KUALA LUMPUR, 15 Julai:

Dengan kehadiran Syawal yang hanya akan menjelang beberapa hari sahaja lagi, pastinya kini ramai di antara kita yang sedang sibuk membuat persiapan akhir.

Sesuatu yang pasti dan tidak dapat dinafikan lagi apabila sambutan Aidilfitri sebenarnya kurang meriah dan tidak lengkap seandainya tidak diiringi dengan lagu-lagu raya yang saban tahun menghidupkan lagi suasana Hari Raya itu sendiri.

Barangkali ada yang berpendapat apabila menyentuh tentang lagu raya ia adalah sesuatu yang klise tetapi mahu atau tidak, tiada sesiapa pun mampu menafikan kuasa lagu raya itu sendiri.

Namun, bukan lagu raya moden hasil sentuhan generasi baharu hari ini yang menjadi pilihan tetapi lagu raya lama klasik masih lagi menjadi pilihan wajib untuk diputarkan sepanjang bulan Syawal.

Justeru, The Rakyat Post mahu mengambil kesempatan dengan kehadiran bulan Syawal ini dengan menyenaraikan 15 buah lagu raya terbaik yang pernah dihasilkan di negara ini.

Bukan sembarangan lagu, tetapi lagu-lagu raya yang dipilih ini semuanya sudah bertaraf malar segar dan dilihat mempunyai kuasa luar biasa yang mampu menyihir setiap seorang daripada kita setiap kali mendengarnya.

Percayalah, bukan mudah untuk membuat senarai ini kerana dengan khazanah lagu raya yang dimiliki di negara ini, pastinya setiap seorang daripada kita ada pilihan sendiri.

Hanya lagu Suasana Hari Raya dendangan Anuar Zain dan pasangannya Ellina sahaja sengaja tidak disenaraikan kerana kisah tentang lagu itu sudah pun disiarkan dan dianggap sebagai salah sebuah lagu raya malar segar.

DENDANG PERANTAU – Allahyarham Tan Sri P. Ramlee

Setiap kali mendengar lagu ini, fikiran kita akan terbayangkan kampung halaman dan wajah ibu bapa yang bersilih ganti bermain di mata. Muziknya yang mendayu itu memberikan impak luar biasa terhadap karya agung ini.

SELAMAT HARI RAYA – Allahyarham Puan Sri Saloma

Bagaikan tidak lengkap sambutan Syawal seandainya lagu ini tidak diputarkan. Ia ibarat sebuah lagu yang mahu kita hanya memikirkan kegembiraan menyambut bulan kemenangan selepas sebulan berpuasa.

SUASANA HARI RAYA – Allahyarham Datuk Sharifah Aini

Dengan muziknya yang cepat menangkap telinga itu hasil ciptaan Datuk Dr. Ahmad Nawab manakala liriknya pula oleh si penyanyinya sendiri, lagu ini juga adalah santapan wajib di Hari Raya. Ia ibarat memanggil-manggil kita untuk lebih bersemangat menyambut Syawal.

SESUCI LEBARAN – Datuk Siti Nurhaliza

Pastinya, inilah lagu raya dendangan penyanyi yang boleh dikatakan daripada generasi baharu yang sudah mencapai taraf malar segar. Muziknya cukup kaya dan sarat dengan irama tradisional membuatkan kita menjadi lebih dekat dengan lagu ini setiap kali menyambut lebaran.

SELOKA HARI RAYA – Hail Amir & Uji Rashid

Sebuah lagi lagu raya yang boleh dianggap anthem kepada sambutan Hari Raya. Muziknya yang mampu membuatkan kita berasa girang dan bahagia menjadikan karya Datuk Dr. Ahmad Nawab ini antara lagu yang tidak wajar dilepaskan.

INDAHNYA BERAYA DI DESA – Azlina Aziz

Sebuah lagi lagu raya yang bernuansakan pop tetapi masih lagi mampu memberikan impak luar biasa dan berupaya menjadi salah sebuah lagu raya malar segar. Sentuhan S. Atan dan Fauzan Uda Ahmad serta ditambah pula dengan suara lunak merdu Azlina Aziz melengkapkan lagi kehebatan lagu raya yang satu ini.

AIDILFITRI – Sanisah Huri

Sebuah lagu yang cukup berhantu daripada awal lagu ini dimainkan. Suara lunak dan penuh penghayatan oleh penyanyinya membuatkan lagu ini memberikan maksud yang mendalam untuk menghayati maksud Aidilfitri itu sendiri.

BALIK KAMPUNG – Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad

Do we need to say more? This is the real anthem for Hari Raya. Kalau ada yang berpendapat tidak lagi wajar pulang ke kampung, tetapi sebaik sahaja mendengar lagu ini, pandangan itu akan berubah secara total.

MENJELANG HARI RAYA – Datuk D.J. Dave

Sebuah lagi lagu raya yang menaikkan semangat kita untuk menyambut raya waima dalam apa jua keadaan sekalipun. Muziknya yang rancak mampu membuatkan kita mahu menggoyangkan badan walaupun ketika sedang sibuk membuat persiapan akhir di rumah.

PULANGLAH – Aishah

Sebuah lagi lagu pop raya moden yang sudah mampu menjadi sebuah lagu raya malar segar. Muzik yang ringkas ciptaan Allahyarham Adam Ahmad dan liriknya yang cukup syahdu serta ringkas telah mencipta jalinan yang sempurna dalam menjadikan ia sebagai salah sebuah karya wajib setiap kali menjelangnya Syawal.

NOSTALGIA AIDILFITRI – Allahyarham Datuk Sharifah Aini

Lagu ciptaan Datuk Suhaimi Mohd. Zain atau Pak Ngah ini memang cukup berhantu. Muzik intronya sahaja sudah cukup membuatkan meremang bulu roma. Mengenali Pak Ngah, tidak sah karyanya tanpa muzik tradisional dan itu antara sebab mengapa lagu yang dihasilkan pada tahun 1997 ini terus kekal segar sehingga ke hari ini.

HARI MULIA – Datuk Sheila Majid

Lagu Hari Mulia membuktikan bahawa sebuah lagu raya moden yang muziknya bukan tipikal seperti lagu raya lain mampu merentas zaman dan kekal relevan sehingga ke hari ini.

SELAMAT HARI RAYA – Allahyarham Datuk Ahmad Jais

Lagu ini cukup indah dan ditambah dengan alunan sang biduan bersuara emas membuatkan lagu ini dapat membangkitkan mood untuk menyambut Hari Raya.

SATU HARI DI HARI RAYA – Datuk M. Nasir

Muziknya dan liriknya adalah kombinasi terbaik dalam menyentuh hati mereka yang mendengarnya. Juga bukan sebuah lagu raya tipikal yang menerangkan suasana Syawal itu sendiri tetapi ia lebih kepada mencari siapa diri kita dan lebih menyentuh kepada aspek kerohanian.

DARI JAUH KU POHON MAAF – Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad

Percayalah, tanyalah kepada sesiapa pun, lagu ini antara yang menjadi pilihan setiap kali menjelangnya raya kerana impak yang terhasil daripada lagu ini bukan kecil. Lagu ini mampu menusuk kalbu dan dengan pantas mengalirkan air mata bagi mereka yang pernah melalui situasi sama seperti perjalanan lagu ini.