KUALA LUMPUR, 25 Mei:

Pelakon kacak pujaan ramai ini mempunyai alasan tersendiri mengapa dia mahu menceburkan diri dalam bidang perniagaan berasaskan makanan tambahan atau bahasa mudahnya, suplemen.

Biarpun cukup menyedari bahawa perniagaan itu sudah terlalu banyak di pasaran lewat kebelakangan ini, namun, Sharnaaz Ahmad ada misi tersendiri apabila dia memilih untuk mengeluarkan produk suplemennya sendiri, Biogenesis Collagen.

Malah, dia mengakui secara terbuka bahawanya niatnya bukan untuk bersaing dengan mana-mana syarikat tempatan yang terlebih dahulu sudah memperkenalkan produk seperti itu.

Tetapi, kata Sharnaaz, tujuan utamanya hanya satu iaitu untuk mendidik masyarakat tentang kebaikan dan kepentingan makanan tambahan untuk seseorang itu terus hidup dalam keadaan sihat.

“Ramai di antara kita yang mempunyai tanggapan yang salah terhadap makanan tambahan atau suplemen ini terutama apabila melibatkan penggunaan kolagen yang mana ramai beranggapan ia hanya sesuai untuk wanita.

“Tetapi, daripada maklum balas yang saya terima adalah kaum Adam juga mahu kelihatan menarik dan mereka bimbang serta agak segan untuk menggunakan kolagen kerana bimbang dengan perubahan hormon dalam diri mereka.

“Justeru, dengan terhasilnya Biogenesis Collagen ini, ia boleh diamalkan baik untuk wanita mahupun lelaki tanpa perlu was-was dengan bahan yang kami gunakan. Itu misi utama saya apabila mengeluarkan produk ini,” jelas Sharnaaz ketika ditemui usai majlis pelancaran produk kesihatannya itu yang berlangsung di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

Turut hadir kedua ibu bapa Sharnaaz iaitu Datuk Basir Ahmad dan Datuk Marina Puteh serta kakak dan adiknya, Sherrina dan Dr. Sherrini.

m
Sharnaaz Ahmad bersama ibu bapanya, Basir Ahmad (dua dari kanan) dan Marina Puteh (kanan) pada majlis pelancaran produk makanan tambahan, Biogenesis Collagen yang berlangsung di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini. Turut hadir kakaknya, Sherrina (dua dari kiri) dan adiknya, Dr. Sherrini (kiri) serta model, Anis al-Idrus (berbaju putih). Foto TRP/Azrol Ali

Menyambung bicaranya, Sharnaaz menjelaskan bukan sehari dua dia melibatkan diri dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk penghasilan Biogenesis Collagen tetapi lebih setahun sebelum benar-benar yakin dengan penghasilannya.

Katanya lagi, kalau diberi pilihan, boleh sahaja seandainya dia mengeluarkan produk protein khusus untuk lelaki masa kini yang dilihat cukup prihatin menjaga kesihatan mereka tetapi Sharnaaz mahu produknya lebih menyeluruh kepada semua lapisan masyarakat.

Baginya, apa yang penting adalah kesihatan dalaman memandangkan gaya hidup masyarakat masa kini yang sentiasa sibuk kerja dan perkara lain.

“Seperti mana yang saya katakan tadi iaitu saya mahu mendidik masyarakat tentang kepentingan makanan tambahan ini dalam kehidupan seharian kita.

“Bukan soal mahu memutihkan atau meremajakan kulit semata-mata tetapi adalah untuk memastikan organ dalaman serta luaran dalam keadaan baik secara serentak.

“Saya tidak bercakap kosong dengan produk ini kerana saya yakin dengannya selepas lebih sebulan mencubanya dan kagum dengan perubahan yang saya lihat pada diri saya,” jelas pelakon berusia 30 tahun ini yang cukup popular dengan drama bersiri Suamiku Encik Sotong dan Bukan Kerana Aku Tak Cinta ini lagi.

Tambah pemilik nama penuh Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad ini lagi, penglibatannya dalam dunia perniagaan juga adalah kerana sebagai satu persediaannya menghadapi hari tua seandainya dia tidak lagi mempunyai kudrat untuk berbuat demikian.

Lantaran itu, dia sanggup mengeluarkan sebahagian daripada wang simpanannya sebagai seorang pelakon untuk melaburkan dalam perniagaan yang dijelaskan Sharnaaz sebagai perniagaan keluarga.

m2
Sharnaaz Ahmad dan Anis al-Idrus merupakan pengguna tegar Biogenesis Collagen selepas diperkenalkan dengan produk makanan tambahan itu yang menampakkan hasil positif selepas lebih sebulan mengamalkannya. – Foto TRP/Azrol Ali

Namun, kata anak jati Pulau Pinang ini lagi, perniagaannya itu bukanlah sejenis perniagaan pemasaran pelbagai peringkat (multi level marketing) sebaliknya Biogenesis Collagen hanya dijual menerusi stokis dan ejen terpilih dan dijual dengan harga RM170 sebotol.

“Saya tahu mungkin ada yang berfikir dua kali untuk membeli Biogenesis Collagen ini tetapi apa yang boleh saya katakan fikir semasak-masaknya tentang kesihatan yang sangat perlu dijaga dalam situasi yang mencabar sekarang ini,” jelasnya panjang lebar.

Dalam pada itu, Sharnaaz juga turut ditebak dengan soalan mengenai kebimbangan masyarakat terhadap produk makanan tambahan lebih-lebih lagi ada laporan sebelum ini yang mengatakan seorang pelajar universiti maut selepas mengamalkannya.

Namun, penuh optimis dia memberitahu perkara itu tidak akan terjadi seandainya masyarakat dididik dengan perkara yang betul dan Sharnaaz yakin bahawa produknya itu selamat digunakan.

Biogenesis Collagen yang dikeluarkan oleh syarikat tempatan, Sciencetech Industries Sdn. Bhd. mengandungi kolagen marin, vitamin C dan L-Glutathione yang bertujuan untuk meningkatkan keberkesanan kolagen untuk proses penyerapan dalam badan.

Sebarang keterangan lanjut boleh layari laman web www.sciencetech.my atau email kepada sciencetechindustries@gmail.com.