PUTRAJAYA, 23 Februari:

Bayu Air akan mengemukakan permohonan permit dan lesen untuk beroperasi sebagai syarikat penerbangan sewa khas kepada Jabatan Penerbangan Awam (DCA), bulan depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Saifulrizal Raffien berkata, Bayu Air yang dimiliki syarikat bumiputera, Bayu Mutiara Skyways Sdn Bhd, akan menghantar permohonan Permit Perkhidmatan Udara (ASP) dan Lesen Operasi Penerbangan (AOC) itu, pada 14 Mac ini.

“Pasukan kami yang berpengalaman dalam permohonan ASP dan AOC sedang membuat persiapan. Kami akan sediakan dokumen yang lengkap untuk DCA,” katanya kepada Bernama hari ini.

Teradahulu, Mohd Saifulrizal mengadakan pertemuan dengan Ketua Pengarah DCA, Datuk Azharuddin Abdul Rahman bagi menjelaskan prapelancaran Bayu Air dan sidang media pada 16 Februari lalu di Kuala Lumpur.

Bayu Air dilapor merancang memulakan operasi pada Ogos ini menggunakan tiga pesawat Boeing 777-200, dengan laluan utama ke Jeddah dan Madinah untuk destinasi umrah, selain laluan pelancongan ke China.

Ahad lepas, Azharuddin memaklumkan, DCA tidak menerima sebarang permohonan, sama ada bagi permit mahupun lesen untuk beroperasi daripada Bayu Air.

Azharuddin juga dilaporkan sebagai berkata, pihaknya kesal dengan tindakan Bayu Air, kerana membuat pengumuman berhubung permulaan operasi, sebelum memohon dan mendapat kelulusan yang diperlukan daripada pihak berkuasa.

Mengulas perkara itu, Mohd Saifulrizal menjelaskan, prapelancaran tersebut hanya satu majlis untuk memperkenalkan Bayu Air sebagai syarikat penerbangan sewa khas kepada agensi pelancongan dan media mengenai pelan cadangan operasi.

Beliau juga menegaskan, Bayu Air tidak berniat melanggar peraturan 10 dan 17 Akta Penerbangan Awam atau membelakangkan mana-mana pihak yang terlibat dengan penguatkuasaan undang-undang dan peraturan Malaysia.

“Pengurusan Bayu Air memohon maaf atas isu-isu yang berbangkit dan semua ini adalah atas kelemahan kami, kerana tidak mendapatkan khidmat nasihat daripada pihak DCA terlebih dahulu,” katanya.

Mohd Saifulrizal berharap, permohonan permit dan lesen untuk beroperasi itu akan berjalan lancar.

“Kami yakin dapat memperoleh permit dan lesen operasi untuk membolehkan kami beroperasi pada Ogos,” katanya.