KUALA LUMPUR, 24 Julai:

Bagi mereka yang mengikuti perkembangan karier pengarah berkaliber, Osman Ali, pastinya akan sedar apabila sepanjang bergelar seorang pengarah filem cereka sejak sedekad yang lalu, kebanyakan filem arahannya lebih kepada genre drama dan romantik komedi.

Dan, percaya atau tidak, sepanjang tempoh itu, dia hanya pernah mengarahkan sebuah sahaja filem seram berjudul Puaka Tebing Biru lakonan Fahrin Ahmad, Nasha Aziz, Sharifah Amani dan Datin Seri Umie Aida yang ditayangkan pada tahun 2007.

Untuk makluman, Puaka Tebing Biru itu juga merupakan filem cereka pertama arahan Osman yang sebelum itu lebih dikenali sebagai pengarah filem bebas dan dikenali dengan filem-filem pendek seperti Bukak Api dan Malaikat Di Jendela.

Pun begitu, filem tersebut mendapat kritikan yang hebat lantaran ia dikatakan gagal untuk menterjemahkan maksud genre filem seram itu sendiri biarpun mencatatkan kutipan melebihi RM1 juta pada ketika itu.

Barangkali sudah cukup selesa mengarahkan filem melodrama, nampaknya Osman bakal menggegarkan pawagam tempatan menerusi filem seram keduanya, Jwanita yang akan ditayangkan pada bulan September ini.

Sedari awal lagi sewaktu pelancaran filem ini hampir tiga tahun lalu, Jwanita memang antara filem tempatan yang cukup dinanti-nantikan atas pelbagai faktor. Sudah pasti, yang pertamanya apabila ia adalah filem seram kedua Osman selepas hampir sedekad tidak mengarahkan filem bergenre sedemikian.

Keduanya, ia boleh dikatakan sebagai sebuah filem ensemble yang dibarisi pelakon handalan dan bertaraf gred A yang semestinya akan menjadi salah sebuah filem wajib ditonton tahun ini.

Filem Jwanita ditunjangi oleh bekas pemenang Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia sebanyak dua kali, Maya Karin dan bekas Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-23 (2010) menerusi filem Belukar, Bront Palarae.

Tidak cukup dengan itu, ia turut dibantu oleh pemenang Pelakon Harapan Wanita Festival Filem Malaysia Ke-26 tahun lalu menerusi filem KIL, Cristina Suzanne selain Umie dan Marsha Londoh yang dilihat menguatkan lagi jalan cerita Jwanita.

Barangkali terlalu awal untuk memperkatakan tentang kehebatan Jwanita tetapi melihatkan kepada trailer filemnya yang sudah pun dimuat naik ke laman YouTube pada 10 Julai lalu, rasanya Osman mempersembahkan sesuatu yang berbeza dalam karyanya kali ini.

Memang tidak syak lagi dan walaupun hanya melihat sedutan filemnya sahaja, Maya sebagai teraju utama dilihat telah memberikan persembahan yang disifatkan luar biasa dan berbeza dengan apa yang pernah dipersembahkannya dalam filem-filem sebelum ini.

Pernah sekali saya berbicara dengan Osman tentang Jwanita dan sebagai pengarah, dia sendiri mengakui Jwanita bukanlah sebuah filem seram tipikal tetapi sebaliknya ia mempunyai maksud tersirat yang perlu diperhalusi untuk memahami ceritanya.

Malah, dia sendiri memuji persembahan Maya dan barisan pelakon lain yang telah memberikan persembahan terbaik sehingga dia begitu berpuas hati dengan mereka.

Apa pun, adalah diharapkan agar Jwanita dapat meraih kutipan yang membanggakan kelak dan tidak mengecewakan peminat filem tempatan yang sudah putus harapan dengan kualiti penghasilan filem Melayu lewat kebelakangan ini.