KUALA LUMPUR, 2 September:

Pengarah dan penerbit terkenal, Datuk Yusof Haslam membuat pengakuan terbuka bahawa beliau pernah bersikap skeptikal terhadap penghasilan filem Bukit Kepong pada awal 80-an.

Kata Yusof, beliau mempunyai pemikiran sebegitu terhadap filem arahan Tan Sri Jins Shamsudin itu kerana kurang yakin dengan filem berkenaan yang mengangkat kisah sejarah dan menampilkan tema patriotik.

“Kalau diperhatikan pada akhir era-70 dan 80-an, genre yang menjadi pertaruhan ketika itu adalah berkonsepkan drama dan juga cinta.

“Lalu, apabila Jins mengambil pendekatan dengan mahu mengarahkan dan menerbitkan filem Bukit Kepong yang jarang sekali diterbitkan oleh anak tempatan pada ketika itu, pastinya saya mempunyai perasaan sangsi.

“Namun, sangkaan saya meleset apabila filem tersebut berjaya menjadi salah sebuah filem box-office pada tahun ia ditayangkan sekaligus telah meletakkan ia juga antara filem tempatan terbaik yang pernah dihasilkan dalam sejarah perfileman di negara ini,” kata pengarah filem Sembilu (1994) itu tanpa selindung.

Filem Bukit Kepong yang ditayangkan pada tahun 1981 itu bukan hanya menampilkan Jins sebagai teraju utama tetapi juga Yusof dan pelakon lain seperti Allahyarham Hussein Abu Hassan, Allahyarham A. Rahim dan juga Suhana Yahya.

Bukit-Kepong-04-M
Salah satu babak filem Bukit Kepong yang telah dibaik pulih dan ditingkatkan taraf kualitinya menjadi definisi tinggi dan masih ditayangkan di beberapa pawagam terpilih di seluruh negara. – Foto KRU Studios

Ketika ditanya kepada pengarah dan penerbit berusia 61 tahun itu mengapa beliau menerima tawaran membintangi Bukit Kepong walaupun mempunyai pandangan skeptikal, jelas Yusof, dia menerimanya kerana jenama Jins sendiri.

“Pada era itu juga, nama Jins cukup besar dan merupakan pengarah yang hebat serta berada di puncak kegemilangan. Tanyalah kepada mana-mana pelakon, semuanya mahu berlakon di bawah arahan beliau.

“Begitu juga dengan saya. Pengalaman membintangi filem Bukit Kepong boleh saya sifatkan sebagai salah satu pengalaman terbaik sepanjang saya bergelar anak seni.

“Pada hemat saya dan berdasarkan pengalaman saya sendiri, Jins merupakan pengarah yang cukup teliti dan mementingkan kesempurnaan kerana dia mahu hasil yang terbaik. Semuanya itu dapat dilihat dalam Bukit Kepong,” jelas Yusof yang juga bekas pemenang Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia Keempat (1983) menerusi filem Mekanik itu lagi.

Dalam masa yang sama, Yusof yang turut pernah membintangi sebuah lagi filem arahan Jins, Tiada Esok Bagimu pada tahun 1979 memuji inisiatif KRU Studios yang membaik pulih serta menaik taraf kualiti filem Bukit Kepong untuk ditayangkan semula di pawagam.