KUALA LUMPUR, 27 September:

Setelah hampir setengah tahun mendirikan rumah tangga, pelakon kacak, Keith Foo, 32, menyuarakan rasa gembira dan melahirkan kebahagiaan yang dinikmatinya setelah begelar suami kepada Kim Raymond.

Jelas Keith yang mula menempa kemasyhuran di Malaysia menerusi drama rantaian Ariana Rose itu, biarpun statusnya kini sudah berubah menjadi seorang suami, namun, dia begitu optimis dengan perjalanan kariernya.

Malah, dia tidak melihat perkahwinannya sebagai satu halangan untuknya terus maju di dalam bidang lakonan selain meraih perhatian peminat hiburan tempatan.

“Secara peribadi, status berkahwin bukanlah penghalang mahupun menjadi penyebab untuk populariti seseorang itu merundum di dalam industri. Sedari awal lagi, saya cukup percaya dengan sifat disiplin, gaya penampilan dan karya yang dihasilkan menjadi tunjang utama dalam penilaian hasil kerja seseorang anak seni itu.

“Kita hanya mampu berikan yang terbaik dan jika kita lihat dari sudut yang lebih luas, semua orang lambat-laun pasti akan berkahwin dan ia adalah satu fitrah yang tidak dapat dielakkan.

“Justeru, saya juga percaya jika kita mampu untuk terus menjaga nama kita dengan baik serta memelihara hubungan dengan semua orang, saya percaya sokongan itu akan tetap berterusan,” ujar Keith panjang lebar sewaktu ditemui pada malam gala Girlfriend Kontrak yang berlangsung di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Tidak hadir keseorangan, sebaliknya, Keith atau nama sebenarnya, Foo Chuan Chin hadir bersama isterinya yang membuatkan pihak media yang hadir untuk terus bertanyakan lebih lanjut tentang kisah rumah tangganya.

M7
Keith Foo tidak melihat perkahwinannya sebagai satu rahsia sebaliknya, dia lebih selesa untuk tidak menghebahkannya kepada umum kerana menyifatkannya sebagai sesuatu yang cukup peribadi. – Foto TRP/Mokhsin Zamani

Pun begitu, Keith yang pernah mencipta nama sebagai seorang pelakon di Indonesia sekitar enam tahun lalu itu turut ditebak dengan soalan mengenai perkahwinannya yang diadakan secara rahsia.

Menjawab soalan itu dengan tenang, pelakon drama Tollgate Asmara itu menjelaskan dia tidak pernah merahsiakan tentang perkahwinan itu tetapi sebaliknya dia memilih untuk tidak menguar-uarkan kepada umum.

“Justeru, saya kurang setuju dengan tanggapan yang mengatakan saya merahsiakan tentang perkahwinan saya itu kerana semua pihak sudah tahu akan tentangnya termasuk keluarga kami, rakan-rakan rapat serta orang-orang industri.

“Bagi saya, perkahwinan itu adalah sesuatu yang normal dan perlu dihadapi oleh mana-mana lelaki dan wanita yang sudah sampai ke satu tahap untuk merasmikan atau mengesahkan hubungan mereka.

“Malah, saya berpendapat ia adalah sesuatu yang cukup peribadi dan adalah wajar untuk saya tidak menghebohkannya kepada umum. Apa yang penting, hubungan dan perkahwinan kami direstui serta dipersetujui oleh keluarga,” ujar Keith dalam nada penuh berhemah memberikan pandangannya.

Jika disingkap hubungan mereka sebelum ini, memang sudah tersebar bahawa Keith dan Kim dikatakan sudah bertunang pada 24 Jun tahun lalu. Selepas enam bulan bertunang, mereka mengambil keputusan untuk berkahwin secara sivil dan mendaftarkan perkahwinan mereka pada 21 Disember lalu.

MM
Filem lakonan Keith Foo dan Nur Risteena Munim yang berjudul Girlfriend Kontrak sudah pun mula ditayangkan sejak 24 September lalu. – Foto Grand Brilliance Sdn. Bhd.

Menyambung bicaranya, anak kelahiran Gemas, Negeri Sembilan ini mengakui tanggungjawabnya kini menjadi semakin berat apabila perlu memikul tugasnya sebagai seorang suami, ketua keluarga dan juga figura awam yang sentiasa menjadi perhatian ramai.

Menurut Keith, isterinya merupakan pendorong utama di dalam kariernya dan turut mejadi sumber inspirasi buatnya terus berjuang di dalam industri lakonan.

“Kami bukan hanya teman tetapi juga sahabat karib dan telah mengenali antara satu sama lain lebih 13 tahun lalu. Dia telah menjadi pendokong utama dalam kerjaya seni saya selama ini dan tidak pernah lelah memberikan dorongan serta semangat kepada saya.

“Dengan adanya dia sebagai isteri saya sekarang ini, Kim juga bertindak sebagai penata gaya peribadi saya di samping menguruskan jadual serta masa pekerjasan saya,” ujar Keith tanpa selindung sambil tidak menolak rezeki untuk menimang cahaya mata dalam waktu terdekat ini.

Sementara itu, filem lakonan pertama Keith sebagai teraju utama, Girlfriend Kontrak sudah mula ditayangkan di pawagam tempatan sejak 24 September lalu.

Menerusi filem arahan Virginia Kennedy itu, Keith digandingkan dengan aktres muda yang semakin meningkat naik, Nur Risteena Munim di samping pelakon popular lain antaranya Fara Fauzana, Azad Jasmin dan Bront Palarae.