KUALA LUMPUR, 17 Ogos:

Di sebalik pandangan skeptikal masyarakat dan penonton terhadap perkembangan industri perfileman tempatan yang dilihat semakin merudum, ia langsung tidak mematahkan semangat Grand Brilliance Sdn. Bhd. (GBSB) untuk terus menerbitkan filem.

Kata Pengurus Besarnya, Tengku Iesta Tengku Alaudin, pihaknya tidak memikirkan soal jangka masa pendek atau dalam erti kata lain, kutipan sewaktu tayangan filem di pawagam semata-mata.

Sebaliknya, kata beliau, penghasilan filem tempatan adalah untuk jangka masa panjang dalam usaha untuk memperolehi pulangan bagi menampung kembali kos perbelanjaan yang dikeluarkan untuk setiap penghasilan filem.

“Memang kami masih barharap untuk setiap filem yang kami hasilkan dapat membuat kutipan pecah panggung. Akan tetapi, jika kita hanya memikirkan tentang soal kutipan tiket, ia memang agak mustahil dengan pasaran filem ketika ini yang sukar diramal.

“Justeru, sejak awal lagi, GBSB sudah mengatur strategi dan perancangan terbaik agar setiap filem yang dihasilkan dapat memberi pulangan semula. Salah satunya adalah untuk tayangan di televisyen.

“Tidak hanya itu, kami juga tetap fokus kepada platform lain iaitu dengan menayangkannya di saluran Astro First yang masih lagi mampu memberikan pulangan setimpal dengan pelaburan yang telah kami laburkan,” jelas Tengku Iesta penuh optimis.

M5
Filem Sejoli terbitan Grand Brilliance Sdn. Bhd. yang dibintangi Izara Aishah, Bront Palarae dan Maya Karin berjaya mencatatkan kutipan pecah panggung sebanyak RM1.45 juta dan mendominasi kategori filem pada Anugerah Lawak Warna, tahun lalu. – Foto www.budiey.com

Beliau berkata demikian sewaktu ditemui pada majlis rumah terbuka GBSB di Sri Pentas, Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor, minggu lalu.

Pun begitu, kata Tengku Iesta, pihaknya juga sama sekali tidak akan berkompromi soal kualiti kerana tidak mahu dianggap hanya sekadar menghasilkan filem bagai melepaskan batuk di tangga.

Lantaran itu jelasnya, GBSB sangat menitik beratkan soal kualiti skrip dan akan melakukan beberapa saringan sebelum ia direalisasikan menjadi sebuah filem.

“Kami sangat terbuka dan memberi peluang kepada sesiapa sahaja yang mahu menghasilkan skrip untuk GBSB tetapi ia akan melalui beberapa proses sehingga skrip yang dipilih itu benar-benar menepati piawaian kami.

“Dalam hal ini, setiap draf skrip yang dihasilkan ada kalanya akan diteliti sebanyak lapan hingga 10 kali demi memastikan ia adalah yang terbaik.

“Begitu juga dengan soal pemilihan pelakon yang perlu kami ramal untuk setahun atau dua tahun akan datang memandangkan setiap filem yang dihasilkan akan ditayangkan dalam tempoh itu,” jelasnya yang mahu menjadikan genre romantik komedi sebagai jenama GBSB untuk beberapa tahun akan datang ini.