KUALA LUMPUR, 6 Ogos:

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) telah pun mengenal pasti sebahagian besar penerbit filem yang gagal menyiapkan mahupun menyelesaikan penggambaran filem selepas mendapat pinjaman dan dana daripada badan kerajaan itu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Kamil Othman memberitahu, mereka yang sudah disenaraikan itu juga bakal berhadapan dengan tindakan undang-undang dan berkemungkinan besar disenarai hitam daripada terus mendapat kemudahan daripada Finas.

“Walau bagaimanapun, tindakan yang bakal diambil itu kelak bukan kepada penerbit filem yang sudah menyiapkan filem mereka dan telah ditayangkan namun masih belum melangsaikan baki pinjaman mereka.

“Tetapi, ia akan dikenakan kepada penerbit filem yang sehingga ke hari ini masih belum menyempurnakan filem yang dikatakan akan dihasilkan tetapi langsung tidak menampakkan bayang.

“Sebelum ini mereka hanya berkobar-kobar dan bersemangat sewaktu sidang media dan pelancaran filem mereka. Namun, selepas itu, senyap sunyi tanpa sebarang berita,” jelas Kamil dalam nada tegas sewaktu ditemui selepas sidang media pengumuman senarai akhir calon Festival Filem Malaysia Ke-27 di Finas, Hulu Kelang, Selasa lalu.

Katanya lagi, bukan mahu menuduh tanpa sebarang bukti, tetapi ada segelintir daripada penerbit ini menggunakan wang pinjaman daripada Finas itu ke jalan yang salah dan lebih kepada kegunaan peribadi.

Sebelum ini juga, ada sumber mengatakan, sebilangan penerbit yang mendapat pinjaman berkenaan dalam jumlah yang besar telah menyalah gunakan ia untuk perkara lain seperti menukar kereta baharu dan mewah serta rumah baharu.

finas
“Lebih baik hanya 10 buah filem sahaja yang dihasilkan setahun asalkan ia berkualiti berbanding lambakan filem yang tidak berkualiti sehingga menjejaskan imej industri perfileman negara,” – Kamil Othman (Foto TRP/Syahirah Roslan)

Lantaran itu, kata Kamil, Finas sama sekali tidak akan memberi layanan manja dan istimewa kepada penerbit filem tempatan kerana memandang serius akan perkara ini.

Dalam masa yang sama juga, beliau turut mempertikaikan kredibiliti sesetengah penerbit filem tempatan yang hanya sambil lewa dalam menerbitkan filem sehingga menjadi satu lambakan.

Beliau memberi contoh tahun lalu apabila sebanyak 81 buah filem diterbitkan dan katanya, jika dilihat secara luaran, ia memang produktif tetapi dari segi kualiti, tidak banyak yang boleh dibanggakan.

“Justeru, Finas mahu mengambil langkah proaktif dalam memastikan pembangunan filem tempatan tidak lagi dibanjiri dengan filem-filem yang tidak berkualiti sebaliknya mahu mengimbangkan dengan penghasilan filem yang berkualiti juga.

“Semua mahu hasilkan filem sekadar memenuhi Syarat Wajib Tayang dan kemudiannya beralih kepada Astro First bagi menjana pendapatan serta mengaut keuntungan.

“Kalau begitu, lebih baik fokus kepada penerbitan drama sahaja dan peluang hanya akan diberikan kepada penggiat seni yang benar-benar mahu menghasilkan filem dengan tujuan yang betul,” ujarnya panjang lebar.