KUALA LUMPUR, 6 Ogos:

Pengacara dan pelakon, Noor Neelofa Mohd. Noor, 26, atau Neelofa mengakui dia tidak mengetahui status halal siput Escargot dimakannya ketika bercuti di Paris, Perancis, baru-baru ini hingga mengundang perdebatan dalam kalangan pengikutnya di laman sosial Instagram.

Harian Metro melaporkan Neelofa ketika dihubungi mengakui dia memakan siput berkenaan di restoran di Paris tanpa rasa was-was kerana dimaklumkan ia boleh di makan sejak dia kecil lagi.

Tindakan pengacara program MeleTop itu memuat naik foto hidangan makanan itu di Instagram dikritik segelintir pengikut laman sosial itu yang mendakwa siput berkenaan tidak halal untuk dimakan.

“Saya jadi terkejut apabila ia menimbulkan perbalahan antara pengikut di Instagram selepas memuat naik gambar itu,” katanya.

Menurutnya, jika dia tahu kontroversi dan keraguan bakal timbul sudah tentu dia tidak akan mengambil gambar apatah lagi menjamah hidangan berkenaan.

“Saya amat teliti dan menitikberatkan makanan diambil termasuk gambar mahu dikongsi kepada umum. Kalau saya tahu status halalnya meragukan sudah tentu saya takkan sentuhpun makanan itu,” katanya.

Neelofa berkata dia akan merujuk perkara berkenaan kepada pihak berkaitan.

Sementara itu, jurucakap Bahagian Hab Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ketika dihubungi berkata haiwan itu tidak mendapat sijil halal kerana garis panduan dikeluarkan merujuk kepada Majlis Fatwa Kebangsaan bahawa ia sejenis haiwan haram dimakan umat Islam.

Semakan pada portal rasmi Fatwa Malaysia. e-Fatwa mengesahkan status Escargot atau dalam bahasa Malaysia merujuk kepada siput babi itu haram dimakan umat Islam.

Kenyataan itu berkata dalam fiqah, Escargot tergolong dalam kumpulan ‘hasyaraat’ iaitu haiwan kecil melata dan menjalar.

Dalam mazhab Syafie, secara umumnya haiwan tergolong dalam ‘hasyaraat’ haram dimakan kerana termasuk dalam haiwan yang dianggap keji (khabisah).