliza akan berkongsi pentas dan beraksi bersama dua penghibur legenda, Ramli Sarip dan Hetty Koes Endang dalam sebuah konsert berskala besar pada 7 dan 8 November ini. – Foto Siti Nurhaliza Productions

“Sebelum ini, baik Hetty mahupun Ramli, kami hanya berpeluang beraksi dalam sebuah persembahan pentas yang biasa sahaja. Inilah kali pertama kami digandingkan dan pastinya perasaan berdebar itu tidak dapat disembunyikan.

“Buat masa ini, kami bertiga masih lagi di dalam proses seleksi lagu yang akan disampaikan kelak. Apa yang pasti akan ada persembahan solo, duet dan trio bagi melengkapkan perjalanan konsert tersebut,” ujar isteri kepada usahawan ternama, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa ini lagi.

Dalam masa yang sama, pemilik jenama kosmetik terkenal, SimplySiti ini juga tidak menolak kemungkinan untuk menjadikan Konsert Satu Suara sebagai satu jenama daripada SNP dalam siri konsert di masa akan datang.

Bagi mereka yang mahu menonton konsert hebat ini pada 7 dan 8 November ini, tiket-tiket untuk menyaksikannya akan mula dijual pada 9 Oktober ini. Namun, SNP dan Istana Budaya tidak teragak-agak untuk melanjutkan konsert ini untuk tempoh sehari lagi seandainya sambutan yang diberikan begitu menggalakkan.

Tiket-tiket berharga dari RM78 hingga RM518 boleh didapati di laman sesawang www.AirAsiaRedtix.com selain boleh dibeli di toko muzik Rock Corner dan Victoria Music di sekitar Lembah Klang serta kaunter Box-Office Istana Budaya.