KUALA LUMPUR, 20 Februari:

Minat yang ditunjukkan oleh beberapa negara untuk menyertai Perkongsian Trans-Pasifik hanya akan dibincang pada 2018, iaitu tarikh terawal perjanjian perdagangan itu dijangka dikuat kuasa.

Timbalan Ketua Setiausaha (Strategi dan Pemantauan) Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk J. Jayasiri berkata proses untuk melibatkan mereka dalam rundingan penyertaan hanya akan diputuskan selepas TPP dikuat kuasa.

“Perjanjian boleh dikuat kuasa menjelang 2018 selepas sekurang-kurangnya enam pihak yang menandatangani, merangkumi 85 peratus daripada keluaran dalam negara kasar digabungkan (2013), telah meratifikasi dan memaklumkan kepada New Zealand selaku depositori undang-undang dan pentadbir TPPA,” katanya kepada Bernama.

Jayasiri yang juga ketua perunding Malaysia bagi Perjanjian TPP (TPPA), ditemui selepas program bual bicara yang dihoskan oleh Bernama TV.

Negara anggota ASEAN iaitu Indonesia, Filipina dan Thailand serta Korea Selatan dan Taiwan, masing-masing menyatakan minat untuk menyertai TPP.

Perjanjian itu yang dimeterai di Auckland pada 4 Feb kini dalam peringkat ratifikasi dengan 12 negara anggota melaksanakan proses domestik masing-masing bagi membolehkannya dikuat kuasa.

Perjanjian perdagangan itu yang akan memperluas pasaran, mengurangkan tarif serta menggalakkan perdagangan lebih bebas, dimeterai oleh New Zealand, Australia, Chile, Mexico, Jepun, Peru, Kanada, Vietnam, Amerika Syarikat, Singapura, Brunei, dan Malaysia.