KUALA LUMPUR, 10 April:

Bagi mereka yang membesar pada era 60-an dan 70-an, nama penyanyi ini pastinya antara yang agak sukar untuk dilupakan.

Dendangan lagu-lagunya yang mengasyikkan dan membuai jiwa telah meletakkan namanya sebagai salah penyanyi yang hadir dengan bakat tersendiri.

Siapa yang dapat melupakan alunan indahnya menerusi lagu-lagu seperti Sedih Sekelip Mata, Semenjak Berjauhan, Taj Mahal, Si Baju Hijau dan Sejak Ku Bertemu Padamu. Semuanya masih segar dan kekal dalam ingatan peminat setianya.

Namun, selepas dia mengambil keputusan untuk berehat daripada dunia seni hampir empat dekad yang lalu, ramai yang bertanya di manakah gerangan pemilik vokal lunak ini.

“Saya tidak hilang seperti mana yang diperkatakan. Sebenarnya, saya masih aktif menyanyi di Singapura di samping melibatkan diri dengan drama radio dan bangsawan.

“Cuma, saya membuatkan keputusan untuk berehat daripada dunia seni kerana mempunyai komitmen yang memerlukan saya memberikan tumpuan sepenuhnya kepada kehidupan peribadi saya,” katanya dalam penuh berhemah sewaktu ditemui di Istana Budaya, di sini hari ini.

Penyanyi berusia 63 tahun ini turut memberitahu ‘kehilangannya’ seperti mana yang disangkakan semuanya bersebab.

Katanya lagi, sementelah sudah tidak aktif dalam dunia seni, dia sibuk menolong kakaknya menguruskan perniagaan kedai makan di Singapura selain menjaga ibunya yang kurang sihat.

Berpeluang bertemu dengan penyanyi yang masih kelihatan anggun dan elegan ini banyak juga cerita yang dikongsikannya.

Masih segar dalam ingatannya bagaimana penerimaan peminat terhadap dirinya sewaktu beliau mengecapi zaman kegemilangannya.

“Saya menganggap ia sebagai sesuatu yang luar biasa kerana tidak menyangka diri saya diterima dengan baik pada zaman itu.

“Malah, saya sangat terharu apabila sehingga ke hari ini pun, diri saya masih lagi diterima dengan baik oleh mereka,” katanya yang pernah menjadi artis naungan syarikat rakaman EMI.

M (1)
Penyanyi lagu Sedih Sekelip Mata ini menjelaskan dia masih lagi menjayakan persembahan dan terlibat dalam dunia seni di Singapura namun, tidak aktif seperti dulu. TRP/Muhammad Azrol Ali

Memandangkan beliau memiliki untaian lagu-lagu yang malar segar, sempat juga dia ditanya apakah lagu kegemarannya yang telah meninggalkan satu kesan abadi dalam jiwanya.

Sambil tersenyum manis, Sanisah memberitahu lagu ciptaan Allahyarham Kassim Masdor iaitu Semenjak Berjauhan merupakan lagu yang paling meninggalkan kesan dalam hidupnya.

“Bukan hanya melodi yang indah, namun liriknya itu sangat menyentuh kalbu,” katanya yang mula dikenali menerusi album runut bunyi filem A-Go-Go ’67 sebelum merakamkan album solo pertamanya berjudul Sanisah Huri pada tahun 1968.

Bukan itu sahaja, nama Sanisah juga antara yang sering menjadi sebutan setiap kali menjelangnya Aidilfitri apabila dua buah lagu dendangannya, Bersabarlah Sayang dan Aidilfitri kerap diputarkan.

Sementara itu, Sanisah turut berkongsi perasaan berdebarnya untuk menjayakan Konsert Aku, Dia & Lagu Bersama Orkestra Simfoni Kebangsaan yang akan berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur, malam esok.

Apatah lagi, kemunculannya untuk konsert itu adalah kali pertama selepas lebih 30 tahun tidak mengadakan persembahan di Malaysia.

“Seingat saya, kali terakhir saya mengadakan persembahan di Malaysia pada akhir tahun 70-an atau awal 80-an. Selepas itu, saya lebih banyak menghabiskan masa di Singapura.

“Disebabkan itu, saya sangat teruja dan gementar untuk menghiburkan peminat. Malah, saya juga sudah membuat persiapan sebaik mungkin untuk konsert ini. Semoga mereka terhibur hendaknya pada malam esok,” ujarnya yang akan menyampaikan empat buah lagu iaitu Kisah Tuah dan Tijah, Ku Jangan Ditinggal-Tinggalkan, Gelisah dan Lagu Peribahasa.

Konsert tersebut yang merupakan tribute untuk penulis lirik legenda, Yusnor Ef merupakan kesinambungan daripada kejayaan yang pernah dikecapi sewaktu ia diadakan kali pertama di Singapura, tahun lalu.

Selain Sanisah, penyanyi veteran lain yang turut terlibat adalah Maria Bachok, J. Mizan, A. Razak, A. Rozaini dan Shafie.

Malah, ia turut dijayakan oleh penyanyi muda seperti Hafiz Suip, Hazama, Aisyah Aziz, Imran Ajmain dan Datuk Fazley.

Tiket-tiket berharga RM50, RM70, RM100, RM150, RM200, RM250 dan RM300 masih lagi dijual dan boleh dibeli menerusi laman sesawang www.airasiaredtix.com atau di kaunter Box Office Istana Budaya.