KUALA LUMPUR, 24 Ogos:

Di sebalik kegagalan filem Gila Baby meraih sebarang pencalonan dalam Festival Filem Malaysia ke-27 (FFM 27), rupanya ada hikmah tersembunyi apabila filem arahan Kabir Bhatia itu berjaya mendominasi kategori filem pada Anugerah Lawak Warna 2015 (ALW 2015) yang berlangsung pada malam Jumaat lalu.

Menerusi acara tahunan anjuran Astro buat kali ketiga itu, filem terbitan Grand Brilliance Sdn. Bhd. (GBSB) dan Filmscape itu membolot kesemua lima kategori ia dipertandingkan termasuk Filem Komedi dan Pengarah Filem Komedi Terbaik buat Kabir.

Bertemu dengan penerbit filem berkenaan yang juga Pengurus Besar GBSB, Tengku Iesta Tengku Alaudin sebaik sahaja majlis berakhir, pihaknya sangat terkejut dengan kemenangan itu kerana tidak meletakkan harapan yang tinggi.

Sementelah, saingan dalam kategori filem juga kata Tengku Iesta, bukan sembarangan yang membuatkan pihaknya lebih selesa untuk hadir ke acara berkenaan sebagai memberi sokongan kepada industri seni tempatan.

“Apabila Gila Baby menang besar pada acara kali ini, ia adalah sesuatu yang sangat istimewa. Apabila kita tidak meletakkan harapan yang tinggi untuk menang dan apa yang berlaku adalah sebaliknya, secara tidak langsung ia memberikan kejayaan yang cukup manis.

warna_M4
Tengku Iesta Tengku Alaudin menyifatkan kemenangan besar Gila Baby sebagai satu kejayaan manis untuk Grand Brilliance Sdn. Bhd. – Foto TRP/Wan Kah Hoong

“Saya percaya kekuatan dan keistimewaan filem Gila Baby terletak kepada skrip, jalan cerita dan stail serta teknik pengarahan Kabir yang sangat berbeza dengan filem-filemnya yang terdahulu,” kata Tengku Iesta optimis.

Selain Filem Komedi dan Pengarah Filem Komedi Terbaik, Gila Baby menjulang nama dua pelakon utamanya, Beto Kusyairy dan Nadiya Nisaa selaku Pelakon Filem Komedi Lelaki dan Wanita Terbaik.

Bahkan, Kabir juga turut memenangi Lakon Layar & Skrip Filem Komedi Terbaik yang dikongsinya bersama seorang lagi penulis filem itu, Alfie Palermo.

Menyambung bicaranya, Tengku Iesta menjelaskan dia memang yakin dengan karya Kabir dan Alfie itu sendiri kerana disifatkannya memiliki pendekatan yang berbeza selain memberikan pembaharuan dalam sinema tempatan.

“Kami di GBSB tidak pernah berkompromi soal kualiti dan proses yang sama juga berlaku sebelum pembikinan Gila Baby. Apabila mereka datang dengan idea, saya mahu lebih daripada sekadar idea.

warna_M2
Pengarah terkenal, Kabir Bhatia sewaktu berucap ketika memenangi Pengarah Flem Komedi Terbaik. – Foto TRP/Wan Kah Hoong

“Dalam erti kata lain, potensi filem itu harus lebih besar dan seboleh-bolehnya memberikan dimensi yang berbeza. Itu yang ada dalam Gila Baby yang memberikan markah untuknya meraih kemenangan dalam ALW 2015 ini biarpun kutipan tiketnya hanya sekadar hampir RM460,000 sahaja,” katanya yang menjelaskan setiap draf skrip yang dihasilkan akan diolah sebanyak lapan hingga 10 kali bagi memastikan kualitinya terjamin.

Kemenangan GBSB untuk kategori dalam ALW 2015 telah mencipta rekod baharu buat syarikat produksi filem itu apabila berjaya mencipta hatrik dalam kategori Filem Komedi Terbaik.

Pada tahun pertama ALW dianjurkan pada 2013, filem Istanbul, Aku Datang meraih gelaran sulung itu dan tahun lalu, ia menjadi milik filem Sejoli.

Malah, penguasaan Gila Baby dalam kategori filem juga mengulangi sejarah filem Sejoli apabila filem arahan Osman Ali itu juga menang besar dengan memenangi enam kategori ia dipertandingkan tahun lalu.

Disebabkan itu, Tengku Iesta mahu terus menghasilkan lebih banyak filem bercorak komedi dan romantik komedi selain mahu mengukuhkan jenama syarikatnya itu menerusi genre sedemikian.