KUALA LUMPUR, 8 Mei:

Biarpun sambutan peminat terhadap konsert berbayar di negara ini ada pasang surutnya dan boleh dikatakan tidak menentu, namun bagi penghibur dan komposer ternama, Datuk M. Nasir, dia cukup yakin dengan penerimaan penonton terhadap konsert jelajahnya kelak.

Malah, kata seniman berusia 58 tahun ini, dia percaya peminat masih lagi mendambakan dan sanggup melaburkan wang untuk persembahan yang dapat memberikan kepuasan maksimum kepada mereka.

Tambah anak kelahiran Singapura ini lagi, demi untuk mencapai matlamat tersebut, sebagai penghibur dia harus memikul tanggungjawab dan cabaran dalam memastikan konsertnya kelak akan meninggalkan impak tersendiri terhadap penonton.

“Bukan selalunya saya mengadakan konsert terutama di luar Kuala Lumpur. Lantaran itu, saya percaya peminat yang tidak dapat hadir menyaksikan konsert saya sebelum ini akan memberikan sokongan mereka kelak.

“Malah, persembahan saya untuk konsert jelajah ini kelak amat berbeza dengan apa yang saya persembahkan sebelum ini. Sebagai penghibur, kita harus sentiasa bersedia memberikan yang terbaik untuk peminat,” ujar M. Nasir penuh optimis ketika ditemui di Damansara Perdana, Petaling Jaya, Selangor, semalam.

Penyanyi yang cukup masyhur dengan lagu Mentera Semerah Padi itu berkata demikian pada sidang media pengumuman Konsert M. Nasir…kembara yang menyaksikan komposer tersohor itu akan menjelajah empat lokasi utama di Semenanjung Malaysia bermula 23 Mei ini di Kuantan, Pahang.

Turut hadir Pengarah Produksi Luncai Emas Sdn. Bhd., Keon Omar dan Ketua Pegawai Pemasaran & Jualan Celcom Axiata Berhad, Zalman Aefendy Zainal Abidin.

nasir2
M. Nasir memberitahu seleksi lagu-lagu yang terbaik memainkan peranan penting dalam menghiburkan penonton yang hadir ke konsertnya kelak. – Foto TRP/Syahirah Roslan

Menyambung bicaranya tentang konsert jelajah yang ditaja sepenuhnya oleh First by Celcom itu, M. Nasir mengakui cabaran yang harus dipikulnya bukan sembarangan.

Justeru, bagi memastikan semuanya akan berjalan dengan baik kelak, dia sendiri sudah bersedia dengan latihan serta persiapan dari segi mental dan fizikal sementalah dia sendiri juga agak lama tidak mengadakan sebarang konsert besar di luar kota.

Apa yang paling diutamakan oleh bekas pemenang Vokal Lelaki Terbaik Anugerah Industri Muzik (AIM) sebanyak dua kali ini lagi adalah pemilihan lagu yang terbaik.

“Saya akui repertoire lagu adalah sesuatu yang sangat sukar setiap kali mengadakan konsert besar. Sebagai pengkarya, semestinya saya sendiri mempunyai lagu pilihan sendiri.

“Namun, sudah semestinya lagu-lagu yang akan saya sampaikan adalah lagu-lagu popular yang boleh membuatkan penonton menyanyi bersama manakala untuk lagu pilihan peribadi juga saya akan nyanyikan tetapi hanya sekadar satu atau dua lagu sahaja.

“Apa yang penting adalah untuk peminat kerana saya mahu mereka terhibur dan berasa puas dengan persembahan ini,” kata komposer yang pernah memenangi kategori Lagu Terbaik AIM sebanyak tiga kali ini lagi.

nasir1
M. Nasir menerima cenderamata daripada Zalman Aefendy Zainal Abidin dan disaksikan oleh Keon Omar pada sidang media pengumuman Konsert M. Nasir…kembara yang diadakan di Damansara Perdana, Petaling Jaya, Selangor, semalam. – Foto TRP/Syahirah Roslan

Di kala penyanyi tempatan merungut apabila sukar untuk mendapatkan penaja bagi mengadakan konsert, namun lain pula ceritanya dengan M. Masir apabila syarikat telekomunikasi besar seperti Celcom sanggup berbelanja besar untuk konsert jelajahnya itu.

Ternyata berita itu sangat menggembirakan komposer lagu Awan Nano nyanyian Hafiz Suip itu dan menganggapnya sebagai satu rahmat baginya untuk terus dekatkan diri dengan peminat di luar Kuala Lumpur terutamanya.

Selain M. Nasir, tiga artis popular telah diundang sebagai artis pembukaan iaitu Spider, Fynn Jamal dan Pita Hati.

Selain di Kuantan, Konsert M. Nasir…kembara juga akan menjelajah Pasir Gudang, Johor pada 13 Jun ini dan diikuti dengan Seberang Jaya, Pulau Pinang (5 September) dan Shah Alam, Selangor (7 November).

Harga tiket bagi konsert di Kuantan adalah sebanyak RM65 dan RM125 manakala di Pasir Gudang pula adalah RM75 dan RM155.

Segala pembelian dan tempahan tiket boleh layari www.ticket2u.biz atau hubungi talian 03-4147 8600. Untuk sebarang pertanyaan bolehlah hubungi Luncai Emas Sdn. Bhd. di talian 03-6156 6700.