BATU CAVES, 21 Mei:

Sebaik sahaja memberi salam, pintu dibuka dan tercegat di hadapannya seorang figura unggul yang menyambut kemas tangan saya untuk berjabat mesra.

Sambil menjawab salam yang diberikan, komposer tersohor ini menjemput saya masuk ke kediamannya yang serba ringkas itu yang mula didiami kira-kira hampir tujuh tahun lalu itu.

Saya hanya memerhatikan cara dia berjalan yang agak perlahan menuju ke sofa yang terletak di ruang tamu di samping sosok tubuhnya yang satu ketika dahulu berisi kini kelihatan sedikit susut.

Dan, itulah sebenarnya mengapa saya mahu bertemu dengannya pada pagi ini untuk mendapatkan pengesahan di sebalik keadaan kesihatannya yang menjadi bualan ramai sedikit waktu dahulu.

Saya membiarkan dia relaks seketika sambil berbual malas dengannya tentang pelbagai perkara dari dunia hiburan sehinggalah ke politik. Saya cukup ralit mendengarnya berbicara.

Tidak menunggu lama, saya bertanyakan soalan yang ingin saya tanyakan yakni tentang kesihatannya yang menimbulkan sedikit rasa bimbang di kalangan penggiat seni tempatan.

Wajahnya sedikit kaget ketika soalan itu diajukan namun, komposer berusia 56 tahun ini menjawabnya dengan tenang sambil mengukir senyuman.

“Alhamdulillah, saya sihat-sihat sahaja. Bukan sakit serius mana pun seperti mana yang disangka ramai.

“Maklumlah, usia semakin meningkat. Penyakit pun mula datang. Saya hanya menghidap penyakit kencing manis sejak beberapa tahun lalu.

“Hanya sekarang ini sahaja kesannya mula terasa apabila ia mula mengganggu saraf pada kaki saya yang membuatkan pergerakan sedikit terbatas seperti mana yang awak lihat ini. Cuma, saya perlu lebih berhati-hati sahaja,” demikian penjelasan Datuk Adnan Abu Hassan berhubung tentang masalah kesihatannya yang melanda dirinya ketika ini sewaktu ditemui di kediamannya, di sini hari ini.

Adnan_03
Keadaan diri Adnan Abu Hassan ketika menghadiri Konsert Unplugged Datuk Siti Nurhaliza di Istana Budaya, bulan lalu sehingga perlu dipimpin menuruni tangga membuatkan ramai yang risau dan bimbang akan kesihatannya. – Foto TRP/Syahirah Roslan

Komposer hebat yang pernah mencipta kegemilangan pada era 80an hingga awal tahun 2000 itu mengakui dan sedar akan keadaan kesihatannya yang menjadi perhatian ramai.

Semuanya bermula sewaktu dia muncul untuk memberikan penghormatan kepada penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza pada majlis Anugerah MeleTOP tahun lalu.

Dan, keadaan dirinya itu semakin menjadi kerisauan orang ramai ketika dia muncul pada Konsert Unplugged Datuk Siti Nurhaliza yang berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya pada 7 April lalu.

Pada ketika itu, Adnan tidak dapat berjalan dengan baik sebaliknya dipimpin oleh salah seorang petugas Istana Budaya bersama Siti Nurhaliza untuk naik ke pentas bagi mengiringi penyanyi itu membuat persembahan bersamanya.

Mengenangkan peristiwa yang berlaku itu, komposer yang cukup dikenali menerusi lagu Jerat Percintaan (Siti Nurhaliza) dan Camar Yang Pulang (Aishah) ini hanya mampu ketawa kecil.

“Kalau betul saya sakit sehingga tidak boleh berjalan, sudah pasti saya akan ke sana dengan kerusi roda.

“Saya akui pergerakan saya memang perlahan terutama apabila perlu menaiki dan menuruni tangga. Tetapi jika ada pemegang di tangga, saya tidak ada masalah untuk melakukannya sendiri.

“Tetapi, jika sebaliknya, saya memerlukan bantuan orang untuk memimpin dan memapah saya berbuat demikian,” jelas anak sulung daripada empat adik-beradik ini tanpa selindung.

Adnan_01
Biarpun berhadapan dengan masalah kesihatan, namun, Adnan Abu Hassan masih mampu mencipta lagu baharu untuk penyanyi yang mahu mendapatkan khidmatnya. – Foto TRP/Syahirah Roslan

Ketika ditanya keadaannya sekarang ini, bapa kepada tiga orang anak ini mengakui ada sedikit perubahan berbanding sebelum ini dan apa yang dia lakukan adalah dengan meneruskan pengambilan ubat-ubatan daripada doktor.

Malah, dia juga bersyukur kerana masih mampu meneruskan kehidupannya dengan hasil duit royalti yang diterimanya daripada Badan Pelindung Hakcipta Karyawan Muzik Malaysia (MACP) setiap tahun berjumlah RM60,000.

Pun begitu, Adnan masih lagi aktif dalam dunia seni dengan mengkhabarkan berita lagu terbaru ciptaannya telah pun dirakamkan oleh bekas juara Bintang RTM 2001, Azharina Azhar yang akan dilancarkan minggu hadapan.

Cuma, kata komposer yang mesra disapa sebagai Abang Dee oleh penggiat seni hiburan, dia hanya akan mencipta lagu seandainya ada permintaan.

“Sesiapa sahaja yang mahu lagu daripada saya, tiada masalah kerana setiap lagu yang saya hasilkan adalah custom made untuk penyanyi itu,” kata penerima Anugerah Sri Wirama pada Anugerah Industri Muzik Ke-18 (2009) itu lagi.