KUALA LUMPUR, 15 Julai:

Jika disenaraikan lagu-lagu raya yang menjadi kegemaran ramai, pastinya lagu Suasana Hari Raya dendangan pasangan duet kanak-kanak popular tahun 80-an, Anuar dan Ellina akan berada dalam senarai.

Biarpun lagu itu sudah berusia lebih 30 tahun, namun, kesannya masih dirasai sehingga ke hari ini dan muziknya dilihat terus relevan sehingga generasi muda juga mampu menikmatinya.

Bagi Anuar atau lebih dikenali dengan nama pentasnya kini, Anuar Zain, dia menyifatkan dirinya sebagai seorang yang cukup bertuah apabila diberi peluang oleh syarikat rakamannya ketika itu, EMI untuk merakamkan sebuah lagu raya bersama Ellina.

Masih segar dalam ingatan Anuar betapa mudahnya proses rakaman lagu tersebut yang dirakamkan di Studio Redifussion, Jalan Pahang, Kuala Lumpur sekitar bulan April 1984 dan diputarkan pada tahun yang sama.

“Saya dan Ellina tidak berhadapan dengan sebarang masalah sewaktu rakaman malah ia adalah pengalaman yang cukup menyeronokkan untuk saya kenang sehingga ke hari ini.

“Apatah lagi pada era itu, tidak banyak lagu raya yang dirakamkan oleh penyanyi kanak-kanak dan kami berdua dilihat sebagai pelopor ketika itu.

“Ditambah pula dengan melodi lagu itu yang cepat menangkap telinga manakala liriknya pula sudah cukup untuk menggambarkan suasana hari raya itu sendiri membuatkan lagu ini mudah diterima dengan baik oleh pendengar dan peminat,” cerita Anuar panjang lebar sewaktu dihubungi The Rakyat Post, baru-baru ini.

Barangkali ada yang tidak tahu, lagu Suasana Hari Raya merupakan ciptaan komposer prolifik, Datuk Adnan Abu Hassan manakala liriknya pula ditulis oleh penulis lirik handalan negara, Habsah Hassan.

Tambah pemilik trofi Vokal Lelaki Terbaik Anugerah Industri Muzik sebanyak tiga kali ini lagi, setiap kali lagu itu berkumandang, Anuar memanjatkan rasa kesyukuran kerana lagu itu terus diminati dan dihargai.

“Saya dan pastinya Ellina merasakan kami ini antara yang bertuah kerana memiliki sebuah lagu raya yang tersenarai sebagai salah sebuah lagu raya malar segar.

“Untuk itu, saya harus mengucapka terima kasih kepada Adnan dan Kak Chah (panggilan untuk Habsah Hassan) dan juga untuk Ellina kerana kita berkongsi sesuatu yang cukup bersejarah dalam hidup kita,” ungkap anak kelahiran Merlimau, Melaka berusia 45 tahun ini penuh luhur.

Sebagai seorang penyanyi berpengalaman, pemilik nama lengkap Shahrul Anuar Zain ini tidak dapat menyembunyikan keinginannya untuk merakamkan sebuah lagu raya baharu seandainya diberi peluang berbuat demikian.

Namun, jelas pemilik vokal lagu Keabadian Cinta dan Lelaki Ini, setiap lagu raya baharu yang dihasilkan sepatutnya diberi ruang dan peluang agar ia dapat dinikmati dengan minda yang terbuka.

“Harus diingat, lagu baharu dihasilkan mengikut era sekarang ini dan perbandingan antara lagu lama dan baharu itu tidak seharusnya berlaku. Apatah lagi, lagu raya juga bukanlah sebuah lagu yang dihasilkan dengan kerap.

“Lalu, bagi saya setiap lagu raya yang dihasilkan itu ada signifikan tersendiri kepada komposer, penulis lirik dan penyanyi kerana penghasilan itu dibuat berdasarkan kepada perspektif mereka sendiri,” kata Anuar yang cukup menggemari lagu raya berjudul Bersabarlah Sayang nyanyian Sanisah Huri itu lagi.