KUALA LUMPUR, 4 April:

Seperti ramai orang, saya membesar bersama Mama Juwie atau nama sebenarnya, Abdul Jalil Salleh sejak kecil lagi.

Pendedahan terhadap dunia hiburan terutama berita hiburan yang sering menjadi bahan bacaan di waktu senggang membuatkan saya berasa begitu dekat dengan Mama Juwie apatah lagi kolum popularnya, ‘Auw!! Juwie’ di akhbar sisipan Pancaindera (Mingguan Malaysia), adalah bahan bacaan wajib setiap hari Ahad ataupun di majalah URTV.

Penulisan beliau mengenai dunia artis biarpun ringkas, ada impak tersendiri. Gaya penulisannya itu sahaja sudah cukup memuaskan hati pembaca.

Dunia penulisan hiburan tidak meriah tanpa kehadiran Mama Juwie. Beliau antara nama yang besar dalam dunia hiburan dan menyerlah seangkatan dengan wartawan lain seperti BAM atau Bahyah Mahmood.

Namun, nilai seorang Mama Juwie bukan hanya terletak kepada penulisannya, tetapi juga imej yang dibawa.

Beliau seorang wartawan hiburan yang cukup dihormati, disayangi dan dikagumi kerana intergritinya yang memegang kuat etika kewartawanan namun beliau seorang yang bersopan santun, lemah lembut dan menjaga tutur bicara sehingga berjaya membuatkan ramai begitu selesa dengannya.

Hubungannya dengan artis juga baik. Tanyalah pada mana-mana artis terutama mereka yang lebih senior dan berpengalaman. Tiada siapa pun yang akan menceritakan yang buruk tentang Mama Juwie.

Impak nama Mama Juwie juga telah mendorong kumpulan rock popular, BumiPutra Rockers (BPR) untuk merakamkan sebuah lagu ciptaan mereka sendiri iaitu ‘Juwie Juwie Juwie’ yang dimuatkan dalam album pertama mereka, Selamat Pagi Malaysia pada tahun 1987 sebagai tanda penghormatan mereka.

Pengalaman kali pertama bertemu dengan Mama Juwie turut membuatkan saya star struck. Bayangkan seorang yang memiliki nama yang cukup besar tetap menyambut salam perkenalan dengan begitu mesra seolah-olah kami adalah kenalan lama.

Ketika terserempak dengan beliau di sebuah pasar raya di Setiawangsa, kami berbual mesra dan apabila tiba di kaunter pembayaran, tiba-tiba beliau memasukkan sebungkus beg plastik berisi beberapa kotak biskut ke dalam troli saya.

“Ambil saja, Mama bagi. Jangan lupa makan tau,” katanya.

Pengalaman kecil itu sahaja sudah membuatkan saya berasa dekat dan selesa dengannya. Itu saya, seorang wartawan mentah dalam dunia hiburan. Pastinya artis-artis tempatan yang mengenali Mama Juwie lebih rapat dalam hidup mereka akan merasai kehilangan beliau.

Mama Juwie bukan sekadar penulis pojok hiburan. Beliau banyak menghasilkan lirik-lirik lagu puitis di sekitar era 80-an dan 90-an dan pernah mempertaruhkan 15 lirik ciptaannya untuk pertandingan Anugerah Juara Lagu (AJL) sejak 1986.

Beliau merupakan wartawan hiburan yang pertama memenangi dua anugerah lirik terbaik dalam AJL. Kali pertama adalah pada tahun 1988 menerusi lagu ciptaan Datuk Dr. Ahmad Nawab ‘Kau Kunci Cintaku’ (Dalam Hatimu) dendangan Ramlah Ram dan lirik ‘Takdir dan Waktu’ ciptaan Rahim Othman yang dinyanyikan oleh kumpulan Mega (1991).

Antara lirik lagu Mama Juwie yang berjaya ke peringkat akhir AJL adalah Cinta Yang Terbiar nyanyian Datuk Jamal Abdillah, Sayang Semuanya Sudah Terlambat (Shidee), Kerna Terpaksa (Francissca Peter), Mengapa Sepi Tanpa Berita (kumpulan Steps), Bila Rindu Ku Sebut Namamu (Siti Fairuz), Masih Aku Terasa (kumpulan Gersang), Sekali Aku Jatuh Cinta (Nassier Wahab) dan Sampai Hati (Spring).

Selain itu, beberapa lagu seperti Kerana Terluka nyanyian Nurul, Apa Khabarmu Di Sana dan Cintaku Hanyut Di Lautan Sepi (Ramlah Ram), Jangan Main Mata (Rohana Jalil), Bangkitnya Seorang Kekasih (Allahyarham Datuk Sharifah Aini), Tak Boleh Lupa (Datuk Siti Nurhaliza), Sebelum Terlewat Waktu (Ziana Zain) dan Aku Masih Seperti Dahulu (Fauziah Latiff).

Melihatkan kepada sumbangan besarnya itu Mama Juwie sepatutnya sudah layak untuk diiktiraf dengan penghargaan khas iaitu Anugerah Sri Wirama dalam Anugerah Industri Muzik (AIM).

Namun, selepas bersara sepenuhnya pada tahun 2008, Mama Juwie mengurangkan aktiviti penulisan dan memenuhi tanggungjawab sebagai kolumnis di Berita Harian dan juga majalah Mangga.

Beliau lebih banyak membawa dan mengiringi para jemaah haji dan umrah dan menunaikannya bersama-sama dengan mereka.

Menerusi Editor mStar, Niezam Abdullah, saya mendapat tahu Mama Juwie menghidap kanser prostat tetapi beliau sebolehnya tidak mahu orang ramai melawatnya.

Ternyata berita pemergian Mama Juwie malam tadi pada usia 62 tahun sememangnya menyedihkan dan sesungguhnya Allah SWT lebih menyayangi beliau. Kehilangannya sangat dirasai dan tidak boleh dicari ganti.