KUALA LUMPUR, 17 April:

Pelakon muda jelita, Juliana Evans mengakui tidak pernah berhubung mahupun berjumpa dengan bekas kekasihnya, Zizan Razak sejak pulang dari Amerika Syarikat (AS) sejak November lalu.

Katanya lagi, dia sendiri sudah tidak ambil tahu dan apa yang paling penting buatnya adalah untuk tidak masuk campur urusan yang berkaitan dengan pelawak popular itu.

“Jujurnya, bukannya saya sengaja mengelak atau tidak mahu berjumpa dengannya tetapi kami memang tidak pernah terserempak mahupun bertemu walaupun dalam mana-mana majlis anugerah sebelum ini.

“Walaupun kami pernah rapat sebelum ini, namun, apa sahaja yang berlaku kepada dirinya ketika ini bukan lagi menjadi perkara penting untuk saya ambil tahu lagi.

“Apa yang saya boleh katakan di sini adalah untuk mendoakan yang terbaik untuknya dalam apa jua bidang dan perkara yang dilakukannya termasuk perkahwinannya,” jelasnya penuh jujur sewaktu ditemui pada majlis pelancaran filem Bella & Jamie di Hotel Berjaya Times Square, Kuala Lumpur, di sini, semalam.

Pelakon berusia 26 tahun ini berkata demikian ketika diminta mengulas tentang kontroversi yang melanda Zizan ketika ini.

Kedua-dua Juliana Evans dan Zizan pernah menjalinkan hubungan cinta sekitar tahun 2011 selepas membintangi filem Hantu Bonceng dan seterusnya digandingkan sekali lagi dalam filem Mael Lambong.

Namun, hubungan itu tidak kesampaian apabila masing-masing sepakat untuk mengakhiri percintaan mereka selepas Juliana membuat keputusan untuk menyambung pengajiannya di AS pada tahun 2012.

julm
Gambar kenangan Juliana Evans dan Zizan Razak sewaktu mereka menjadi pasangan kekasih beberapa tahun lalu. – Foto oppstest.blogspot.com

Dalam masa yang sama juga, pelakon berdarah kacukan Melayu-Inggeris ini turut menepis dakwaan bahawa dia sedang menjalinkan hubungan cinta dengan rapper yang semakin meningkat naik, SonaOne.

“Saya sudah lama mengenali SonaOne dan kami cukup selesa untuk berkawan sahaja,” jelas pelakon filem Kami the Movie ini ringkas tanpa selindung.

Bahkan kata pemilik nama penuh Juliana Sophie Johari Evans ini berkata, buat masa ini, dia tidak mahu memikirkan soal cinta sebaliknya mahu terus fokus dengan kerjayanya yang dilihat semakin berkembang.

Ujarnya lagi, dia sendiri tidak menyangka sebaik sahaja dia pulang dari AS, tawaran berlakon yang diterimanya sangat memberangsangkan sehinggakan jadual seninya padat untuk tiga bulan akan datang.

“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dengan rezeki yang diberikan. Saya ingatkan apabila saya berehat sebentar daripada dunia lakonan, mungkin saya perlu ambil masa untuk membina semula nama saya.

“Tetapi, sebaliknya pula yang berlaku. Saya sendiri pun memang tidak ada perancangan untuk berehat selepas pulang dari AS. Apa yang saya mahu adalah untuk terus bekerja,” kata artis naungan Uprising Entertainment ini yang baru sahaja selesai menjalani penggambaran untuk siri Oh! My English musim keempat.