KUALA LUMPUR, 17 Julai:

Pelakon genit, Elfira Loy mengakui sambutan Syawal tahun ini memberikan pengalaman yang cukup berbeza seperti kelazimannya.

Berita sedih yang diterimanya pada seminggu sebelum Ramadan benar-benar meninggalkan impak yang bukan sedikit terhadap dirinya apabila orang yang disayanginya telah pergi buat selama-lamanya.

Individu yang dimaksudkan yang begitu dekat dengan dirinya itu adalah datuknya yang dipanggil Tok Wan dan setiap kali memikirkan tentang perkara tersebut, ia membuatkan hati Elfira begitu sayu.

“Sepanjang hidup saya, kami sekeluarga memang tidak pernah ketinggalan untuk menyambut kedatangan Ramadan di kampung dan apabila Tok Wan sudah meninggal dunia, saya amat terasa dengan kehilangannya.

“Namun, saya bersyukur kerana masih ada atuk (nenek) yang masih lagi berada di kampung lalu membuatkan saya bersyukur dan masih mampu untuk meraikan Ramadan serta Syawal di kampung biarpun perasaan itu sudah menjadi sedikit berbeza,” kata Elfira sewaktu ditemui dalam sebuah majlis di ibu negara, baru-baru ini.

Biarpun begitu, pemilik nama lengkap Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri ini memberitahu dia sekeluarga akan terus beraya di Kedah bagi meneruskan tradisi yang sudah lama diamalkan oleh keluarganya.

Malah, pelakon berusia 21 tahun ini masih mampu mengukir senyuman manis tatkala diajak berbicara tentang pengalaman beraya di kampung yang barangkali tidak dialami oleh kebanyakan remaja seusianya di zaman serba moden hari ini.

“Adalah menjadi tugas wajib dan tradisi kami sebagai cucu untuk menyediakan barangan persiapan untuk memasak seperti mengupas serta memotong bawang dan perkara-perkara seumpama itu.

“Lebih menyeronokkan apabila semua sepupu berkumpul dan membantu untuk membersihkan serta menghias rumah. Malah, tugas untuk memenuhkan balang kuih juga adalah tugas kami,” ceritanya sambil ketawa kecil yang menyerlahkan lagi wajah manisnya itu.

Seperkara lagi yang masih segar dalam ingatan bekas pemenang Pelakon Pembantu Wanita Drama Terbaik Anugerah Skrin 2011 menerusi telefilem Kum Kum ini lagi apabila setiap kali menyambut lebaran, ia akan menjadi tanda ingatan yang manis kerana mereka sekeluarga juga akan bercuti di beberapa lokasi.

Dalam manisnya menyambut lebaran, pasti ada kenangan yang tidak bisa dilupakan dan begitu juga dengan Elfira yang merupakan artis naungan LOL Entertainment ini lagi.

Bukan hanya kerana arwah Tok Wan yang baru sahaja meninggal dunia, tetapi, apa yang lebih menyentuh hati Elfira apabila mengenangkan ketiadaan ibu atau bapanya untuk meraikan bulan kemenangan itu.

“Ibu dan bapa saya berpisah sejak saya berusia enam tahun. Lalu, setiap kali menyambut Syawal, pastinya salah seorang daripada mereka tidak dapat bersama untuk meraikannya dengan kami adik-beradik,” kata duta kempen Syukur Selalu TV9 ini yang merancang untuk bercuti ke Australia tidak berapa lama lagi.