KUALA LUMPUR, 30 September:

Jika ada yang terus mengharapkan rapper terkenal, Waris untuk terus menghasilkan lagu dialek Negeri Sembilan selepas kejayaan lagu Gadis Jolobu, rasanya simpan dulu hasrat itu.

Ini kerana bagi empunya diri, dia mahu ‘berehat’ seketika melagukan karya dialek dari negeri itu agar peminat tidak terus bosan dan menganggapnya dirinya tidak mahu keluar dari kepompong mahupun zon selesanya.

Apatah lagi kata Waris, selepas kejayaan Gadis Jolobu, dia mengalami kesukaran untuk mencari penyanyi yang benar-benar mampu menyanyi di dalam dialek berkenaan kerana tidak mahu nilai bahasa dialek itu rosak.

Demi untuk memberikan sesuatu yang baharu kepada peminat, Waris telah menghasilkan lagu Cinta Terakhir yang jauh berbeza dengan apa yang pernah dipersembahkannya menerusi Gadis Jolobu.

Kali ini, menerusi lagu Cinta Terakhir, Waris atau nama sebenarnya, Muzammil Alias mengambil pendekatan dengan menghasilkan lirik yang berunsurkan kerohanian selepas mendapat ilham sewaktu menunaikan umrah tidak berapa lama dulu.

“Inspirasi juga sebenarnya daripada emak saya sendiri yang sekian lama bertanya bilakah saya mahu menghasilkan lagu ketuhanan. Apabila dia sendiri menyuarakan hasrat itu, saya berfikir sejenak.

“Demi tidak mahu menghampakan permintaannya, maka, saya hasilkan lagu Cinta Terakhir selain mahu memberikan pendekatan baharu dan berbeza kepada peminat sebelum saya muncul dengan album baharu sekitar penghujung tahun ini atau awal tahun hadapan,” kata rapper berusia 26 tahun itu ketika ditemui pada majlis pelancaran album This Is Mixology Music Vol. 2 di ibu negara, baru-baru ini.

Ternyata jelas anak kelahiran Rembau, Negeri Sembilan itu lagi, dia bersyukur dan gembira apabila Cinta Terakhir sudah mula mendapat perhatian daripada peminat selain disambut baik oleh stesen radio tempatan.

wa-05-(M)
Waris (dua dari kiri) bersama artis naungan Mixology Music yang diketuai oleh pengasasnya, DJ Fuzz (bertopi biru) pada majlis pelancaran album kompilasi This Is Mixology Music Vol. 2 di ibu negara, baru-baru ini. – Foto TRP/Wan Kah Hoong

Menariknya, untuk lagu berentak hip hop yang mengambil sampling daripada lagu popular Ella, Dua Insan Bercinta yang juga lagu kegemaran Waris itu, menyaksikannya berkolaborasi bersama bekas vokalis kumpulan Exist, Ezad Lazim.

“Memang dari awal lagi, saya mahu mencari seorang penyanyi lelaki untuk digandingkan dan selepas berfikir, saya berkata mengapa tidak Ezad yang juga antara penyanyi yang saya gemari. Apatah lagi, saya sendiri membesar dengan lagu-lagu nyanyiannya.

“Apabila saya menawarkannya kepadanya, dia tidak berfikir panjang lalu bersetuju untuk merakamkannya bersama saya. Kalau ada yang bertanya kepada saya mengapa tidak sahaja mengambil Ella memandangkan dia adalah penyanyi asal, jawapannya adalah kerana nota lagu ini tinggi dan hanya sesuai untuk penyanyi lelaki,” cerita Waris panjang lebar.

Ketika ditanya tentang perkembangan album baharunya, bekas finalis Anugerah Juara Lagu ke-29 (2015) itu memberitahu dia sudah pun merakamkan tujuh buah lagu yang masih belum berjudul.

Jelasnya rapper yang juga popular dengan lagu Rembau Most Wanted ini, ada masih lima hingga enam buah lagu masih berbaki untuk dirakamkan dan semuanya bergantung kepada komposer dan penerbit albumnya, DJ Fuzz.

“Album ini akan berbeza dengan album saya sebelum ini. Ia masih mengekalkan rap dan hip hop tetapi saya pelbagaikan cara rap saya sendiri. Bukan hanya lagu di dalam Bahasa Melayu, tetapi saya juga masih mengekalkan lagu dalam dialek Negeri Sembilan selain lagu Inggeris.

Dalam pertemuan itu juga, Waris turut melahirkan rasa gembiranya apabila masih dapat terus bertahan dan menaungi syarikat Mixology Music milik DJ Fuzz yang disifatkannya sebagai sebuah keluarga yang begitu memahami kehendak serta jiwa seninya.

Malah, Waris memberitahu setakat ini dia tidak pernah berhadapan dengan sebarang masalah dan DJ Fuzz sendiri juga memberikan kebebasan kepadanya untuk berkarya.