KUALA LUMPUR, 25 Mei:

Berkali-kali dia memohon maaf di atas kelewatannya membalas kiriman mesej saya yang dikirimkan pada hari Jumaat lalu dan tindakannya untuk tidak menjawab panggilan telefon juga.

Mendengarkan jawapan yang diberikan oleh Noorkumalasari sewaktu berbual di telefon pagi ini membuatkan saya bersetuju dengan apa yang dikatakannya. Malah, saya faham dengan keadaan dan situasi yang dilaluinya ketika ini.

Bahkan, dia sendiri sudah tahu apakah yang ingin ditanyakan kepadanya sehinggakan secara terang-terangan dia menjelaskan bahawa dia agak sedikit penat untuk menjawab pertanyaan tentang misteri ‘kehilangan’ kakaknya, Anita Sarawak.

Bukan hanya penat, tetapi bekas pelakon yang pernah diberi jolokan pelakon air mata ini memberitahu dia sedikit terkilan apabila kenyataannya  telah disalah ertikan oleh segelintir pihak.

“Saya tidak pernah mengatakan bahawa Kak Nita hilang. Apa yang saya maksudkan adalah apabila sudah lebih dua bulan dia tidak menghubungi saya selepas kali terakhir kami berbual pada bulan Mac lalu.

“Lalu, perkara itu membuatkan saya risau dan tertanya-tanya apakah yang berlaku kepada dirinya. Sudah pasti ia membuatkan saya gusar dan bimbang kerana takut ada sesuatu yang berlaku kepadanya.

“Sudah menjadi tradisi setiap tahun apabila Kak Nita tidak pernah gagal untuk menghubungi saya setiap kali pada sambutan hari ulang tahun saya yang jatuh pada 11 April,” jelas Noorkumalasari kepada The Rakyat Post sewaktu dihubungi, di sini pagi ini.

Anita atau nama sebenarnya, Ithnaini Mohamed Taib terus mencuri perhatian pihak media lebih-lebih lagi selepas dia ‘hilang’ secara tiba-tiba daripada dunia seni tempatan pada penghujung tahun 2011 sehinggakan pelbagai cerita yang bertebaran tentang dirinya.

Menyambung bicaranya, bekas pelakon yang pernah mencuri perhatian menerusi watak Cikgu Sharina dalam filem komedi, Adik Manja pada tahun 1979 ini menjelaskan dia sememangnya tidak pernah menghubungi Anita memandangkan dia tidak mempunyai nombor telefon penghibur itu.

Sudah menjadi kelaziman untuk penghibur itu sendiri akan menghubunginya untuk berkongsi cerita selain bertanya khabar dan mengemas kini akan kehidupannya di Las Vegas, Amerika Syarikat.

“Barangkali apabila dia mendiamkan diri itu saya hanya berfikiran positif sahaja. Kemungkinan dia sibuk dengan agendanya sendiri di Las Vegas,” ujar Noorkumalasari yang juga bekas seorang penyanyi ini lagi.

m5
‘Kehilangan’ Anita Sarawak daripada dunia seni tempatan benar-benar memberikan impak besar dan banyak persoalan yang masih belum dapat dirungkai mengapa secara tiba-tiba beliau ‘menghilangkan diri’. – Foto www.news.asiaone.com

Justeru, kata pemilik nama sebenar Noor Kumalasari Mohamed Taib ini lagi dia hanya mampu berdoa agar kakak kesayangannya itu sendiri dilindungi dan dirahmati Allah SWT di mana sahaja penyanyi yang cukup masyhur dengan lagu Akhirnya Kini Pasti dan Seksis itu.

Namun, kegusaran di hati Noorkumalasari yang pernah popular dengan lagu Mata dan Selamat Pagi Sayang ini beransur hilang apabila adiknya, Noor Jumaaton memberitahu Anita ada menghubunginya sempena sambutan hari lahirnya pada 19 Mei lalu.

“Daripada cerita adik kami itu, saya dapat simpulkan dia dalam keadaan sihat dan selamat di Las Vegas. Walaupun tidak dapat bercakap dengannya, tetapi berita itu sudah cukup membuatkan kami sekeluarga berasa tenang dan bersyukur,” ujar Noorkumalasari yang pernah dicalonkan untuk Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia sebanyak empat kali ini lagi.

Dalam masa yang sama, ibu kepada empat orang anak lelaki berusia 59 tahun ini juga mengharapkan agar semua pihak menghormati keputusan kakaknya itu yang kini sedang menjalani kehidupan yang lebih tenang bersama suaminya, Mohamad Mahathir Abdullah.

“Kak Nita sudah memberitahu saya bahawa dia sudah bersara daripada dunia seni dan kini mahu fokus kepada kehidupan seperti wanita biasa yang lain dengan menumpukan perhatian kepada suami selain

“Daripada perbualan kami yang terakhir, nada suaranya cukup gembira apabila dia menceritakan perihal rumah tangga dan kehidupannya sekarang. Lebih-lebih lagi dia dapat melakukan perkara yang dilakukan oleh seorang suri rumah.

“Sampai bila dia mahu terus menyanyi dan apabila sudah sampai masanya, dia akan meninggalkan dunia seni. Saya sangat bersyukur dengan keputusannya itu dan mengharapkan semua pihak juga dapat menghormatinya juga,” ujarnya mengakhiri perbualan.