KUALA LUMPUR, 5 Ogos:

Pelakon jelita, Nur Fazura Sharifuddin atau lebih dikenali sebagai Fazura menyifatkan dua pencalonan untuk kategori lakonan dalam Festival Filem Malaysia Ke-27 (FFM 27) yang diumumkan semalam sebagai satu pencapaian terbaiknya selepas 10 tahun menjadi seorang pelakon.

Katanya, dia sama sekali tidak menyangka akan tercalon untuk dua kategori sekaligus dan disebabkan itu, dia merasakan dirinya masih lagi bermimpi dengan pengumuman tersebut.

“Syukur Alhamdulillah, saya masih lagi terkejut dengan dua pencalonan ini. Jujurnya, untuk tercalon dalam senarai akhir pun sudah satu kejayaan buat saya tidak kira untuk mana-mana kategori.

“Tetapi, nampaknya rezeki berpihak kepada saya tahun ini dan soal menang atau kalah itu, saya tidak mahu terlalu memikirkannya buat masa ini kerana saya sifatkan calon-calon lain yang bertanding juga sama-sama hebat.

“Terima kasih kepada juri yang menilai lakonan saya berdasarkan kepada watak yang saya bawakan dan tidak terlalu bergantung kepada jalan cerita,” jelasnya dalam nada penuh berhemah sewaktu ditemui The Rakyat Post usai sidang media pengumuman calon akhir FFM 27 yang berlangsung di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Hulu Kelang, dekat sini.

Pelakon berusia 31 tahun itu tercalon untuk Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem Manisnya Cinta Di Cappadocia dan akan bersaing hebat dengan empat calon lain iaitu Dawn Cheong bagi filem Cuak, Lisa Surihani (Dendam Orang Mati), Maya Karin (Sejoli) dan Sara Ali (Kami Histeria).

Manakala untuk kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pula, Fazura dicalonkan bagi filem Kami Histeria dan bakal berhadapan dengan calon-calon yang tidak kurang hebatnya iaitu Ayu Raudhah untuk filem Lagenda Budak Setan 3: Kasyah, Eja (Manisnya Cinta Di Cappadocia), Izara Aishah (Sejoli) dan Nadiya Nisaa (Terbaik Dari Langit).

Kejayaan Fazura yang tercalon untuk dua kategori itu mengulangi rekod yang pernah dicipta oleh Erma Fatima dua dekad lalu sewaktu FFM 11 (1994) apabila aktres itu juga menerima dua pencalonan dan seterusnya memenangi Pelakon Wanita Terbaik bagi filem Femina.

Seorang lagi aktres, Lisa Surihani juga pernah menerima dua pencalonan pada FFM 23 (2010) yang kemudiannya menyaksikan pelakon wanita itu memenangi Pelakon Wanita Terbaik bagi filem Lagenda Budak Setan.

Dalam masa yang sama juga, Fazura berharap penilaian terhadap lakonannya akan memberi perspektif baharu kepada khalayak bahawa untuk memilih pemenang bukanlah berdasarkan watak-watak berat semata-mata yang sering menjadi perhatian.

Untuk rekod, Fazura telah dicalonkan sebanyak tiga kali sebelum ini untuk Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem Qaisy & Laila (2005), Gol & Gincu (2006) dan Kayangan (2008).

Sementara itu, bekas pemenang Pelakon Harapan Wanita Festival Filem Malaysia Ke-17 (2004) menerusi filem Bicara Hati itu pernah menerima pencalonan untuk Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada tahun 2010 menerusi filem Lagenda Budak Setan.