KUALA LUMPUR, 2 Julai:

Penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, 36, mengakui benar-benar teliti dan fokus terhadap penghasilan album baharunya, Unplugged.

Kata Siti Nurhaliza, biarpun album tersebut merupakan rakaman live daripada konsert yang diadakan di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 7 April lalu, sebagai seorang penghibur, dia mahu album tersebut memberikan kepuasan maksimum kepada peminatnya.

Disebabkan itu, jelas penyanyi yang mesra disapa Siti itu juga, sedari awal sejak merancang untuk mengadakan konsert berkenaan, dia benar-benar memastikan pemilihan lagu untuk konsert berkenaan adalah yang terbaik sementelah ia juga adalah konsert bagi meraikan ulang tahun ke-20 pembabitannya dalam dunia nyanyian.

“Dalam mana-mana konsert yang saya persembahkan, repertoire lagu itu amat penting kerana kalau kita salah pilih lagu, ia akan mencacatkan perjalanan konsert berkenaan.

“Ini kerana mood penonton itu semuanya bergantung kepada pemilihan lagu yang tepat. Alhamdulillah, saya sangat berpuas hati dengan rakaman konsert ini yang saya sifatkan telah melengkapkan portfolio saya sebagai seorang anak seni,” ujar penyanyi kelahiran Kampung Awah, Temerloh, Pahang ini dalam nada gembira.

Penyanyi lagu Lebih Indah dan Bicara Manis Menghiris Kalbu itu berkata demikian sewaktu ditemui pada majlis pelancaran album Unplugged yang diadakan di Duchess Place, Jalan Ampang, di sini semalam.

Menyingkap sejarah penghasilan diskografi penyanyi ternama itu, Unplugged merupakan album rakaman live ketujuh yang dihasilkan sepanjang dua dekad bergelar penyanyi.

Antara album rakaman live milik penyanyi itu yang pernah diterbitkan sebelum ini termasuklah Konsert Lentera Timur Datuk Siti Nurhaliza pada tahun 2014 dan Siti Nurhaliza In Concert, Royal Albert Hall, London (2005).

DSC_4035
Siti Nurhaliza menerima plak penghargaan daripada Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kenny Ong (tengah) di atas kejayaan album Fragmen yang terjual melebihi 10,000 salinan. Turut kelihatan Pengurus Domestik Universal Music Malaysia, Mujahid Abdul Wahab.

Tidak mahu menghampakan peminatnya, Siti turut merakamkan tiga buah lagu baharu khusus untuk album Unplugged iaitu Menatap Dalam Mimpi, Engkau dan Mikraj Cinta.

Kata pemilik trofi Vokal Wanita Terbaik Anugerah Industri Muzik sebanyak 12 kali itu lagi, dia sememangnya mahu memuatkan lagu baharu kerana tidak mahu peminatnya terus menunggu waktu yang lama sebelum album studio baharunya selepas Fragmen (2014) dihasilkan.

“Selepas Fragmen, saya ada perancangan untuk menerbitkan sebuah album yang mengandungi pelbagai genre lagu termasuk sebuah lagu Inggeris.

“Memandangkan album Unplugged ini dihasilkan terlebih dahulu, maka saya membuat keputusan untuk memuatkan tiga lagu baharu ini untuk meneruskan kelangsungan saya dalam bidang seni,” ujar bekas juara Bintang HMI 1995 itu lagi.

Sebagai permulaan, pihak Universal Music Malaysia telah mencetak sebanyak 5,000 salinan bagi album fizikal Unplugged dan dikhabarkan ia telah mendapat sambutan yang luar biasa daripada peminat.

Bukan itu sahaja, album Unplugged yang turut dijual dalam bentuk digital di iTunes juga telah mencatatkan rekod tersendiri apabila menjadi album nombor satu di Malaysia, Brunei dan Singapura hanya tidak sampai dalam tempoh 24 jam sejak dipasarkan pada 30 Jun lalu.

Lebih membanggakan, apabila album Unplugged akan diterbitkan dalam bentuk piring hitam selepas sambutan Hari Raya nanti sekaligus menjadikan Siti sebagai penyanyi wanita tempatan pertama dalam abad ini yang memiliki album dalam bentuk berkenaan.

Selain cakera padat, rakaman konsert berkenaan juga diterbitkan dalam bentuk cakera video digital (DVD) dan cakera padat video (VCD).