KUALA LUMPUR, 17 April:

Selepas berkecimpung lebih 10 tahun dalam dunia seni tempatan, pelakon muda, Liyana Jasmay kini sudah bersedia untuk meneroka bidang baru dalam penerbitan filem.

Menerusi syarikat produksi, Mermaid Studios Sdn. Bhd. yang diusahakan bersama dengan kakaknya, Adriana, ternyata Liyana cukup teruja saat diajak berbicara tentang filem pertama terbitan syarikatnya, Bella & Jamie.

Sebelum ini, syarikatnya itu aktif menerbitkan telemovie untuk stesen televisyen tempatan sejak ditubuhkan pada tahun 2011.

Meskipun cukup sedar akan situasi kurang memberangsangkan yang melanda industri perfileman tempatan ketika ini, namun, ia bukan satu halangan bagi Liyana untuk memberikan pembaharuan menerusi filem Bella & Jamie.

Jelasnya lagi, filem tersebut tidak menelan belanja sehingga jutaan ringgit sebaliknya ia boleh dianggap sebagai sebuah filem indie yang dihasilkan dengan bajet dalam lingkungan RM500,000 sahaja.

“Apa yang membuatkan saya lebih teruja apabila yang terlibat dalam projek filem ini semuanya adalah generasi muda yang semangat mereka memang kental dan membara.

“Mereka sangat bersungguh-sungguh dan mahu melakukan yang terbaik untuk filem ini. Kelebihan untuk saya juga apabila saya mendapat bantuan dan sokongan daripada mereka yang lebih berpengalaman dan senior.

“Saya bersyukur dengan pengalaman saya sendiri dalam bidang ini dan hubungan baik dengan mereka di dalam industri banyak melancarkan lagi projek filem ini.

“Misi saya hanya satu adalah untuk memberikan pembaharuan dan satu penontonan berbeza buat audiens tempatan” kata Liyana dalam nada bersungguh sewaktu ditemui pada majlis pelancaran filem tersebut di Hotel Berjaya Times Square, Kuala Lumpur, di sini semalam.

m1
Liyana (dua dari kanan) bersama kakaknya, Adriana (kanan) dan barisan pelakon filem Bella & Jamie pada majlis pelancaran yang diadakan di Hotel Berjaya Times Square, Kuala Lumpur, semalam. Turut kelihatan pengarah filem tersebut, Fairul Nizam Ablah (dua dari kiri). – Foto TRP/Mokhsin Zamani

Selain Liyana, pelakon lain yang membintangi filem arahan Fairul Nizam Ablah itu ialah Juliana Evans, Izzue Islam, Khir Rahman dan Dynas Mokhtar.

Tambah bekas pemenang Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-22 menerusi filem Papadom itu lagi, bagi melancarkan proses penggambaran yang akan bermula Isnin depan, dia dan pasukannya telah pun memulakan pra produksi sejak beberapa bulan yang lalu.

Demi memastikan filem Bella & Jamie akan memberikan kepuasan kepada penonton terutama generasi muda, pelakon berusia 27 tahun itu ternyata begitu teliti dengan setiap perkara dari segenap aspek sejak dari peringkat pra produksi lagi.

Disebabkan itu, ibu kepada Sofia Arissa, 11 bulan ini begitu optimis dan percaya proses penggambaran filem itu nanti akan berjalan seperti mana yang dirancang.

“Namun, saya tidak dapat menolak rasa bimbang apabila memikirkan cara terbaik untuk memasarkan filem ini nanti kerana ia memerlukan bajet yang boleh dikatakan besar selain penggunaan medium yang sesuai untuk mempromosikannya.

“Dalam zaman moden hari ini, pelakon popular bukan lagi satu jaminan untuk menarik perhatian penonton ke pawagam.

“Malah, belum tentu juga filem tersebut akan mendapat kutipan box-office walau dibarisi dengan pelakon yang memiliki nama besar,” ujar isteri kepada Fathuddin Mazlan ini penuh semangat.

Dalam masa yang sama, Liyana yang kelihatan langsing dan anggun pada majlis itu mengakui dia terpaksa berdiet untuk filem terbarunya itu selepas ditegur oleh kakaknya.

Antara amalan dietnya termasuklah hanya memakan biskut dan minuman coklat panas bagi menggantikan makan malam.

m (2)
Persahabatan yang terjalin antara Liyana Jasmay dan Juliana Evans membuatkan mereka kelihatan serasi bergandingan di layar perak selepas filem Kami the Movie, tujuh tahun lalu. – Foto TRP/Mokhsin Zamani