KUALA LUMPUR, 17 Februari:

Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) menyokong penuh tindakan pelakon Tasha Shila yang mempertahan dirinya daripada menjadi mangsa fitnah yang mendakwa dirinya terlibat dengan kegiatan escort girl.

Presidennya, Zad Zaidi berkata pihaknya bersedia membantu aktres berkenaan dalam kemelut spekulasi yang melandanya kini.

“Apa yang dia (Tasha) buat adalah hak dia. Seniman menyokong penuh tindakannya,” ujarnya.

Menurutnya, tindakan Tasha yang diwakili peguamnya, Fahda Ahmad Kamar menghantar notis amaran dengan mengemukakan tiga tuntutan kepada stesen televisyen adalah salah faham.

Jelasnya, media hanya menjalankan tugas mengikut etika kewartawanan dan masing-masing harus menghormati sesama mereka.

“Ini sebenarnya hanya salah faham. Masing-masing ada hak, media pun terikat dengan etika kewartawanan.

“Apa yang akhbar itu cakap secara umum dan tidak menamakan sesiapa,” jelasnya kepada The Rakyat Post.

Namun katanya, perselisihan faham ini berpunca daripada pihak yang bertanggungjawab untuk menaikkan rating menyebabkan situasi itu telah dimanipulasi.

Katanya, perkara sebegini sering kali berlaku dengan melibatkan golongan artis yang menjadi mangsa fitnah media sosial.

Ini kerana masyarakat lebih mempercayai media sosial berbanding media yang mempunyai asas penulisan beretika.

“Ini berpunca daripada media sosial. Mereka yang timbulkan isu yang kita tidak buat. Mereka hanya buat cerita untuk menaikkan rating serta iklan. Mereka bukan wartawan yang bertauliah, mereka hanya buat spekulasi.

“Saya harap Tasha lebih tabah mengharungi gosip. Ini pernah juga terjadi kepada saya dahulu. Saya harap Tasha kuat,” katanya.

Sebelum ini, sebuah akhbar tempatan melaporkan 10 orang selebriti wanita terlibat dengan kegiatan escort girl.

Berikutan isu tersebut, pada 8 Februari yang lalu, salah sebuah rancangan hiburan telah menemubual Tasha Shilla yang dikatakan mungkin terlibat dengan aktiviti tersebut.