KUALA LUMPUR, 24 Jun:

Barangkali nama Sarah Hildebrand sangat asing kepada peminat dan penonton televisyen di negara ini tetapi namanya cukup mekar sebagai salah seorang model yang menjadi perhatian ramai.

Dikurniakan dengan wajah yang jelita, telah menjadikan Sarah antara model generasi baharu dambaan ramai pihak yang mahu menggunakan khidmatnya dalam memperagakan produk keluaran mereka dan menghiasai majalah tempatan.

Selepas lebih lima tahun menjadi seorang model, Sarah kini mengorak setapak langkah lagi apabila mula menceburi bidang lakonan sekaligus mahu mengembangkan bakatnya dalam bidang yang cukup diminatinya itu.

Bertemu dengan Sarah pada sesi latihan dan pembacaan skrip Y Sebuah Muzikal di Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini, dia sememangnya mengharapkan peluang dan tawaran berlakon untuk terus memantapkan profil seninya.

Sebagai permulaan, kata anak jati Kuala Lumpur ini, dia sudah pun membintangi dua buah telemovie arahan Rashid Sibir, Hujan Pagi dan Jalan Singkat Ke Syurga yang akan ditayangkan pada waktu terdekat ini.

Mengakui agak gementar untuk menantikan reaksi penonton terhadap lakonannya, walau bagaimanapun, Sarah mengakui dia sangat terbuka kepada kritikan yang membina.

“Saya sedar saya masih baharu dalam bidang lakonan dan pastinya, nama saya mungkin kurang dikenali. Tetapi, saya tidak mahu menjadikan itu sebagai satu halangan.

“Disebabkan itu jugalah, saya reda dan terbuka untuk menerima segala kritikan apabila drama lakonan saya akan ditayangkan kelak.

“Hanya dengan cara itu sahaja, saya dapat memperbaiki segala kelemahan saya untuk menjadi seorang pelakon yang disegani kelak,” ujar anak tunggal ini tanpa selindung.

TRP_artismalaysia_M
Sebagai pelakon baharu, Sarah Hildebrand terus mengharapkan peluang dan tawaran belakon selain mahu menimba ilmu lakonan daripada mereka yang lebih berpengalaman. – Foto Belbis Sdn. Bhd.

Ketika ditanya tentang tindakannya yang mahu mencuba nasib sebagai seorang pelakon, pemilik nama lengkap Nur Sarah Marie Hildebrand Asyraf Hildebrand ini dengan penuh jujur memberitahu dia cukup meminati dunia lakonan dan menjadikan Erma Fatima dan Meryl Streep sebagai sumber rujukan.

Selepas selesa sebagai seorang model, kata Sarah, sudah tiba masa untuknya mencuba sesuatu yang baru selain dapat menambahkan pendapatannya sendiri.

Namun, sebagai anak kacukan Melayu-Amerika ini, pastinya gadis berusia 24 tahun ini tidak terlepas daripada terkena tempias skeptikal masyarakat yang melihatnya hanya mempertaruhkan wajah semata-mata.

“Saya cukup sedar akan senario yang seringkali menjadi perbualan ramai itu dan saya mahu mengubah tanggapan itu.

“Disebabkan itu, saya mahu mencuba pelbagai jenis watak dan saya tidak memilih kerana saya percaya semua itu adalah proses pembelajaran.

“Sudah pasti, sebagai orang baru, banyak kelemahan dalam diri saya dan kerana itulah, saya perlukan bimbingan dan sokongan bagi memperbaiki kelemahan itu dalam setiap tawaran berlakon yang saya terima,” katanya yang pernah muncul dalam muzik video Hujung Waktu nyanyian duo Azhael ini dalam nada penuh bersungguh.

Atas alasan itu jugalah, Sarah yang juga kekasih kepada bekas hos H! Live, Nabil Mahir ini tidak mahu melepaskan peluang sewaktu diberi tawaran membintangi Y Sebuah Muzikal.

Membawakan watak Maya dalam pementasan yang akan berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya pada bulan Ogos ini, Sarah melihat teater sebagai platform untuk terus belajar dan menimba ilmu lakonan daripada mereka yang berpengalaman.