KUALA LUMPUR, 25 Ogos:

‘Kehilangan’ penyanyi wanita tersohor dunia, Celine Dion daripada dunia hiburan dan sebarang publisiti ada sebabnya.

Awal-awal lagi, Dion meningkah dakwaan segelintir pihak yang mengatakan dia sudah mahu bersara tetapi kata penyanyi kelahiran Kanada itu memberitahu fokus dan tumpuan untuk sejak hampir dua tahun lalu adalah terhadap keluarganya.

Lebih-lebih lagi, suaminya, Rene Angelil, 73, yang kini sedang bertarung dengan kanser tekak yang sudah dihidapinya sejak 15 tahun lalu membuatkan Dion perlu melupakan seketika dunia nyanyiannya.

Apatah lagi, suaminya kini memerlukan perhatian dan rawatan rapi kerana Angelil sudah tidak berupaya melakukan sebarang aktiviti sendirian sehingga dia perlu disuap untuk menikmati makanan.

“Saya sering bertanyakan kepada doktor tentang jangka hayat suami saya. Berapa lagi dia akan hidup? Tiga minggu? Tiga bulan? Tiga tahun? Percayalah, itu bukan dari diri saya tetapi Rene yang mahu jawapan sebenarnya sehingga doktor tidak mampu menjawabnya.

“Namun, saya bersyukur anak sulung saya, Rene-Charles yang kini sudah berusia 14 tahun dengan pantas sudah mampu menjadi ketua keluarga dan tahu apa yang dia perlu lakukan berbanding dua adiknya, si kembar, Nelson dan Eddy yang masih kecil dan tidak tahu tentang keadaan bapa mereka.

“Apa yang saya sering lakukan adalah untuk memastikan kesemua anak-anak kami sentiasa berada di sisi Rene pada setiap waktu dan ketika terutama pada waktu makan,” jelas penyanyi lagu My Heart Will Go On itu dalam nada sayu dalam satu temuramah eksklusif bersama akhbar USA Today, semalam.

celine3
Keluarga bahagia Celine Dion yang merupakan nadi utama penyanyi itu dalam meneruskan kehidupan sehariannya. – Foto www.tasteoflifemag.com

Dion dan Angelil mendirikan rumah tangga pada tahun 1991 pada ketika penyanyi itu berusia 23 tahun manakala Angelil yang merupakan pengurusnya itu pula berusia 49 tahun.

Selepas sembilan tahun mendirikan rumah tangga, mereka dikurniakan dengan cahaya mata pertama pada tahun 2001. Kemudian, pada tahun 2010, pasangan itu memiliki anak lelaki kembar yang kini berusia hampir lima tahun.

Menyambung bicaranya, bekas pemenang anugerah Grammy sebanyak lima kali itu mengakui beberapa bulan kebelakangan ini merupakan antara momen yang cukup mengusik naluri wanitanya.

Kata penyanyi berusia 47 tahun itu lagi, dia sering menghabiskan masa berbual dengan Angelil sehingga ada kalanya dia tidak mampu menahan rasa sebaknya setiap kali perbualan mereka berkaitan dengan kematian.

Sambil menyifatkan Angelil merupakan satu-satunya kekasih yang pernah hadir dalam hidupnya, ada kala pendekatan yang diambil oleh Dion agak kuat kerana dia mahu suaminya menjadi seorang yang positif dan melawan penyakitnya itu sebaik mungkin.

“Namun, saya sedar akan keadaan dirinya yang memerlukan belaian dan jiwanya yang semakin sensitif membuatkan saya tidak mahu terlalu berkeras dengannya. Hatinya rapuh lebih-lebih lagi setiap kali apabila kami menghabiskan masa berdua.

“Saya bertanyakan kepadanya apakah dia takut dan memberikan dia peluang untuk bercerita apa sahaja kepada saya. Katanya, dia mahu mati dalam dakapan saya dan saya berjanji akan menunaikannya,” ujar Dion sambil menahan sebak.

celine2
Celine Dion akan kembali meneruskan persembahan residennya, Celine di Ceasars Palace, Las Vegas, Amerika Syarikat bermula 27 Ogos ini.

Di sebalik itu, kata penyanyi yang juga masyhur dengan lagu Because You Loved Me dan A New Day Has Come itu lagi, dia menyifatkan suaminya adalah sebagai satu hadiah yang cukup bernilai dan tidak akan terganti.

Disebabkan suaminya jugalah, Dion kembali meneruskan persembahan residen baharunya, Celine di Ceasers Palace, Las Vegas, Amerika Syarikat bermula 27 Ogos ini.

“Hanya Tuhan yang tahu bagaimana perasaan saya untuk kembali menghiburkan peminat di atas pentas. Dengan keadaan Rene ketika ini, ia membuatkan saya serba salah.

“Tetapi, dia memberikan sokongan padu untuk meneruskan apa yang saya minat kerana dia tahu nyanyian adalah sesuatu yang tidak mungkin akan saya tinggalkan sehingga ke akhir hayat saya.

“Jadi, kekuatan yang ada pada diri saya ini datangnya daripada Rene dan ini adalah keputusan yang tepat untuk saya lakukan,” katanya yang memiliki rekod penjualan album melebihi 200 juta unit di seluruh dunia itu lagi.

Sebelum ini, Dion pernah beraksi di lokasi yang sama pada tahun 2002 menerusi persembahan A New Day… selama tiga tahun sekaligus menjadikan ia sebagai salah sebuah konsert paling laris dalam sejarah.