KUALA LUMPUR, 20 Mei:

Sedang enak membuai rasa mendengar dia berceloteh tanpa henti tentang persembahan sempena hari ibu yang dijayakannya pada malam itu, tiba-tiba suaranya berubah dan air mata mula bergenang di tubir matanya.

Perlahan-lahan suaranya menjadi tersekat-sekat tatkala ditanya tentang pemergian nenek tercinta, Allahyarham Teh binti Tek ke rahmatullah minggu lalu akibat komplikasi buah pinggang pada usia 91 tahun.

Namun kata Datuk Siti Nurhaliza, apa yang membuatkan hatinya terlalu tersentuh sehingga dia mengalirkan air matanya apabila mengenangkan hubungan rapat ibunya, Siti Salmah Bachik dengan arwah neneknya itu.

“Mak memang rapat dengan Wan (panggilan untuk arwah nenek) dan sehinggakan ke nafas terakhir, mak memang sentiasa berada di sisi arwah kerana memang selama ini mak yang menjaga arwah.

“Apabila melihat pengorbanan mak menjaga arwah ibunya, hati saya memang menjadi sayu. Saya sendiri tidak dapat menggambarkan bagaimana perasaan mak apabila dia kehilangan ibunya kerana mereka memang rapat.

“Sebagaimana mak menjaga arwah abah dulu, begitu jugalah bagaimana pengorbanan mak menjaga arwah Wan selama ini. Saya memang kagum dengan semangat dan kecekalan mak sebagai seorang anak, isteri dan ibu,” ujar penyanyi yang mesra disapa dengan panggilan Siti ini sambil menyeka air matanya.

ct-2-(M)
Aksi Siti Nurhaliza yang memasak resipi ketam telur masin sambil menyanyi yang mengundang tepukan gemuruh penonton yang hadir pada malam itu. – Foto Berita Harian

Siti meluahkan perasaannya itu ketika ditemui usai persembahan Mother’s Day Miracle Night With Datuk Siti Nurhaliza yang berlangsung di Pusat Convention TM, di ibu negara, baru-baru ini.

Selepas keadaanya kembali tenang, penyanyi lagu Terbaik Bagimu dan Aku Cinta Padamu ini memberitahu arwah neneknya itu adalah seorang yang tidak banyak bercakap dan cukup murah dengan senyuman.

Pun begitu, Siti menjelaskan arwah neneknya itu juga antara penyokong kuat kerjaya seninya terutama apabila Siti mula merakamkan lagu-lagu tradisional yang menjadi kegemaran arwak Teh binti Tek.

Mengalih bicaranya kepada persembahan yang dianjurkan oleh OMGfest Ventures itu, ternyata penghibur berusia 36 tahun ini menzahirkan rasa kepuasannya apabila segala yang dirancang semuanya berjalan dengan lancar.

Sementelah dalam persembahan itu Siti juga mengadakan satu segmen khas bersama seorang ibu terpilih dan dia sendiri perlu memasak sambil menyanyi, penyanyi jelita itu tidak dapat menyembuyikan kegusarannya.

“Saya bimbang juga kalau ada perkara yang tidak dirancang mahupun tidak diingini berlaku dalam segmen itu tetapi Alhamdulillah, semuanya ok dan selesai dalam masa yang ditetapkan,” jelas Siti yang menunjukkan kepakarannya memasak salah satu resipi kegemarannya iaitu ketam telur masin yang kemudiannya dihidangkan kepada salah seorang penonton berstatus ibu yang menemaninya di atas pentas.

Bukan itu sahaja, ibu bertuah yang hanya dikenali dengan panggilan Cik Pah itu juga menerima hadiah istimewa daripada penyanyi itu yang merupakan sebuah beg berjenama Fendi dan sehelai selendang yang merupakan antara beg berjenama terawal yang dibeli Siti sewaktu mula menjadi penyanyi.

Mengenai persembahannya pada malam itu, ternyata anak kelahiran Kampung Awah, Temerloh, Pahang itu tidak pernah gagal memberikan persembahan terbaik dan riak kepuasan itu memang terpancar jelas di setiap wajah penonton yang hadir.

Biarpun harga tiket yang dikenakan bukan calang-calang, namun, itu bukan satu halangan buat peminat setia Siti untuk mengeluarkan wang menonton persembahan eksklusifnya itu.

ct-3-(M)
Dalam setiap persembahannya, Siti Nurhaliza tidak lupa untuk menyampaikan lagu tradisional dan lagu-lagu seperti Empat Dara dan Laksamana Mati Di Laut menjadi pilihannya sewaktu membuat persembahan Mother’s Day Miracle Night With Datuk Siti Nurhaliza yang berlangsung di Pusat Convention TM, di ibu negara, baru-baru ini. – Foto Berita Harian

Lebih meriah apabila dua pelawak terkenal, Nabil Ahmad dan Angah turut diundang dan mereka berjaya menggeletek penonton dengan telatah serta lawak jenaka spontan mereka.

Malah, mereka juga turut menyanyi bersama Siti menerusi dua buah lagu popular kumpulan Blues Gang iaitu Mak Siti dan Oh! Mama, Saya Mahu Kahwin bersama beberapa orang tetamu yang diundang ke pentas.

Diketuai oleh pengarah muzik dan komposer terkenal, Aubrey Suwito, nampaknya Siti masih lagi menjadikan persembahannya pada malam itu sebagai platform untuk terus mempromosikan album studio Melayunya yang ke-15, Fragmen.

Lagu-lagu dalam album yang dinobatkan sebagai Album Terbaik Anugerah Industri Muzik Ke-21, tahun lalu itu yang dipersembahkan Siti pada malam itu ialah Aku, Warna Dunia, Sanubari, Kau Sangat Bererti, Jaga Dia Untukku dan Terbaik Bagimu.

Mengulas tentang perkara itu, penyandang gelaran Vokal Wanita Terbaik Anugerah Industri Muzik sebanyak 12 kali itu menjelaskan, dia mahu terus mempromosikan album Fragmen sebelum muncul dengan album terbaru kelak.

“Bagi saya, album ini sangat berkualiti dan lagu-lagunya juga sedap. Jadi, siapa lagi yang hendak mempromosikannya kalau bukan saya sendiri,” jelasnya yang turut menyampaikan lagu-lagu seperti Air Mata Ibu, Ibu, Ummi, Kasihnya Ibu, Empat Dara dan Laksamana Mati Di Laut.