KUALA LUMPUR, 26 September:

Sedang saya asyik melayari Instagram sebentar tadi, mata saya terpaku dengan sekeping gambar yang terpapar di skrin menerusi akaun milik aktres terkenal, Eja Saifuddin (@eja78).

Dalam pada itu, ada juga beberapa keping yang telah Eja repost daripada akaun seorang pelakon wanita yang juga sahabat karibnya iaitu Datin Nur Aliah Lee Abdullah yang kini sedang menunaikan fardu Haji bersama suaminya, Datuk Muhammad Zekri Ibrahim.

Namun, sekeping gambar ini membuatkan saya melihatnya berkali-kali sambil membaca kapsyen yang ditulis oleh Nur Aliah. Apabila saya membacanya dan melihat gambar itu kembali, saya hanya mengukir senyuman dan tumpang gembira dengan apa yang telah ditulis oleh Nur Aliah.

Siapa sangka, dengan kuasa Allah SWT, Nur Aliah dapat bertemu dengan seorang bekas pelakon lelaki handalan negara yang kalau disebut namanya sehingga ke hari ini, pastinya ramai yang tidak akan melupakan pelakon hebat itu.

Bekas aktor yang dimaksudkan itu adalah Sidi Oraza yang pernah berada di tangga teratas dalam senarai pelakon lelaki hebat tempatan sewaktu di zaman kegemilangannya pada era 90-an.

Tidak keseorangan, sebaliknya gambar itu turut memaparkan Sidi bersama isterinya yang juga bekas pelakon, Tengku Ismawati Badrulzaman dan salah seorang anak mereka di samping Nur Aliah.

Benar. Siapa yang dapat melupakan kehebatan dan karisma Sidi atau nama sebenarnya, Syed Osman Syed Rastan yang kini usianya sudah pun menghampiri setengah abad.

Saya percaya ramai yang merindui kelibat Sidi di kaca televisyen dan filem hari ini tetapi memandangkan aktor berkaliber itu sudah mengucapkan selamat tinggal kepada dunia lakonan lebih 15 tahun lalu, maka, yang tinggal hanyalah kenangan kita terhadap lakonannya.

Tidak dapat dinafikan lagi tahun 90-an memang menjadi milik Sidi. Setiap lakonannya tidak pernah gagal memberikan impak dan sehingga ke hari ini pun, tanyalah pada sesiapa, Sidi masih lagi diletakkan di dalam liga aktor terbaik negara.

Sidi bukan calang-calang pelakon. Tidak berlandaskan populariti kosong semata-mata tetapi dia hadir dengan bakat yang jarang ada pada pelakon hari ini. Disebabkan itulah, sehingga ke hari ini, peminat hiburan mengenali Sidi atas tiket lakonannya dalam filem mahupun drama.

Bakat lakonan Sidi bukan hanya diiktiraf di tanah kelahirannya tetapi keberkesanan lakonannya dalam filem Sayang Salmah pernah menjulang namanya di peringkat antarabangsa.

Kalau ada yang terlupa, Sidi pernah mencipta sejarah apabila memenangi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Festival Filem Asia Pasifik ke-41 (1996) di Auckland, New Zealand menerusi filem arahan Dr. Mahadi J. Murat itu.

Malah, anak kelahiran Ayer Itam, Pulau Pinang itu juga salah seorang daripada pelakon lelaki tempatan yang pernah menerima pengiktirafan daripada Festival Filem Malaysia apabila memenangi dua trofi Pelakon Lelaki Terbaik bagi filem Layar Lara (1997) dan Sayang Salmah (1995).

Bukan pengktirafan dalam dunia perfileman tetapi lakonan mantapnya di samping Ida Nerina dalam drama Anak Angkat juga menghadiahkannya dengan trofi Pelakon Lelaki Terbaik TV pada Anugerah Skrin 1994.

Sebelum dia mengundurkan diri daripada dunia seni, Sidi juga pernah mengarahkan beberapa buah drama TV dan salah satu yang diingati sehingga ke hari ini adalah Surah Terakhir yang diterbitkan oleh Kuasatek Pictures.

Drama yang turut dibintangi oleh pelakon wanita hebat, Datin Seri Umie Aida itu memperlihatkan kewibawaan Sidi sebagai seorang pengarah apabila diberi pengiktirafan sebagai Pengarah Terbaik pada Anugerah Skrin 1999.

Begitulah hebatnya penangan Sidi Oraza sebagai seorang aktor yang disegani dan terus dikenang kerana lakonannya sehingga ke hari ini. Walaupun sudah bersara dan kini fokus kepada dunia perniagaan, tetapi, sesungguhnya beliau masih tiada tandingan.

Kami di The Rakyat Post mendoakan agar Nur Aliah dan Sidi serta semua umat Islam lain yang berada di Tanah Suci akan mendapat haji yang mabrur. Amin!