Filem: Jejak Warriors

Penerbit: U2 Media, The Red Warriors & UniKL

Pengarah: Saw Teong Hin

Pelakon: Mohd. Aliff Firdaus, Nadiya Nisaa, Allahyarham Harun Salim Bachik, Pekin Ibrahim, Fauziah Ahmad Daud, Bell Ngasri, Amir Raja Lawak dan Syuk SYJ

Penampilan khas: The Red Warriors – Khairul Fahmi Che Mat, Wan Zack Haikal Wan Nor, Mohd. Fitri Omar, Ahmad Fakri Saarani dan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria

Genre: Sukan/Keluarga/Drama

Tarikh tayangan: 27 Ogos 2015

ULASAN:

Filem bercorak kesukanan di negara ini masih kurang dan tidak banyak filem yang dihasilkan tentang dunia sukan itu sendiri.

Jika ada sekalipun, yang paling diingati sehingga ke hari ini adalah Gol & Gincu (2005) yang diarahkan oleh Bernard Chauly sekaligus menjadi salah sebuah filem yang mengangkat tema sukan futsal dengan subplot kekeluargaan dan isu semasa.

Biarpun tidak mendapat kutipan box-office ketika ditayangkan di pawagam, namun Gol & Gincu dilihat telah membawa satu revolusi baru dalam penghasilkan filem tempatan ketika itu.

Sebuah filem yang mengangkat tema sukan yang boleh dikira diingati dalam beberapa tahun kebelakangan ini adalah Libas (2011) yang diarahkan oleh Jurey Latiff.

Dengan mengenengahkan dunia sepak takraw dan dibintangi nama-nama popular, namun, filem itu juga dilihat gagal untuk meraih perhatian penonton dari segi kutipan tiketnya.

Justeru, apakah filem Jejak Warriors yang sudah pun menemui peminat filem tempatan bermula 27 Ogos lalu, akan mencipta sejarah baru apabila filem bertemakan sukan akan mencatatkan kutipan pecah panggung?

bola2
Salah satu babak lakonan Nadiya Nisaa dan Mohd. Aliff Firdaus dalam filem Jejak Warriors yang kini sedang ditayangkan di pawagam tempatan. – Foto Empire Film Solution

Selepas menonton filem tersebut yang diarahkan oleh Saw Teong Hin (Puteri Gunung Ledang, 2004), saya melihat Jejak Warriors memiliki potensi yang sangat besar untuk menjadi sebuah filem box-office.

Jujurnya, sebelum menonton filem ini, saya memang skeptikal terhadap Jejak Warriors. Ditambah dengan komen seorang sahabat yang memberikan ulasan negatif terhadap sedutan filemnya telah menimbulkan keraguan dalam diri saya.

But then again, I gave the benefit of the doubt dengan melapangkan fikiran saya dengan berkata bahawa filem ini diarahkan oleh seorang pengarah yang memiliki portfolio seni yang memberangsangkan.

Sudah pasti, saya percaya ia akan memberikan sentuhan yang berbeza. Well, saya harus katakan bahawa Jejak Warriors telah dihasilkan dengan baik sekali and it has the feel good movie experience.

Pada sangkaan saya, filem ini adalah tentang The Red Warriors semata-mata dan mungkin ia tentang sejarah mahupun kisah benar mengenai kelab pasukan bola sepak popular itu. Namun, semuanya meleset.

Filem Jejak Warriors hadir dengan semangat patriotisme tersendiri dan sangat tepat pada ketika negara menyambut sambutan ulang tahun kemerdekaan ke-58 dengan menjadikan sukan bola sepak sebagai subjek untuk menterjemahkan simbolisme tersebut.

Menerusi watak Wan Raja lakonan Mohd. Aliff Firdaus yang telah memberikan persembahan bersahaja namun, meninggalkan kesan, ia adalah sebagai suara rakyat negara ini terhadap semangat dan patriotisme terhadap dunia sukan.

Dari sudut yang lain, saya melihat Jejak Warriors juga adalah suara kepada rakyat Kelantan secara khusus dan negara ini secara amnya dengan memberikan mesej bahawa ke mana sahaja kita pergi, tanah kelahiran juga adalah yang terbaik serta dekat di hati.

Pun begitu, subplot filem ini juga memainkan peranan penting terutama apabila melibatkan kisah yang berlaku dalam kehidupan Nadia (Nadiya Nisaa) termasuk hubungan dengan bapanya yang dilakonkan oleh Allahyarham Harun Salim Bachik.

bola3
Kemunculan dua bekas peserta Raja Lawak, Amir (kiri) dan Syuk memberikan impak tersendiri dalam filem Jejak Warriors. – Foto Empire Film Solution

Seperti mana semangat kesukanan yang diterapkan dalam filem ini, ia juga satu perlambangan yang memberi indikasi bahawa sukan sebenarnya mampu untuk menyatukan sesiapa sahaja waima latar belakang, kaum, bangsa dan status.

Dari aspek pengarahan, saya melihat hasil kerja Teong Hin kali ini agak kemas dan memberikan satu dimensi yang sedikit berbeza seiring dengan tema filem ini. Penggunaan drone misalnya, adalah pilihan terbaik dalam menonjolkan aspek sinematik Jejak Warriors.

Malah, suntingan pun dilakukan dengan kemas dan setiap adegan itu dijalin dengan baik tanpa mengelirukan penonton serta setiap watak juga melalui perkembangan yang setimpal dan seimbang.

Satu yang pasti dan saya melihatnya bukan satu masalah besar adalah bahasa yang digunakan dalam filem ini yang sebahagiannya adalah dialek Kelantan. Sebenarnya, dialek itulah yang telah memberikan nyawa serta menghidupkan jalan cerita Jejak Warriors.

Bagi saya, ia adalah pilihan tepat dalam mengekalkan autentik filem ini dalam menyampaikan maksud tersirat dan tersurat kepada audiens untuk memahami perjalanan Jejak Warriors.

Bagaimana pula dengan lakonan The Red Warriors? Ingin saya ingatkan, mereka bukan berlakon pun. Hanya sekadar menjadi diri mereka sendiri dan sebagai sumber kekuatan serta pembakar semangat kepada Wan Raja dalam mencari jati diri selain mahu menunaikan impian bapanya.

Masih belum terlambat untuk anda menonton Jejak Warriors kerana ia sangat berbaloi dengan pelaburan yang anda lakukan. Nikmatinya tanpa sebarang prejudis kerana saya percaya semangat patriotik dalam filem ini sebenarnya ada dalam diri setiap daripada kita.