KUALA LUMPUR, 28 Jun:

Telemovie, Pesan Dari Tuhan arahan Erma Fatima yang sepatutnya ditayangkan pukul 9 malam ini menerusi slot Cereka Ahad di TV3 dikhabarkan telah diharamkan tayangannya.

Ini disahkan sendiri oleh Erma menerusi perkongsian status berupa video pendek yang dimuat naik menerusi laman Instagram rasminya lebih kurang 14 jam yang lalu.

Pengarah itu memuat naik status yang berbunyi (dengan olahan ejaan yang betul tanpa menukar struktur ayat Erma): “Jangan sesekali kau tangiskan sahabatku. Perjuangan kita belum selesai. Pesan Dari Tuhan takkan mati di sini.

“Kerana kasih kita pada agama dan bangsa juga bukan kita di sini titik akhirnya. Aku juga tidak takut berkata benar kerana Pesan Dari Tuhan, aku harus bertanggungjawab pada setiap karya aku walau kebenaran itu salah buat mereka! Alhamdulillah,” demikian tulis Erma dalam laman sosialnya itu yang kemudiannya mendapat perhatian ramai apabila sebanyak 182 komen dicatatkan.

Walau bagaimanapun, usaha untuk mendapatkan komen Erma dan wakil daripada TV3 berhubung pengharaman ini gagal apabila Erma tidak memberikan balasan di WhatsApp manakala wakil stesen swasta itu pula enggan mengulas lanjut.

Sememangnya pengharaman Pesan Dari Tuhan adalah sesuatu yang sangat mengejutkan dan mengecewakan ramai pihak kerana sejak sedutan drama ini dipertontonkan kepada pihak media pada majlis pengumuman program sempena Ramadan di TV3 tempoh hari, ia telah mengundang reaksi yang sangat positif.

Lebih-lebih lagi, ia dibintangi ramai pelakon handalan yang merupakan nama besar dalam industri hiburan tempatan seperti Remy Ishak, Azhan Rani, Ellie Suriaty Omar dan Izreen Azminda yang membuatkan drama ini sebagai sebuah tontonan wajib sempena Ramadan ini.

erma3-m
Pesan Dari Tuhan sememangnya merupakan sebuah karya yang memiliki nilai estetika yang tinggi dan ia hadir di kala industri hiburan lewat kebelakangan ini dihidangkan dengan drama hiburan kosong semata-mata. – Foto Instagram Erma Fatima (@ermafatima)

Bukan itu sahaja, Pesan Dari Tuhan yang diterbitkan oleh Rumah Karya Citra yang juga milik Erma itu turut dikhabarkan akan menjadi salah sebuah drama yang berpotensi besar untuk dicalonkan dan seterusnya meraih kemenangan besar pada Anugerah Skrin yang akan datang.

Daripada sumber yang diperolehi oleh The Rakyat Post, pengharaman Pesan Dari Tuhan di saat-saat akhir itu adalah dikatakan kerana ada beberapa babak dalam telemovie tersebut dikatakan secara terang-terangan menyindir pihak kerajaan dengan masalah politik yang berlaku ketika ini.

Walhal, kata Erma sewaktu ditemui dalam satu pertemuan ringkas tidak berapa lama dahulu, niatnya hanya satu iaitu mahu memberikan perspektif baharu kepada masyarakat tentang realiti sebenar yang berlaku dalam kehidupan orang Melayu beragama Islam hari ini dengan mahu menyedarkan mereka.

Disebabkan itu jugalah, ia telah menjadi perdebatan hangat di laman Twitter apabila rata-rata lantang bersuara melahirkan kekesalan mereka dan mahu drama itu diteruskan tayangannya kerana sedar ia adalah sebuah drama yang berkualiti tinggi.

Secara ringkasnya, Pesan Dari Tuhan mengisahkan bagaimana kehidupan masyarakat di sebuah kampung yang kemudiannya dilanda musibah apabila kawasan mereka dilanda banjir yang sangat besar sehingga melumpuhkan segala-galanya dan meragut nyawa anak mereka sendiri.

Selepas musibah itu, semuanya kembali berubah dan perpaduan sesama orang kampung mula kembali terjalin dan mewujudkan suasana yang berbeza berbanding sebelum ini.