KUALA LUMPUR, 17 Ogos:

Kejayaannya menghasilkan 32 rekaan eksklusif yang diberi nama Doll Domination di bawah jenama fesyennya, House of Doll pada Minggu Fesyen Kuala Lumpur 2015 (KLFW 2015) minggu lalu membuatkan Fazura terus yakin dengan langkahnya.

Biarpun ada pihak yang seolah-olah memperlekehkan kredibilitinya dalam dunia fesyen, namun, wanita jelita itu tidak mengambil pusing dengan kata-kata negatif yang dilemparkan kepadanya.

Sebaliknya, kata pemilik nama penuh Nur Fazura Sharifuddin ini, dia akan terus menghasilkan rekaan terbaru termasuklah untuk pasaran wanita berhijab.

“Memang itu fokus saya selepas ini memandangkan ada permintaan daripada peminat saya yang berhijab.

“Melihatkan kepada kejayaan yang telah saya raih menerusi KLFW 2015, saya optimis dengan langkah saya dalam dunia fesyen dan mahu terus melebarkan perniagaan saya ke peringkat lebih tinggi.

“Ini juga sekaligus membuktikan keseriusan saya dalam bidang fesyen ini dan ia bukan lagi satu perkara main-main,” kata Fazura yang ditemui usai pertunjukan fesyennya di Pavilion, Kuala Lumpur, malam Jumaat lalu.

Tambah anak kelahiran Pekan, Pahang itu lagi, dia sendiri tidak percaya apabila diberi peluang untuk menyertai pertunjukan fesyen berprestij itu tahun ini.

Disebabkan itu jugalah, kata calon Pelakon Wanita Terbaik dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia tahun ini, dia melakukannya dengan sepenuh jiwa dan mencurahkan keringat bagi memastikan semuanya berjalan dengan baik.

“Ramai tidak tahu apa yang saya lalui untuk merealisasikan impian saya ini. Saya melakukannya semua sendiri tetapi juga dibantu dengan bantuan pereka fesyen, Rizman Ruzaini yang memberi tunjuk ajar kepada saya.

“Malah, saya juga sanggup menaiki teksi untuk pergi membeli kain yang saya tempah kerana saya mahu rasa sendiri kepayahan dan keperitan kerana percaya itu adalah laluan untuk mencapai kejayaan,” kata pelakon filem Manisnya Cinta Di Cappadocia ini dalam nada terharu.

Mengulas pula tentang koleksi Doll Domination, penyanyi lagu Sayangi Dirimu itu mahu masyarakat dan penggemar melihatnya sebagai satu lambang kekuasaan wanita.

Katanya, wanita seharusnya berani tampil ke hadapan dengan mencuba warna-warna yang garang dan terang berbanding terus selesa dengan warna yang selamat.

“Malah, daripada penggunaan fabrik untuk koleksi saya itu juga melambangkan jiwa wanita yang ingin saya tonjolkan sebenarnya. Saya berharap ia akan diterima dengan baik oleh peminat fesyen dan peminat saya sendiri,” katanya dengan harapan yang tinggi.

Khusus untuk pembaca The Rakyat Post, berikut merupakan sebahagian daripada koleksi Doll Domination oleh House of Doll rekaan Fazura yang sempat dirakamkan oleh jurufoto kami, SITI SYAHIRAH ROSLAN.

MM3

MM4

MM2

MM