KUALA LUMPUR, 11 Ogos:

Ada sesuatu yang cukup menarik perhatian pengarah kelahiran Tokyo, Jepun, Yasu Tanaka apabila memilih Taman Negara Bako, Sarawak dan persekitaran negeri Bumi Kenyalang itu sebagai lokasi utama filem Nota yang akan mula ditayangkan pada Khamis ini (13 Ogos).

Kata Tanaka, keindahan semula jadi di taman negara itu telah memberikan inspirasi buat dirinya untuk mempamerkan kelebihan yang ada di negara ini untuk divisualkan ke layar perak sejak dia berkunjung ke sana pada tahun 2007 bersama isterinya, Bea.

Pun begitu jelasnya, proses penggambaran filem berkenaan yang memakan sama selama 26 hari itu bukanlah satu proses yang mudah seperti disangka dalam memberikan hasil yang terbaik.

“Cabaran utama saya sebagai pengarah apabila perlu berhadapan dengan masalah cuaca yang menjejaskan sedikit jadual penggambaran terutama untuk adegan luar.

“Tapi, itu bukan satu masalah kerana di mana-mana pun, masalah cuaca memang tidak dapat dielakkan. Apa yang membuatkan saya berasa puas hati dengan penghasilan filem ini adalah komitmen yang telah diberikan oleh para pelakonnya yang telah melancarkan lagi proses penggambaran,” jelas pengarah itu dalam satu sidang media usai majlis tayangan perdana filem Nota yang berlangsung di Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Secara ringkasnya, Nota mengisahkan tentang kisah hidup pasangan Kamal dan Erin (lakonan Hans Isaac dan Maya Karin) yang berhadapan dengan masalah rumah tangga kerana kegagalan mendapatkan cahaya mata.

Bagi menyemarakkan semula kehangatan perkahwinan mereka, kedua-duanya sepakat untuk ke Taman Negara Bako bagi menyambut ulang tahun perkahwinan ke-10 yang merupakan lokasi di mana Kamal melamar Erin menjadi isterinya.

onset_M3
Yasu Tanaka sedang berbincang dengan Maya Karin sewaktu di lokasi penggambaran filem Nota yang dijalankan di Taman Negara Bako, Sarawak. – Foto Empire Film Solution

Namun, tanpa disedari, konflik mula timbul dan misteri mula terungkai satu demi satu sehingga membawa Erin ke pengakhiran yang tidak pernah dibayangkannya.

Selain Hans dan Maya, Nota yang diterbitkan oleh 42nd Pictures itu turut dibintangi Allahyarham Ramli Hassan dan Rin Izumi.

Menyambung bicaranya, pengarah yang pernah mengarahkan telemovie, Lari, Sayang Lari lakonan Alif Satar dan Erin Malek pada tahun 2011 itu, turut berkongsi cerita bahawa jalan cerita filem Nota sebenarnya berdasarkan kepada kisah hidupnya bersama Bea.

Sementara itu, Bea yang ditemui pula berkata, filem Nota sebenarnya mempunyai dua pengakhiran yang berbeza untuk pasaran tempatan dan antarabangsa selepas filem ini ditayangkan di Festival Filem Cannes, Perancis, baru-baru ini.

Jelasnya, perkara itu adalah disebabkan bagi menepati kehendak pengedar antarabangsa yang mahu memberikan sentuhan yang berlainan untuk penonton luar negara.

“Untuk pasaran tempatan, kami memaparkan apa yang sering kita tonton iaitu tentang balasan yang perlu diterima oleh seseorang atas kesalahan yang telah dilakukannya.

“Tetapi ia berbeza untuk luar negara apabila pengakhiran yang kami tonjolkan lebih bersifat internasional yang memaparkan watak Erin berjaya meloloskan diri daripada hukuman yang dia lakukan dengan melarikan diri ke Florida, Amerika Syarikat,” kata Bea yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Khas dari Universiti Kebangsaan Malaysia itu lagi.