KUALA LUMPUR, 5 September:

Aktor berkarisma ini hanya mampu melemparkan senyumannya ketika ditanya tentang perasaannya apabila dicalonkan untuk Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) buat kali ketiga.

Bagi Bront Palarae, dia melihat sesuatu yang positif daripada pencalonan tahun ini yang disifatkannya sebagai cukup menarik sekaligus menampakkan kematangan acara tahunan itu sendiri.

“Bagi saya, festival filem atau apa jua penganjuran anugerah sekali pun, persaingan itu tidak pernah wujud kerana ia bukannya seperti acara sukan.

“Sebaliknya, ia lebih kepada satu pengiktirafan dan penghargaan kepada karyawan seni yang telah memberikan persembahan terbaik mereka dalam setiap filem yang dilakonkan.

“Justeru, saya berasa sangat senang hati dengan pencalonan tahun ini dan untuk saya sebaris dengan empat calon lain juga adalah satu pengiktirafan yang cukup saya hargai,” katanya dalam nada yang sangat optimis kepada The Rakyat Post dalam satu pertemuan di ibu negara, baru-baru ini.

Untuk tahun ini, pemilik nama penuh Nasrul Suhaimin Saifuddin ini dicalonkan menerusi filem Terbaik Dari Langit dan bakal berhadapan dengan empat calon lain yang tidak kurang hebatnya.

Mereka yang tercalon untuk Festival Filem Malaysia ke-27 (FFM 27) termasuklah Awie yang dicalonkan menerusi filem Dollah Superstar, Lee Sai Peng (The Journey), Que Haidar (Ophilia) dan Wan Hanafi Su (Lelaki Harapan Dunia).

Menyambung bicaranya, pelakon tinggi lampai berusia 37 tahun itu juga menyifatkan pencalonannya menerusi filem arahan Nik Amir Mustapha itu sebagai satu kejayaan bagi warga kerja Terbaik Dari Langit.

TDL-(M)
Filem Terbaik Dari Langit menjadi filem kedua selepas Lelaki Harapan Dunia yang menerima pencalonan terbanyak tahun ini dengan 12 pencalonan termasuk Filem Terbaik.

“Saya lebih teruja dan gembira untuk pasukan Terbaik Dari Langit apabila hasil kerja mereka mendapat perhatian tahun ini dengan 12 pencalonan yang saya anggap ia sudah menjadi satu kemenangan buat mereka.

“Saya percaya juri melihat sesuatu yang sangat istimewa dalam filem ini sehingga meletakkan mereka dalam kedudukan yang sewajarnya.

“Secara tidak langsung, ia membuktikan bahawa filem kecil yang memiliki jiwa besar seperti ini masih mendapat tempat di dalam industri biarpun ia tidak mendapat perhatian meluas daripada penonton,” katanya yang membawakan watak Berg dalam filem tersebut.

Ketika ditanya tentang tekanan daripada masyarakat yang mahu melihatnya menjulang trofi berkenaan buat kali kedua selepas memenanginya pada Anugerah Festival Filem Antarabangsa Asean (AIFFA 2015), Mei lalu, dia tidak mahu memikirkan tentang soal berkenaan.

Baginya, setiap pencalonan atau kemenangan yang diterimanya adalah bonus kerana apa yang penting baginya, adalah impak yang terhasil daripada lakonannya.

Sekadar menyingkap sejarah, Bront pernah memenangi trofi Pelakon Lelaki Terbaik pada FFM 23 (2010) menerusi filem Belukar dan dicalonkan sekali lagi tahun lalu bagi filem Psiko Pencuri Hati.

Malah, pelakon filem Sejoli itu juga pernah menerima pencalonan dalam kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik pada FFM 23 (2010) dan FFM 24 (2013) masing-masing untuk filem V3: Samseng Jalanan dan Jiwa Taiko.