KUALA LUMPUR, 24 April:

Pelakon jelita, Fazura memberitahu dia tidak pernah memasuki mana-mana kelas vokal dalam mempersiapkan dirinya untuk menjadi seorang penyanyi.

Sebaliknya jelas pemilik nama penuh Nur Fazura Sharifuddin ini, dia lebih selesa untuk menuruti kata hatinya sendiri selain menerima nasihat daripada penyanyi kesayangannya yang juga penghibur terkenal negara, Datuk Sheila Majid.

“Saya ada terserempak dengan Sheila Majid dalam satu majlis tidak berapa lama dulu. Dia ada menitipkan pesan untuk menjadi seorang penyanyi, adalah lebih baik untuk berlatih setiap hari.

“Ini kerana katanya, dengan latihan yang dilakukan, suara itu akan terbentuk dengan sendirinya.

“Bukannya saya tidak mahu memasuki kelas vokal tetapi seandainya saya berbuat demikian, suara saya akan berubah. Disebabkan itu saya selesa dengan suara yang saya miliki sekarang ini,” jelas Fazura penuh optimis sewaktu ditemui pada sidang media pelancaran single sulungnya, Sayangi Dirimu di Damansara, dekat sini hari ini.

Turut hadir kedua-dua komposer dan penulis lirik lagu Sayangi Dirimu, Damian Mikhail dan Shah Shamsiri.

Pada sidang media itu juga, Fazura membuktikan kemampuannya untuk menyanyi secara live apabila menyampaikan lagu Sayangi Dirimu dengan diiringi oleh kumpulan muzik.

Berbicara lanjut mengenai kerjaya nyanyiannya, pelakon yang cukup dikenali menerusi filem Gol & Gincu ini mengakui di awal kemunculannya sebagai seorang artis, matlamat utamanya dalam bidang seni adalah untuk menjadi seorang penyanyi.

fazura_M3
Fazura menerima plak penghargaan daripada Pengurus Promosi Warner Music Malaysia, Anne Mukhtar pada sidang media yang berlangsung dekat sini, hari ini. Turut hadir Damian Mikhail (kanan) dan Shah Shamsiri (kiri). – Foto TRP/Syahirah Roslan

Namun, tiada istilah menyesal dalam kamus hidupnya apabila dia lebih dikenali sebagai seorang pelakon sebaliknya, bersyukur dengan perjalanan hidupnya apabila mimpinya itu sudah bertukar menjadi realiti.

Lebih menarik lagi, apabila pelakon berusia 31 tahun ini menjelaskan dia mempunyai perancangan untuk melahirkan sebuah album penuh bagi membuktikan keseriusannya dalam bidang nyanyian.

Bahkan, dia juga akan merakamkan sebuah lagu bersama bekas juara Singapore Idol musim pertama, Taufik Batisah sekitar bulan depan dan kemudiannya, barulah dia akan merakamkan lagu berentak balada pula.

Katanya juga, dia mahu berkolaborasi dengan komposer muda seperti Aizat Amdan dan Amir Jahari yang disifatkannya memiliki bakat besar.

“Saya mahu melakukannya satu persatu tanpa memberikan tekanan kepada diri sendiri. Apa yang penting adalah untuk saya lahirkan lagu-lagu yang mempunyai mesej positif untuk khalayak.

“Saya sendiri tidak menyangka ia (bidang nyanyian) hanya bermula sebagai sebuah projek suka-suka akhirnya ia menjadi sesuatu yang di luar imaginasi saya apabila ia diterima dengan baik oleh peminat saya dan menjalinkan kerjasama dengan Warner Music Malaysia.

“Sesiapa yang tidak suka dan mahu terus memberikan komen negatif, silakan kerana itu tidak lagi menjadi hal dan kudis buat saya,” kata bekas pemenang Pelakon Harapan Wanita Festival Filem Malaysia Ke-17 menerusi filem Bicara Hati ini bersemangat.

Dalam masa yang sama, anak kelahiran Pekan, Pahang ini juga sama sekali tidak menyangka video muzik Sayangi Dirimu telah mendapat penontonan hampir 52,000 kali di YouTube hanya dalam tempoh kurang daripada seminggu.

Sementara itu, selain daripada bidang nyanyian, Fazura memberitahu sepanjang tahun 2015 dia akan sibuk dengan perniagaannya iaitu House Of Doll dan mempunyai perancangan untuk mengeluarkan rangkaian penjagaan kulitnya sendiri.

“Untuk filem pula, saya akan muncul dengan filem Langit Cinta arahan Osman Ali dan digandingkan kali pertama bersama Keith Foo. Saya teruja menantikan filem itu kerana ia adalah sesuatu yang berbeza daripada apa yang pernah saya lakukan sebelum ini,” jelas duta jenama Nutox ini mengakhiri perbualan.

fazura_M2
Dalam usianya yang sudah mencecah 31 tahun, Fazura yang juga digelar fashionista ini enggan lagi memikirkan pandangan negatif orang sekeliling terhadap dirinya. – Foto TRP/Syahirah Roslan