KUALA LUMPUR, 29 Mei:

Mahu atau tidak, harus diakui, sejak kebelakangan ini trend adaptasi karya novel tempatan ke medium televisyen khususnya dalam bentuk drama bersiri semakin mendapat tempat.

Jika sebelum ini senario itu dilihat sebagai sesuatu yang agak janggal berlaku dalam dunia hiburan tempatan, tetapi sekarang ini semuanya berubah apabila hampir kesemua stesen televisyen tempatan dilihat berlumba-lumba untuk berbuat demikian.

Seandainya dilihat daripada sudut yang positif, trend itu boleh dilihat sebagai untuk merancakkan lagi dunia penerbitan televisyen dan hiburan secara amnya.

Akan tetapi, di sebalik keghairahan itu, timbul pula kata-kata yang kurang enak apabila masyarakat mula mempertikaikan tindakan itu sehingga ramai yang berpendapat ia sebenarnya tidak sihat untuk industri hiburan tempatan lalu ia menjadi satu lambakan.

Namun, bagi Ziela Jalil, sebagai salah seorang penerbit yang kerap menggunakan trend tersebut menerusi syarikatnya, Pena Creative Pictures, dia lebih selesa untuk melihatnya sebagai situasi menang-menang untuk semua pihak.

Walaupun dia cukup sedar akan kritikan yang diberikan terhadap situasi yang berlaku sekarang itu, tetapi, kata Ziela, rezeki daripada populariti setiap drama yang diadaptasi daripada novel sebenarnya lebih mendatangkan keuntungan buat penulis novel itu sendiri.

artis_M8
Walaupun ada pihak yang mempelekehkan penerbit sepertinya yang gemar mengadaptasi novel ke skrin televisyen, namun, Ziela Jalil lebih selesa untuk memandang perkara itu secara positif. – Foto TRP/Wan Kah Hoong

“Perkara itu memang ada kebenarannya. Itu yang saya perhatikan apabila setiap drama yang diadaptasi itu ditayangkan, penjualan novel itu akan melonjak kerana penonton mahu membaca dan mengetahui kisah dengan lebih mendalam.

“Disebabkan itu, saya mengatakan trend ini sebenarnya menguntungkan semua pihak termasuk penerbit, stesen televisyen dan juga para pelakon. Usahlah hanya dilihat dari sudut negatif semata-mata,” jelasnya panjang lebar.

Pemilik nama penuh Norzilah Abdul Jalil ini berkata demikian sewaktu ditemui pada sidang media dan tayangan perdana drama bersiri terbaru terbitan syarikatnya, Dia Isteri Luar Biasa di Sungai Penchala, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Turut hadir pengarah drama bersiri itu, Jamal Khan dan tiga orang pelakon utamanya iaitu Fathia Latiff, Shukri Yahya dan Siti Elizad Sharifuddin.

Menerusi Pena Creative Pictures, Ziela telah menerbitkan beberapa buah drama bersiri adaptasi novel yang mendapat sambutan hangat daripada penonton tempatan antaranya Ariana Rose, Bukan Kerana Aku Tak Cinta dan Jodoh Itu Milik Kita.

Menyambung bicaranya, pelakon yang cukup terkenal era 80-an dan awal 90-an ini juga meningkah dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan pihak penerbit sepertinya mengambil jalan mudah dalam menerbitkan drama bersiri yang berpandukan novel.

artis_M7
Dua teraju utama drama bersiri Dia Isteri Luar Biasa, Shukri Yahya dan Fathia Latiff yang menjadi taruhan Ziela Jalil sebagai penerbit bagi meraih perhatian peminat dan penonton tempatan. – Foto TRP/Wan Kah Hoong

“Jika semua hendak tahu, proses untuk melakukannya bukan mudah seperti yang dijangka. Mereka mengatakan mudah itu adalah kerana naskhahnya sudah tersedia.

“Sebagai penerbit, apa yang perlu saya lakukan dahulu adalah untuk memilih novel terlaris di pasaran dan membacanya sebelum menyerahkan tugas seterusnya kepada penulis skrip.

“Seperti mana yang diketahui, adalah mustahil untuk mengadaptasi keseluruhan novel tetapi teras cerita itu tetap kekal seperti mana yang terdapat dalam novel. Sudha pasti, kami memperindahkan lagi cerita itu berdasarkan kreativiti bagi memantapkan jalan ceritanya,” kata Ziela yang pernah memenangi anugerah Drama Terbaik Anugerah Skrin sebanyak empat kali ini lagi.

Ketika ditanya tentang drama Dia Isteri Luar Biasa, ibu kepada tiga orang anak ini menjelaskan dia sangat tertarik dengan jalan ceritanya yang menyentuh perihal alam rumah tangga, hubungan kekeluargaan dan kasih sayang.

Bukan itu sahaja, dia juga sememangnya mahukan Fathia dan Shukri sebagai teraju utama dalam drama bersiri terbaru terbitannya itu.

“Saya mahu memberikan kelainan kepada penonton dan sebagai penerbit, saya cukup puas hati dengan mutu lakonan mereka,” jelas Ziela yang turut membintangi drama itu dengan membawakan watak Umi Sakinah.

Drama bersiri Dia Isteri Luar Biasa kini sedang ditayangkan menerusi slot Akasia setiap hari Isnin hingga Khamis pukul 6.55 petang di TV3.