KUALA LUMPUR, 24 Jun:

Persahabatan yang terjalin hampir 40 tahun antara pengarah James Cameron dan sahabat baiknya, James Horner membuatkan Cameron ternyata begitu selesa untuk terus bekerjasama dengan Horner dalam apa jua projek filem sekalipun.

Bagi Cameron, sahabatnya itu adalah di antara segelintir mereka yang pernah susah dan senang bersamanya terutama sewaktu masing-masing mahu membina nama dalam industri perfileman di Hollywood.

Masih segar dalam ingatan Cameron sewaktu beliau kali pertama bekerjsama dengan Horner selepas masing-masing mula mengenali antara satu sama lain pada tahun 1980 selepas terlibat dalam pembikinan filem Battle Beyond The Stars yang diterbitkan oleh Robert Corman.

Ketika itu, Cameron bertindak sebagai pengarah kesan khas manakala Horner pula bertanggungjawab untuk menulis skor muzik bagi filem itu yang merupakan filem kedua Horner sebagai komposer skor muzik filem.

Masa berlalu dan pada hemat Cameron, Horner sememangnya seorang yang bekerja keras. Malah, jelasnya lagi, selepas filem Battle Beyond The Stars, rezeki Horner bertambah murah apabila mula menjadi pilihan studio filem yang mahu menggunakan khidmatnya sebagai penulis skor muzik.

“Namun, kolaborasi kami menerusi filem Aliens pada tahun 1986 telah merubah segala-galanya apabila selepas kejayaan filem itu, hubungan kami bertambah erat dan saya tidak boleh meninggalkannya dalam setiap projek filem yang saya usahakan.

“Pun begitu, barangkali ramai yang tidak tahu bahawa pengalaman bekerja untuk filem Aliens bukanlah sesuatu yang manis untuk dikenang kerana kami perlu memotong sebahagian besar muzik yang sudah ditulisnya.

05-M
James Cameron menyifatkan James Horner sebagai anak seni sejati kerana semangatnya yang tinggi dalam menghasilkan skor muzik terbaik dalam setiap projek filem yang diterimanya. – Foto www.theguardian.com

“Akan tetapi, bagi saya, Aliens merupakan mahakarya agung Horner yang telah menjadikan dirinya sebagai salah seorang maestro muzik terhebat.

“Sehingga ke hari ini, saya merasakan skor muzik Aliens adalah yang terbaik pernah dihasilkannya dan menerusi Aliens jugalah, dia mendapat pencalonan Oscar pertamanya untuk Skor Asal Terbaik,” tulis Cameron dalam surat terbuka kepada Entertainment Weekly sebagai penghormatan terakhir untuk Horner yang maut dalam nahas kapal terbang di California, Amerika Syarikat, semalam.

Menyambung bicaranya, Cameron yang cukup terkenal dengan filem aksi dan sains fiksyen seperti The Abyss (1989), Terminator 2: Judgement Day (1991) dan True Lies (1994) ini menjelaskan, dia tidak akan melupakan kenangan sewaktu memulakan projek filem Titanic pada tahun 1997.

Jelasnya, dia sememangnya mahu yang terbaik untuk filem berbajet besar itu dan sewaktu menulis filem itu, dia sudah membayangkan muzik Horner akan melatari filem itu selepas Cameron kagum dengan hasil kerjanya bagi filem Apollo 13 dan Braveheart.

Disebabkan Cameron mahukan yang terbaik untuk Titanic, dengan pantas dia menghubungi Horner untuk mendapatkan khidmatnya dengan segera.

Malah, Cameron sendiri tidak dapat melupakan dan masih jelas di mindanya sewaktu dia bertemu dengan Horner di studionya di Malibu, Amerika Syarikat bagi mendengarkan demo skor muzik bagi Titanic.

“Saya tidak malu untuk mengatakan ini apabila saya menangis setiap kali dia memainkan skor muzik itu hanya diiringi piano. Bahkan, dia telah mencipta tiga skor muzik yang berbeza dan ketiga-tiganya juga tidak dapat menahan saya daripada menangis.

celine-M
Detik kegemilangan buat James Horner (kanan) sewaktu memenangi Oscar bagi kategori Lagu Asal Terbaik untuk lagu tema filem Titanic, My Heart Will Go On pada tahun 1998 yang turut dikongsi oleh penyanyinya, Celine Dion dan penulis lirik, Will Jennings. – Foto www.ibtimes.co.in

“Dengan pantas saya berkata kepadanya bahawa dia berjaya melakukannya walaupun Horner ketika itu terpinga-pinga kerana merasakan dia belum menghasilkan karya yang sempurna untuk Titanic.

“Dalam erti kata lain, Horner adalah jiwa kepada Titanic kerana dia juga orang yang bertanggungjawab menjadikan lagu temanya, My Heart Will Go On sebagai satu fenomena luar biasa sehingga menjadikan album runut bunyi instrumental filem itu paling laris di dunia sehingga hari ini,” cerita Cameron lagi sewaktu mengenang kembali kenangan menghasilkan Titanic yang telah memenangi 11 Oscar termasuk dua pengiktirafan untuk Horner.

Menceritakan detik terakhir bertemu dengan Horner, pengarah filem Avatar itu memberitahu ketika itu dia dan beberapa individu yang menghasilkan Titanic menghadiri tayangan khas filem itu di Royal Albert Hall, London di mana Horner memainkan muzik skornya secara langsung.

Bagi Cameron, detik itu adalah yang termanis kerana dia berasa cukup bangga untuk melihat Horner diberi pengiktirafan tertinggi apabila muziknya dimainkan dan bergema di dewan berprestij itu.

“Sebaik sahaja persembahan itu, kami menghabiskan masa bersama dan ketika itulah dia berkata kepada saya tentang projek filem sekuel Avatar. Saya dapat melihat kesungguhan dan keterujaannya daripada butir kata-kata dan juga renungan matanya sewaktu membicarakan tentang Avatar kerana dia juga telah memberikan jiwa kepada Avatar menerusi sentuhan magisnya.

“Namun, kini dia tiada lagi untuk memberikan magisnya kepada filem-filem saya dan buat masa ini, saya tidak terfikir untuk mencari pengganti Horner kerana kesedihan yang saya tanggung ini pastinya akan mengambil sedikit masa sebelum saya benar-benar bersedia untuk menerima pemergiannya,” ungkap bekas pemenang Oscar untuk Pengarah Terbaik bagi filem Titanic itu dalam nada sedih.