KUALA LUMPUR, 10 Ogos:

Jika pelakon lain yang digandingkan untuk mana-mana filem mahupun drama, seboleh-bolehnya mereka akan mencari keserasian terlebih dahulu bagi menjiwai watak masing-masing.

Namun, ia berbeza dengan dua pelakon ternama tanah air, Hans Isaac dan Maya Karin yang pertama kali digandingkan dalam filem Nota arahan Yasu Tanaka yang akan mula ditayangkan di pawagam tempatan bermula 13 Ogos ini.

Secara terangan, Hans atau nama sebenarnya Gerald Hans Isaac itu mengakui bahawa mereka tidak mahu mencari keserasian semata-mata mahu menghidupkan watak yang diberikan kepada mereka.

Kata Hans yang membawakan watak Dr. Kamal dalam filem itu, ia adalah kerana watak tersebut memerlukan dirinya menjadi seorang suami yang bersikap dingin terhadap isterinya, Erin (lakonan Maya) kerana tiada lagi perasaan cinta dan kesefahaman antara mereka.

“Justeru, jika kami mencari keserasian terlebih dahulu sebelum memulakan penggambaran, saya percaya hasilnya tidak akan menjadi seperti mana yang dapat disaksikan dalam filem Nota.

“Apa yang kami lakukan di lokasi adalah hanya bertemu sewaktu penggambaran dan setiap kali tamat penggambaran, kami tidak berbincang mahupun bertukar pendapat tentang apa yang kami sudah lakukan.

“Dalam erti kata lain, saya dan Maya membuat hal sendiri setiap kali selesai penggambaran. Kami tidak mahu berlebihan mencari keserasian kerana bimbang ia tidak akan menjadi dan hidup di layar perak,” ujar Hans sambil dipersetujui oleh Maya.

4-m
Hans Isaac dan Maya Karin (dua dari kanan) sewaktu di lokasi penggambaran filem Nota yang dijalankan di Sarawak. – Foto Empire Film Solution

Bekas pemenang Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-19 (2006) menerusi filem Buli Balik itu berkata demikian sewaktu ditemui pada sidang media dan majlis tayangan perdana filem Nota yang berlangsung di Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Sementara itu, bagi Maya pula, dia tidak berhadapan dengan kesukaran bergandingan dengan Hans biarpun kali pertama mereka digandingkan di dalam filem.

Tambah bekas pemenang Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia sebanyak dua kali itu lagi, biarpun mereka tidak menghabiskan masa bersama untuk mencipta atau mencari keserasian antara satu sama lain, namun, itu tidak menghalang dia dan Hans untuk memberikan persembahan yang terbaik.

“Kami memang sengaja mahu meminimumkan keserasian itu kerana watak kami banyak bermain dengan emosi dan bahasa tubuh tanpa perlu melontarkan dialog.

“Bukan hanya dari aspek lakonan, tetapi jalan cerita filem Nota juga sebenarnya banyak membantu dari segi penceritaan filem ini.

“Apa yang saya harapkan agar ia dapat diterima dengan baik oleh penonton kerana filem Nota memberikan satu pembaharuan yang pastinya memberikan satu penontonan yang berbeza,” jelas Maya penuh optimis.

Selain Hans dan Maya, filem Nota yang diterbitkan oleh 42nd Pictures Sdn. Bhd. ini turut dibintangi Allahyarham Ramli Hassan dan Rin Izumi.