KUALA LUMPUR, 23 Jun:

Kemunculannya di persada seni tempatan boleh dikatakan telah memberi satu nafas baru kepada identiti penyanyi wanita yang sedia ada ketika itu.

Benar. Sewaktu Siti Sarah Raissuddin atau lebih dikenali sebagai Sarah Raissuddin muncul dengan album perdananya, Sarah pada tahun 2002, ramai melihatnya sebagai salah seorang pelapis dunia nyanyian dan mampu untuk terus bertahan lama di dalam industri.

Jika penyanyi wanita lain cukup selesa tampil dengan muzik pop tipikal, tidak bagi si genit ini yang memulakan karier seninya pada usia 18 tahun dengan membawakan satu pembaharuan menerusi album perdananya itu.

Disuntik dengan elemen R&B dan pop jazz, ternyata kehadiran anak kepada bekas penyanyi dan pelakon popular tahun 80-an, Raissuddin Hamzah ini diterima dengan baik oleh peminat seni suara lebih-lebih lagi apabila namanya terus melonjak dan mendaki puncak populariti menerusi lagu ciptaan Ajai, Kesetiaan.

Disebabkan itu jugalah, bakat bekas juara Bintang URTV 2001 ini diiktiraf di Anugerah Industri Muzik Ke-10 (2003) apabila dia berjaya memenangi tiga kategori iaitu Artis Baru Terbaik, Album Pop Terbaik dan Album Terbaik pada majlis anugerah berprestij itu.

Walaupun nama Sarah semakin sepi dari dunia nyanyian kerana tumpuannya kini lebih kepada rumah tangga, isteri kepada pelawak, Shuib Sepahtu ini masih lagi diingati peminatnya kerana kekuatan vokalnya yang tersendiri itu.

Justeru, The Rakyat Post mahu mengambil kesempatan ini untuk mengimbau kenangan peminat dengan menyenaraikan 10 buah lagu terbaik nyanyian bekas finalis Bintang RTM 2001 ini tanpa mengikut turutan yang diambil daripada tiga buah albumnya sepanjang menjadi seorang penyanyi.

Bukan itu sahaja, pemilihan lagu-lagu ini dibuat berdasarkan populariti dan juga lagu yang dilihat sebagai berkualiti namun, kurang mendapat perhatian di corong radio.

1) KESETIAAN

Kalau disebut nama Sarah, pastinya lagu ini yang akan terpacul dari bibir peminat muzik tempatan. Siapa dapat lupa kehebatan karya Ajai dan Musrad ini yang telah meletakkan nama Sarah di puncak kegemilangan. Malah, ia adalah lagu yang memberikan tuah buat penyanyinya sewaktu muncul dengan album pertamanya.

2) DIKAULAH RATU

Lagu ciptaan Azlan Abu Hassan ini dimuatkan dalam album kedua Sarah yang berjudul Mimpi Pun Sama (2003). Dikaulah Ratu dilihat sebagai sebuah karya yang segar dan melodinya sangat cocok dengan vokal Sarah yang hebat itu. Bahkan, lagu ini antara karya Azlan yang boleh dikira sebagai evergreen kerana melodi dan liriknya sangat relevan sepanjang zaman.

3) KEMBARA KITA

Album ketiga Sarah yang berjudul Tiada Dikau Tiada Makna (2005) boleh dianggap sebagai salah sebuah album tempatan terbaik yang pernah dihasilkan. Lagu-lagu yang terkandung di dalamnya bervariasi dan memiliki nuansa yang pelbagai. Salah satu lagu terbaik di dalam album tersebut adalah Kembara Kita ciptaan Jason Voo. Namun, diterbitkan dan muziknya disusun oleh maestro muzik terkenal, Roslan Aziz yang telah memberikan dimensi baru kepada gaya penyampaian nyanyian Sarah. Mendengarkan lagu ini, fikiran akan jauh menerawang membawa kita mengembara ke dunia lain.

4) KE HUJUNG DUNIA

Sebuah lagi lagu popular yang terkandung dalam album pertamanya. Melodi dan lirik yang cukup indah ciptaan oleh Aidit Alfian yang terus meletakkan nama Sarah sebagai salah seorang penyanyi wanita popular ketika itu. Penghayatan yang dahsyat dan lontaran vokal yang dinamik menjadikan lagu ini sudah berjaya mencapai taraf malar segar (evergreen).

5) JANGAN KAU MIMPI

Lagu ini juga telah berjaya membawa nama Sarah ke mercu dan boleh dikatakan menjadi identiti kepada penyanyi genit ini. Melodi rancak ciptaan Neves Pretty Ugly dan cepat mesra telinga ini pernah menjadi kegilaan ramai lebih sedekad yang lalu. Kelainan yang dibawakan menerusi lagu ini menunjukkan versatiliti Sarah sebagai seorang penghibur.

6) MALIS CINTA

Sebuah lagi lagu balada yang cukup indah ciptaan Azlan Abu Hassan dan dinyanyikan dengan sempurna oleh Sarah. Kelebihan yang ada pada Sarah yang barangkali tidak ada pada penyanyi lain apabila dia memiliki penghayatan yang sangat luar biasa dan bercerita menerusi lagu-lagu yang disampaikan sehingga menjadikan lagu ini berhantu. Malah, Sarah juga memiliki kelebihan untuk menyanyi pada nota rendah dengan jelas seperti Toni Braxton.

7) KU TERUSKAN

Saya masih ingat lagi bagaimana lagu ini dikritik oleh seorang wartawan hiburan satu ketika dahulu yang mengatakan lagu ini mempunyai banyak persamaan dengan lagu Fallin’ nyanyian Alicia Keys. Sementelah Sarah hadir pada waktu yang sama dengan Keys, membuatkan perbandingan itu tidak dapat dielakkan. Akan tetapi, Ajai telah memberikan sebuah lagu yang telah dinyanyikan dengan sempurna oleh seorang penyanyi hebat dalam acuan tempatan.

8) SAAT HILANG CINTAMU

Meneruskan legasinya sebagai salah seorang penyanyi yang mampu menyanyikan lagu balada dengan baik, Saat Hilang Cintamu menjadi percaturan Sarah dan NAR Records untuk terus mengukuhkan kedudukannya di dalam industri seni suara. Biarpun sambutannya tidak sehebat Kesetiaan, namun, lagu ini ada nilai sentimentalnya yang tersendiri.

9) CINTA USIA KITA

Sebuah lagi karya Ajai untuk Sarah. Lagu ini pernah dijadikan lagu tema sebuah drama bersiri, Usia lakonan Wan Hanafi Su dan Fasha Sandha. Melodi yang ringkas namun, ia sangat berbekas apabila Sarah tidak pernah gagal memberikan sepenuh jiwanya untuk menghidupkan cerita menerusi lagu ini.

10) SANDARKAN PADA KENANGAN

Meskipun lagu klasik ini bukanlah karya asal untuk Sarah, tetapi, pemilihannya untuk berduet dengan Raja Pop Malaysia, Datuk Jamal Abdillah bagi lagu tema filem Azura ini, adalah sangat tepat. Lagu in kembali menjadi fenomena sewaktu Jamal dan Sarah merakamkan semula lagu ini dan terus melonjakkan nama Sarah sebagai bintang baru pujaan ramai ketika itu. Malah, ia juga membawa tuah buat Jamal apabila album kompilasi Raja Pop yang memuatkan rakaman baru lagu ini mencatatkan penjualan melebihi 100,000 unit. Gandingan mantap antara penyanyi senior dan junior ini telah melayakkan mereka memenangi Vokal Duo/Kumpulan Pilihan pada Anugerah Era 2003.