KUALA LUMPUR, 9 Ogos:

Bagi mereka yang mengikuti perkembangan muzik tempatan pada era 90-an, pastinya nama penyanyi bernama Haida akan terlintas di fikiran.

Pada usia 16 tahun ketika itu, kemunculan Haida di dalam industri muzik disambut dengan tangan penuh terbuka apabila dia hadir dengan bakat tersendiri.

Berbekalkan vokal yang cukup mantap dan mampu menyanyikan lagu bernada tinggi, Haida mampu berdiri sebaris dengan penyanyi popular sedia ada pada ketika itu dengan lagu-lagu popularnya seperti Hajat dan Manis Masa Bercinta.

Namun, selepas kelahiran album keduanya, Besar Kemungkinan pada tahun 1996, Haida terus hilang dari radar hiburan tempatan sehingga ramai yang bertanya ke manakah pergi penyanyi genit ini.

“Saya tidak pernah hilang mahupun berhenti menyanyi. Malah, selepas kontrak saya tamat dengan syarikat rakaman BMG (sekarang Sony Music), saya masih aktif membuat persembahan bersama kumpulan di kelab-kelab malam sekitar Kuantan, Johor Bahru dan Ipoh.

“Minat menyanyi itu masih menebal ketika itu sehinggalah pada awal tahun 2000, saya tekad untuk memperlahankan kerjaya seni saya selepas berumah tangga dan melahirkan anak pertama saya pada 2002.

“Kemudiannya, minat saya itu mula menurun perlahan-lahan kerana sudah selesa dengan kehidupan bekeluarga dan menguruskan rumah tangga. Tetapi, minat menyanyi itu masih belum hilang,” kata Haida sambil mengukir senyuman sewaktu ditemui The Rakyat Post dalam satu pertemuan, baru-baru ini.

Pemilik nama penuh Siti Haida Hasnan yang kini berusia 37 tahun itu mendirikan rumah tangga dengan seorang ahli perniagaan, Azhar Omar dan dikurniakan dengan tiga orang cahaya mata, Muhammed Aizuddin, 13; Muhammed Danish Aiman, 11; dan Muhammed Muharam, dua.

Haida1-M
Bagi peminat yang merindui untuk mendengar dendangan lagu-lagu Haida, dua buah album kompilasi terbitan Sony Music Malaysia ini pastinya adalah pilihan terbaik. – Foto TRP/Shazryn Mohd. Faizal

Dalam perbualan bersama The Rakyat Post juga, banyak kisah menarik yang dikongsikan dengan Haida sepanjang bergelar artis rakaman yang disifatkannya sebagai satu pengalaman terindah dalam hidupnya.

Malah, dia sendiri tidak percaya pada ketika itu dia dibimbing oleh komposer terkenal era itu, Saari Amri sehingga mampu melahirkan dua buah album.

Mungkin ada yang tidak tahu, bakat besar yang dimiliki oleh Haida itu pernah melayakkan dirinya tercalon dalam kategori Artis Baharu Wanita Terbaik Anugerah Industri Muzik Kedua (1994) tetapi dia tewas kepada Nora Ariffin yang menyandang gelaran itu.

Bukan itu sahaja, dia juga pernah bertanding dalam Anugerah Juara Lagu 1995 bagi kategori Irama Malaysia dengan membawakan lagu ciptaan Saari dan Habsah Hassan berjudul Manis Masa Bercinta.

Namun, kata Haida, tiada apa yang lebih membanggakan dirinya apabila lagu popularnya, Biarkanlah daripada album keduanya telah dirakamkan semula oleh penyanyi ternama Indonesia, Krisdayanti sekitar tahun 1998.

Lagu yang dimaksudkan itu adalah lagu Hati Ini Telah Dilukai yang dinyanyikan secara duet bersama Ajai yang juga merupakan komposer asal lagu tersebut.

“Siapa yang tidak bangga dan teruja apabila penyanyi sehebat Krisdayanti merakamkan lagu saya sehingga menjadi salah sebuah lagu popular pada tahun ia dirakamkan sementelah saya juga peminatnya.

“Setidak-tidaknya, selepas lagu itu popular, ada peminat yang mencari lagu asal nyanyian saya itu dan barulah mereka tahu bahawa saya adalah penyanyi asal lagu Hati Ini Telah Dilukai,” ujarnya yang kini menetap di Melaka itu lagi.

BIARKANLAH – HAIDA

HATI INI TELAH DILUKAI – AJAI & KRISDAYANTI