KUALA LUMPUR, 13 Julai:

Semuanya hanya bermula sebagai satu projek suka-suka apabila pelakon jelita, Nur Fazura memutuskan untuk mengeluarkan koleksi baju raya di bawah jenamanya sendiri, Fazbulous Raya by Fazura tahun lalu.

Biarpun ketika itu kata pelakon yang mesra disapa Fazura ini, dia membuat keputusan di saat-saat akhir untuk berbuat demikian, namun, tanpa diduga, koleksi yang hanya menawarkan lima rekaan itu mendapat sambutan di luar dugaan daripada peminatnya.

Apabila melihatkan hasil yang diberikan cukup positif daripada percubaan sulungnya itu, membuatkan Fazura semakin yakin dengan langkahnya apabila dia kembali mencuri perhatian dengan koleksi rayanya untuk tahun kedua.

Menariknya kali ini, pelakon filem Manisnya Cinta Di Cappadocia itu menawarkan sembilan rekaan eksklusif untuk koleksi kali ini yang menggunakan nama-nama watak dalam filem lakonannya selama bergelar seorang pelakon.

Jelas Fazura, dia mempunyai sebab tersendiri apabila menamakan setiap rekaan itu dengan nama wataknya yang pernah dilakonannya sebelum ini dan salah satunya adalah untuk mengembalikan nostalgia kepada para peminatnya.

“Setiap watak yang saya lakonkan sebelum ini semuanya menggambarkan kekuasaan dan kekuatan wanita lalu memberikan inspirasi kepada saya untuk koleksi raya kali ini.

“Bukan itu sahaja, saya juga mahu peminat terutamanya mengimbau kenangan watak dan filem yang saya lakonkan setiap kali mereka menyarungkan serta menggayakan koleksi baharu daripada saya ini,” ujar Fazura ketika dihubungi The Rakyat Post, sebentar tadi.

fazbulous-02-M
Seorang model memperagakan salah satu rekaan eksklusif Seri Panggung yang diberi nama, Laila dalam satu majlis, baru-baru ini. – Foto TRP/Daniel Chan

Antara nama rekaan dalam koleksi yang diberi nama Seri Panggung di bawah jenama Fazbulous Raya by Fazura itu termasuklah Intan Mastura dari filem Pisau Cukur, Maseira (Kayangan), Noraini (Bicara Hati), Putri Farhana (Gol & Gincu) dan Laila (Qaisy & Laila).

Namun jelas pemilik nama lengkap, Nur Fazura Sharifuddin ini, untuk semua rekaan kali ini, dia telah bekerjasama dengan pereka fesyen muda, Fami Awang yang juga merupakan pereka dalaman butiknya, House of Doll.

“Saya akui bahawa saya tidak memiliki bakat dalam rekaan tetapi saya dan Fami banyak bekerjasama untuk koleksi baharu ini. Apa yang saya mahukan dan lakaran ringkas yang saya telah saya lakukan, saya akan memberitahunya.

“Ternyata, dia telah berjaya merealisasikan apa yang saya mahukan untuk koleksi kali ini dan sebagai pemilik, saya cukup berpuas hati dengan hasilnya,” jelas bekas pemenang Pelakon Harapan Wanita Festival Filem Malaysia Ke-17 (2004) menerusi filem Bicara Hati itu lagi.

Apabila ditanya tentang sambutan yang diberikan terhadap koleksi Seri Panggung, daripada nada suara Fazura di hujung talian sudah cukup memberikan gambaran jelas bahawa ia mendapat sambutan hebat daripada peminat dan penggemar fesyen yang mahu menggayakan rekaannya pada Syawal ini.

Dalam perkembangan lain, Fazura yang bakal muncul dengan filem baharunya, Langit Cinta arahan Osman Ali pada penghujung tahun ini memberitahu dia juga sedang sibuk dengan persediaan menghadapi Minggu Fesyen Kuala Lumpur 2015 (KLFW 2015), bulan hadapan.

“Disebabkan itu, sepanjang Ramadan ini, fokus saya lebih terarah kepada fesyen dan perniagaan memandangkan saya diberi peluang untuk memperagakan koleksi baharu House of Doll dalam KLFW 2015 yang akan menampilkan 32 rekaan baharu nanti,” katanya yang sangat teruja menantikan acara gilang-gemilang itu kelak.