KUALA LUMPUR, 8 April:

Penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza boleh dikatakan antara penyanyi sangat bertuah kerana memiliki senarai lagu-lagu popular yang menjadi pujaan ramai sehingga ada di antaranya sudah mencapai tahap malar segar atau evergreen.

Sebagai penyanyi prolifik yang kerap mengadakan konsert, seboleh-bolehnya Siti Nurhaliza mahu memastikan agar pemilihan lagu dapat memberikan kepuasan kepada peminat setianya mahupun untuk dirinya sendiri sebagai seorang penghibur.

Ini dapat dibuktikan pada konsert terbarunya, Datuk Siti Nurhaliza Unplugged 2015 yang berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur, malam semalam.

Sepanjang dua jam konsert itu berlangsung, Siti Nurhaliza terus membuktikan keunggulannya sebagai seorang penyanyi tersohor negara dan penghibur yang berada dalam liganya tersendiri.

Sudah pasti, kekuatan dan nadi utama konsert itu terletak kepada keampuhan dan kehebatan vokal Siti Nurhaliza sehingga ke hari ini masih tiada tandingan biarpun kurang sihat.

Malah, semakin meningkat usianya, semakin matang dan kedengaran lebih merdu serta indah sehingga membuai jiwa penonton yang larut dalam keasyikan alunan vokalnya itu.

Memulakan persembahan dengan lagu Membunuh Benci dengan diiringi petikan piano oleh Aubrey Suwito yang juga pengarah muzik untuk konsert itu, Siti Nurhaliza tidak perlu menunggu lama untuk memanaskan Panggung Sari dengan persembahan seterusnya.

Memilih dua lagu rancak iaitu Mahligai Asmara dan Satu Cinta Dua Jiwa yang jarang sekali dinyanyikan beliau dalam konsert sebelum ini, Siti Nurhaliza kelihatan semakin selesa di atas pentas apabila menyanyi sambil menari dengan gaya tersendiri.

“Saya memang mahu mengadakan sebuah persembahan istimewa untuk peminat. Jadi, apabila saya bertanyakan kepada Abang Jo (merujuk kepada Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani) jika ada slot yang boleh diisi, maka, tarikh 7 April sahaja yang ada.

“Hanya dua minggu sahaja yang saya ada untuk menyiapkan diri untuk konsert ini. Alhamdulillah, impian saya tercapai juga untuk menambahkan lagi portfolio saya sebagai seorang anak seni,” ungkap Siti Nurhaliza penuh luhur.

sitinurhaliza2-m
Siti Nurhaliza turut mengundang Faizal Tahir untuk mengiringi persembahannya untuk lagu Aku dan Warna Dunia. – Foto TRP/Siti Syahirah Roslan

Meneruskan persembahannya, bekas juara Bintang HMI 1995 itu memilih lagu Jawapan Di Persimpangan yang baginya mempunyai kenangan tersendiri apabila ia merupakan lagu pertama yang dirakamkannya di bawah bimbingan komposer terkenal, Datuk Adnan Abu Hassan.

Lagu-lagu seperti Purnama Merindu, Diari Hatimu, Aku Cinta Padamu dan Biarlah Rahsia turut dinyanyikan Siti Nurhaliza kerana mengetahui ia antara yang menjadi pujaan peminat selain terus mengukuhkan namanya di dunia muzik Nusantara khususnya.

Sebaik sahaja penyanyi jelita ini mengalunkan lagu Mula & Akhir dengan mengundang komposer lagu tersebut, Awi Rafael mengiringinya dengan petikan gitar, suasana di dalam Panggung Sari menjadi senyap.

Pastinya kerana emosi dan nyanyian luar biasa Siti Nurhaliza untuk lagu berunsur ketuhanan itu begitu menangkap jiwa dan menusuk kalbu.

Seterusnya, penyanyi berusia 36 tahun itu menghangatkan lagi suasana dengan rangkaian lagu-lagu rancak iaitu Tanpa Kalian dan Intrig Cinta sebelum menyampaikan lagu-lagu balada popularnya seperti Usah Diragui, Wajah Kekasih dan Kau Kekasihku.

Seperti mana yang diumumkan oleh Siti Nurhaliza dalam akaun Instagram minggu lalu, beliau memenuhi janjinya apabila komposer dan penyanyi lelaki terkenal, Faizal Tahir diundang untuk mengiringi persembahannya untuk lagu Aku dan Warna Dunia.

Namun, kemuncak persembahan konsert tersebut adalah apabila Siti Nurhaliza membuat persembahan bersama Adnan Abu Hassan untuk lagu Jerat Percintaan dan Gelora Asmara hanya dengan diiringi piano.

Sesungguhnya, momen itu merupakan antara yang paling mengusik perasaan dan ditambah pula dengan persembahan vokal Siti Nurhaliza yang sangat dinamik dan mengagumkan untuk kedua-dua lagu ciptaan komposer prolifik itu.

Lantas, ia menjadikan persembahan itu antara yang terbaik dan paling diingati biarpun dinyanyikan secara medley.

“Saya tidak akan lupa jasa baik Abang Dee (merujuk kepada Adnan) sampai bila-bila. Terima kasih banyak-banyak,” jelas Siti Nurhaliza yang juga sempat berkongsi kenangan bersama peminat sewaktu mula menjadi anak seni dengan bimbingan Adnan Abu Hassan.

sitinurhaliza3-m
Peminat bertuah dari Singapura yang berpeluang menari bersama Siti Nurhaliza di atas pentas sewaktu Konsert Datuk Siti Nurhaliza Unplugged 2015 di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur, malam semalam. – Foto TRP/Siti Syahirah Roslan

Menyentuh tentang Siti Nurhaliza, berilah apa sahaja lagu kepadanya dan dia akan menjadikan lagu itu seperti lagunya sendiri dan ini dapat dilihat sewaktu beliau menyampaikan dua buah lagu klasik, Epilog Cinta Dari Bromley (nyanyian asal Sohaimi Mior Hassan) dan Suratan atau Kebetulan (Kenny, Remy dan Martin).

Persembahannya pada malam semalam juga turut diserikan dengan lagu-lagu seperti Engkau Bagaikan Permata, Cahaya Seribu Liku serta rangkaian medley lagu-lagu balada ciptaan komposer dari Indonesia iaitu Sanubari, Terbaik Bagimu dan Kau Sangat Bererti.

“Saya gembira jika ada peminat dan pendengar yang turut sama merasai emosi dan penghayatan dalam setiap lagu yang saya sampaikan. Itu bermakna cerita itu sampai kepada anda semua,” katanya sambil merujuk kepada salah seorang peminat yang membuat aksi meremang tengkuk sebaik sahaja selesai persembahannya.

Tidak lengkap seandainya persembahannya tidak disertakan dengan lagu Jaga Dia Untukku dan Lebih Indah sebelum menutup panggung dengan lagu Seluruh Cinta yang merupakan lagu duetnya bersama Cakra Khan.

Keseluruhannya, impian Siti Nurhaliza dan peminatnya tercapai dengan konsert unplugged ini sekali gus melengkapkan lagi portfolionya sebagai penyanyi terbaik negara selepas 20 tahun di dalam industri seni suara.