Filem: Nota

Penerbit: 42nd Pictures Sdn. Bhd.

Pengarah: Yasu Tanaka

Pelakon: Hans Isaac, Maya Karin, Allahyarham Ramli Hassan dan Rin Izumi

Genre: Drama/Thriller

Tarikh tayangan: 13 Ogos 2015

ULASAN:

Selepas sekian lama menantikan filem ini ditayangkan, akhirnya ia berjaya juga menemui penonton tempatan bermula hari Khamis lalu.

Sesuatu yang menarik tentang filem Nota ini apabila ia mendapat sentuhan seorang pengarah dari Jepun, Yasu Tanaka yang bukan sembarangan pengarah.

Barangkali namanya agak asing untuk khalayak di negara ini tetapi, nama Tanaka sebenarnya antara nama yang agak besar di pentas perfileman antarabangsa.

Justeru, saya percaya dengan pengalaman yang dimiliki oleh Tanaka mampu memberikan sesuatu yang berbeza menerusi filem Nota. Apatah lagi apa yang menarik perhatian saya adalah gandingan pertama Hans Isaac dan Maya Karin di layar perak.

Ternyata, telahan saya itu tidak silap dan saya akan mengatur ulasan saya ini secara berperingkat di mana ada pro dan kontra tentang filem Nota.

Biasalah. Dalam mana-mana penerbitan filem sekalipun, tidak ada yang sempurna dan perkara itu juga sebenarnya tidak terlepas dalam Nota.

Pertamanya, saya memuji teknik pengarahan Tanaka yang saya sifatkan sebagai bijak dan sangat berbeza dengan sentuhan pengarah tempatan.

Maaf, bukan mahu menjadi bias atau menidakkan kemampuan pengarah tempatan tetapi apa yang dipersembahkan oleh Tanaka pada perspektif saya penuh dengan maksud tersirat dan tersurat menerusi teknik yang diguna pakai.

Saya percaya semuanya itu ada kaitan dengan latar belakang pendidikan dan budaya Tanaka sendiri kerana semua itu jelas kelihatan dalam filem Nota.

onset_M4
Maya Karin telah memberikan persembahan terbaik sebagai seorang isteri yang berhadapan dengan masalah yang akhirnya mendorongnya melakukan sesuatu yang tidak pernah dibayangkannya. – Foto Empire Filem Solution

Suntingannya juga memainkan peranan penting dalam menggerakkan lagi jalan cerita lalu menjadikan Nota lebih terarah kepada sebuah filem art house yang memiliki nilai artistik tersendiri.

Sebagai contoh, teknik pengarahan dan suntingan sewaktu babak nasi lemak dimasak adalah sesuatu yang di luar jangkaan saya sebagai seorang penonton. Walaupun nampak ringkas tetapi, jika diamati dan diperhatikan, semuanya ada maksud tersendiri.

Tidak hanya itu, kelebihan filem Nota atau dalam erti kata lain, yang menjadikan filem ini kelihatan indah di layar lebar adalah sinematografinya yang saya sifatkan terbaik.

Ternyata pengarah fotografinya, Maximilian Schmige bijak mengeksploitasi keindahan negeri Sarawak dalam memberikan satu penontonan yang memberikan keindahan di mata penonton.

Sekali pandang, saya melihat filem Nota seperti gabungan antara filem cereka dan dokumentari pula. Ternyata sebagai pengarah, Tanaka amat menitik beratkan aspek teknikalnya dalam melancarkan lagi perjalanan filem ini.

Mengenai aspek lakonan pula, saya memang teruja untuk melihat gandingan pertama dua pelakon ternama tanah air kerana belum pernah mereka disatukan yang pada hemat saya, sesuatu yang tidak pernah terfikir oleh mana-mana karyawan tempatan.

Seperti mana yang dikatakan oleh Hans dan Maya, mereka memang tidak mahu menjadi terlalu serasi di lokasi penggambaran. Penjelasan mereka itu sebenarnya ada rasionalnya dan barulah saya faham mengapa mereka bertindak sedemikian.

Keserasian itu sebenarnya ada dan Hans serta Maya berjaya membawakan watak masing-masing dengan permainan emosi dalaman yang telah menterjemahkan karakter mereka di skrin.

H4-(M)
Lakonan Allahyarham Ramli Hassan boleh dikatakan menjadi tunjang kepada perjalanan filem Nota. – Foto Empire Film Solution

Saya turut memuji lakonan Allahyarham Ramli yang sebenarnya menimbulkan misteri kepada penonton tentang siapakah dirinya sebenar.

Lontaran vokal, bahasa tubuh dan ekspresi wajah beliau sangat menyakinkan sehingga membuatkan penonton meragui kehadirannya dalam hubungan Kamal dan Erin.

Di sebalik kecemerlangan Nota itu, kelemahan filem ini sebenarnya terletak kepada perjalanan filem yang boleh dikategorikan sebagai perlahan.

Bagi saya, plot dan konflik Nota mudah difahami dan ia boleh dibikin dengan mudah sebenarnya tanpa perlu membuatkan penonton berasa resah untuk menanti adegan seterusnya.

Akan tetapi, sebagai pengarah dan penulis skrip, saya percaya Tanaka mahu penonton menikmati sebuah filem yang bukan klise seperti mana yang sering disajikan kepada kita.

Dan, dari aspek itu, Tanaka berjaya dan semoga penonton tempatan dapat menghargai kesungguhan beliau untuk memberikan satu sajian baru kepada khalayak filem.

* Sebelum menyertai The Rakyat Post, penulis pernah berkhidmat sebagai wartawan hiburan di sebuah syarikat penerbitan akhbar terkemuka selama enam tahun dari 2006 hingga 2012. Penulis juga merupakan graduan Sarjana Komunikasi dengan pengkhususan dalam Pengajian Skrin dari Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.